Karya-karyanya sentiasa dinanti-nanti. Rata- rata anak seni yang kini mekar melakarkan nama pernah berjaya dengan lagu nukilan beliau.
Sebut sahaja siapa. Daripada yang tersohor namanya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Dayang Nurfaizah, Kris Dayanti, Misha Omar, Ella, Hafiz Suip, Allahyarham Saleem dan Siti Sarah, Liza Hanim dan ramai lagi, kepada generasi pertengahan dan baharu seperti Khai Bahar, Black, Niki Palikat, Aufahanie, senarainya tak terungkap. Mereka telah mencipta kegemilangan dengan deretan lagu ciptaannya.
Sedar tak sedar, insan seni ini telah bertapak di dalam industri muzik 35 tahun lamanya dan namanya masih gah di mata peminat seni daripada segenap lapisan usia.
Mohd Faizal Maas atau lebih dikenali dengan Ajai sememangnya begitu sinonim namanya dengan irama ‘killer’ genre balada.

Antara lagu-lagunya yang masih malar segar menjadi siulan bukan satu, bukan dua malah beratus tersusun rapi dalam senarai berdaftar MACP.
Tahun ini menyaksikan Ajai mengorak langkah, berdiri teguh. Masih aktif menerbitkan lagu-lagu serta aktif di bidang penjurian bagi program-program realiti TV serta aktif di panggung-panggung konsert bersama kumpulan Exists.
Tapi beliau tetap memegang sebuah impian yang digenggam sepanjang 35 tahun iaitu berkarya di pentas kepunyaannya sendiri.
Daripada perkenalan konsert Exists di Kuching Sarawak, telah melahirkan satu perjanjian yang begitu bernilai buat Ajai.
Cerita santainya bersama pemilik Menara Network Sdn Bhd, Datuk AB Razif telah direalisasikan oleh usahawan tersebut apabila bersetuju dan melamar Ajai untuk menjadi penganjur utama Konsert ByAjai & Mega Friends.
“Pucuk dicita ulam mendatang”, rezeki tak pernah salah alamat. Setelah beberapa perbincangan dijalankan, maka termeterailah satu ikatan.
3 Ogos depan akan menjadi satu tarikh keramat buat Ajai dan Menara Network.
Julung-julung kalinya Ajai akan beraksi di pentas konsertnya mengalunkan lagu-lagu versi pencipta.
Lagu-lagu hit yang pernah didendangkan oleh penyanyi bertaraf Bintang di Malaysia. Jolokan the ‘Hit Maker’ tidak dipersiakan bila mana barisan artis ‘wishlist’ Ajai memberikan jawapan setuju bila dilamar untuk ke pentas byAjai & Mega Friends ini.
Ada apa dengan Mega Friends? Pemilihan barisan artis yang bakal beraksi di pentas Konsert ByAjai & Mega Friends bukan calang-calang orangnya.
Ajai menilai mereka daripada segenap sudut.
“Semua lagu yang saya ciptakan Istimewa bagi saya.
“Tetapi mereka yang saya pilih untuk konsert pertama saya ini, ada cerita keistimewaan tersendiri,” katanya.
Barisan penyanyi yang dibawakan nanti seperti Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Aina Abdul, Hazama dan Aufahanie dikenali Ajai daripada tahun-tahun yang berbeza tapi mereka ini kekal dalam gelanggang yang tersendiri hingga ke hari ini.

Konsert ByAjai & Mega Friends bakal berlangsung pada Sabtu, 3 Ogos di Megastar Arena Kuala Lumpur.
Tiket-tiket konsert boleh dibeli secara online di WWW.TICKET2U.COM.MY . Tawaran harga tiket yang dibuka ini merupakan tawaran ‘Early Birds”.
Peminat yang membeli tiket-tiket “SUPER MEGA VIP” pula berpeluang untuk sesi ‘Meet & Greet” bersama Ajai dan juga membawa pulang goodie bag merchandise rasmi.
Untuk konsert pertama Ajai, beliau akan menggunakan khidmat Sharon Paul selaku Pengarah Muzik konsert.
Pemuzik-pemuzik juga akan diiringi oleh barisan ‘strings’ bagi menambahkan lagi perisa muzik.
Sebagai seorang yang sangat cerewet dalam mengetengahkan lagu-lagunya, Ajai pastinya mahukan yang terbaik untuk setiap sudut di konsert pertamanya ini.
“Apa yang saya boleh janjikan, insyaallah, semua lagu yang bakal didendangakan oleh saya mahupun artis-artis Mega Friends saya pastikan lagu ‘karoks’ sampai hilang suara.
“Dan yang pasti juga, kualiti bunyian, susunan muzik dan setiap inci yang dipersembahkan oleh team Menara Network serta produksi tiada kompromi,” kata Ajai dan pihak penganjur.
Anda pastinya teruja untuk mendengar versi asal ‘versi komposer’ bagi lagu-lagu hit artis kesayangan anda.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

