PENGACARA, pelawak dan penyampai radio, Nabil Ahmad sanggup menolak tawaran ratusan ribu bagi bergelar duta jenama pakaian terkenal.
Walaupun jumlah tersebut dianggap sangat bernilai tetapi Nabil memilih untuk kekal setia dengan jenama yang sama buat tahun kesembilan.
Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 40 berkata, wang ringgit bukanlah keutamaannya dan tawaran tersebut tidak mampu membuatkan dia ‘gelap mata’.
“Ada jenama yang menawarkan saya ratusan ribu ringgit, tapi saya tolak.
“Ia kerana kesetiaan, sebab saya ingat lagi masa saya tengah tiada ‘job’ pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hidup saya memang huru-hara, satu-satunya klien yang telefon saya minta saya buat video adalah Jakel.
“Jadi saya memang ingat sangatlah. Tak bolehlah saya nak sebut jenama yang tawarkan saya itu. Banyak yang mereka tawar tapi tidaklah sampai berjuta.
“Ayat dia macam ini, berapa Jakel bayar kau, aku bayar ‘double’. Kemudian saya beritahu sekiranya Jakel sanggup bayar ‘double’, pihak itu sanggup bayar ‘triple’.
“Untuk saya ia nampak macam lebih kepada nak berlawan. Yang sebenarnya mereka tak ikhlas mahukan saya sangat tapi mereka nak tunjuk yang mereka mampu beli saya.
“Di situ pula kita kena tunjuk nilai kita. Mungkin orang lain boleh gelap mata dengan nilai itu, tapi saya tidak,” katanya kepada URTV.
Nabil berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Kempen Raya Sakan Bersama Jakel 2024 di Jakel Mall, hari ini.
Pada masa sama, Nabil tidak pernah rasa menyesal dengan keputusan yang dibuat kerana dia sudah banyak terhutang budi dengan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Feroz Mohamed Jakel.
“Saya tak menyesal, sebab saya rasa tiada cara lain untuk membalas budi dan beritahu orang yang saya setia di sini.
“Sebab kadang-kadang kalau tiada ‘job’ pun saya risik dengan pihak sini, kalau ada kerja yang saya boleh buat dan pihaknya memahami.
“Saya letakkan kesetiaan. Bukanlah saya letak nilai pada duit semata-mata. Macam contoh Jakel sudah bagi saya pakaian Hari Raya selama sembilan tahun, bukan saya saja tapi keluarga termasuk orang tua saya.
“Jadi di mana saya mahu balas jasanya? Kesetiaan itu yang penting, ia bukan pada wang ringgit sebab saya bukan mata duitan,” ujarnya..
Gedung tekstil, Jakel, melancarkan kempen Raya Sakan 2024 yang menawarkan pakaian dan kelengkapan bagi persiapan sempena Aidilfitri, selama sebulan bermula hari ini.
Selari dengan moto kempen tahun ini bergaya sambil berjimat, Jakel menawarkan pakaian bercorak dan rekaan terkini meliputi pelbagai peringkat usia pada harga lebin rendah berbanding tahun sebelumnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

