Erik, itu hanya khayalan atau….?

Dari Penulis

Pada Mei 2005, stesen televisyen ITV di United Kingdom telah menyiarkan siri Have I Been Here Before? dengan menjemput beberapa orang personaliti untuk dihipnosis. Salah seorang daripadanya ialah Alison Short, wartawan Western Daily Press.

Alison dihipnotis oleh Sharon Stiles, yang berpengalaman lebih empat tahun dalam bidang hipnosis. Pejabat Sharon terletak di Queen Square, Bristol.

Apakah yang dialami oleh Alison? Di bawah ini adalah cerita menarik wartawan tersebut…

“Pada peringkat awal, Sharon meminta saya pejamkan mata. Kemudian saya diminta bernafas dalam keadaan tenang, relaks dan lapang. Selepas beberapa kali menghela dan menghembus nafas, tiba-tiba mata saya berasa berat. Saya tidak tahu mengapa.

“Beberapa ketika kemudian, kelopak mata saya tidak mampu dibuka lagi. Saya sudah berada dalam keadaan hipnotik. Tangan saya berasa berat, saya tidak berupaya mengangkatnya.

“Ketika dalam keadaan hipnotik itu, saya dengar Sharon berkata, ‘Mulai saat ini, tidak ada lagi nombor antara nombor tujuh dan sembilan’. Apabila saya cuba mengira dari satu hingga sepuluh, saya gagal melakukannya. Saya tidak berupaya menyebut perkataan lapan.

“Seterusnya Sharon meminta saya, secara mental, memilih salah sebuah kotak yang menyimpan kehidupan silam saya. Kata Sharon, kotak itu terletak di dalam sebuah bilik. Saya masuk ke dalam bilik tersebut dan memilih salah satu daripada sekian banyak kotak yang ada di situ dan mula membukanya.

“Satu pancaran cahaya menerpa keluar dari kotak tersebut. Cahayanya menyilaukan mata. Saya terperanjat, dan berasa pelik. Sejurus selepas itu, tidak semena-mena saya berasa diri saya berada di satu alam lain. Saya merasakan diri saya adalah seorang askar bernama Erik. Saya melihat sebuah kereta api muncul dan saya berasa diri saya sedang berdiri di sebelah landasan. Kereta api itu dipenuhi oleh beratus-ratus orang tentera.

“Suasana ketika itu sangat bising dengan deruman bunyi kereta api wap dan suara askar-askar tadi. Dalam masa yang sama, saya masih boleh mendengar suara 50 orang askar sedang ketawa terbahak-bahak, bermain terup dan merokok di dalam sebuah bilik tidak jauh dari landasan.

“Saya terus berdiri sendirian di sisi landasan itu. Saya berasa keseorangan, sepi dan sunyi. Saya memandang ke bawah, saya lihat saya memakai sepasang but hitam berkilat, seluar warna khaki kehijauan serta gelang perak melilit di lengan.

“Sambil melihat kereta api dan kumpulan askar yang sedang ketawa, saya terkenang kembali kehidupan saya dua tahun lalu, iaitu sebelum perang tercetus. Saya teringatkan kenangan ketika saya bekerja di sebuah ladang besar di sebuah kawasan pedalaman, yang kalau tidak silap saya, namanya Vischen. Di situlah saya tinggal bersama ibu saya, Edna.

“Saya mempunyai dua orang kawan, Henrick dan Francois, tapi saya tidak lagi berjumpa dengan mereka sejak perang meletus. Sejak enam bulan lalu, saya sering menghantar surat kepada ibu, namun sehingga sekarang saya tidak menerima balasan darinya. Malah tiada sebarang khabar berita saya terima daripada ibu.

“Kini saya keseorangan dan kesunyian. Saya langsung tidak dapat menyesuaikan diri dengan askar-askar yang sedang ketawa di dalam bilik itu. Saya keseorangan dan rindukan ibu.

“Apabila disedarkan kembali daripada hipnosis, saya berasa benar-benar terkejut dan emosional. Air mata saya mengalir dengan laju. Adakah itu kehidupan silam saya? Saya pernah hidup sebagai Erik, kemudian mati, dan dihidupkan semula sebagai Alison Short?

“Sharon memberitahu saya, ada tiga penjelasan yang boleh diberikannya. Pertama, semua itu tidak wujud dan ia hanyalah imaginasi semata-mata. Kedua, ia adalah pengumpulan kembali sebahagian daripada pengalaman silam dan ketiga, ia dirangsang oleh memori pada zaman kanak-kanak atau perasaan tertekan.

“Mungkin. Sebenarnya, semasa berdiri di tepi landasan, saya merasa amat rindu kepada rumah dan kampung halaman. Perasaan itu sama seperti yang saya rasa semasa berdiri dan melambaikan tangan di tepi landasan dan melihat kereta api membawa ibu dan ayah pergi meninggalkan saya untuk tinggal di sebuah asrama. Ketika itu saya berusia 11 tahun.

“Adakah Erik itu manifestasi daripada perasaan rindu dan rasa tidak selamat yang saya rasakan semasa kanak-kanak dahulu? Kalau betul, dari mana pula datangnya maklumat tentang kehidupan Erik di Jerman?

“Semasa kecil saya pernah tinggal selama tiga tahun di utara negara tersebut. Ketika itu saya banyak menghabiskan masa terluang dengan menonton filem-filem dokumentari mengenai perang, bersama suami saya yang amat gemarkan sejarah. Bapa saya juga bekas tentera udara British.

“Sukar sungguh untuk saya jelaskan tentang pengalaman itu. Ia sungguh jelas dan seperti benar-benar berlaku di alam nyata. Adakah saya percaya bahawa ia adalah kehidupan saya sebelum ini dan Erik adalah diri saya sebelum saya ‘dilahirkan’ semula sebagai Alison Short?

“Tidak! Saya tidak percaya! Bagaimanapun, bagi saya, ia adalah pengalaman yang menarik dan menunjukkan bahawa masih terdapat lagi bahagian otak kita yang masih belum diteroka dan kita ketahui fungsi serta keistimewaannya.

“Pada saya juga, ia bukan kehidupan saya di masa silam. Ia sebaliknya cebisan beberapa perkara yang telah terkubur di dalam minda dan saya mula membongkarnya semula. Mungkin saya perlu biarkan saja Erik bersendirian di tepi landasan itu!”

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This