SABDA Rasulullah s.a.w: “Sekelompok daripada umatku akan tetap berada dalam kebenaran yang nyata dan akan mengalahkan musuh-musuh mereka, dan mereka tidak akan disakiti oleh musuh-musuh mereka kecuali apabila mereka ditimpa kesusahan, dan sehingga datang pertolongan daripada Allah dan keadaan mereka akan kembali seperti sedia kala.”
Para sahabat bertanya, di manakah tempat mereka itu ya Rasulullah? Baginda menjawab, “Di Baitulmuqaddis dan di aknaf (bawah lindungan) Baitulmuqaddis.” (Hadis riwayat Abu Umamah al-Bahili)
“Jangan menangis kata mujahidin itu” – Mohd Tahir Abd Rahman
PERJUMPAAN dengan kumpulan pejuang Palestin itu meruntun hati saya. Ada yang kudung tangan, hilang kaki dan cacat anggota. Kami sebak hingga menitiskan air mata. Tetapi para mujahidin itu berkata: “Jangan menangis. Kami tidak perlukan air mata kalian di sini. Yang penting adalah doa kalian agar kami di sini akan terus kuat untuk berjuang demi masjid kamu.”
Para mujahidin itu tersenyum. Kami terpana dengan kekentalan semangat mereka. Mereka tidak kisah, bila-bila masa mereka sedia untuk mengorbankan nyawa mereka demi mempertahankan hak orang Islam. Aduh! Terasa kerdil sekali diri ini bila dibandingkan dengan semangat jihad mereka.
Bukan sekadar orang dewasa, malah kanak-kanak kecil di sana juga mempunyai hasrat yang besar. Tanyalah pada kanak-kanak itu, bila sudah besar mahu jadi apa? Jawabnya, kami mahu jadi mujahid! Sungguh kental semangat dan didikan yang telah dipupuk dalam diri mereka.

Masih saya teringat, sewaktu mengadakan program berbuka puasa di salah sebuah masjid di sana, ketika itu hiruk-pikuk kanak-kanak Palestin sungguh riang bermain. Namun, sebaik saja azan berkumandang dan solat dimulakan, sedetik bunyi pun tidak kedengaran daripada mulut kanak-kanak itu sehingga selesai kami menunaikan tarawih.
Semua kanak-kanak itu tertib di saf masing-masing, hatta si kecil berusia empat tahun juga tidak berani bersuara. Mereka tidak perlu dikawal, tetapi mereka sudah tahu bahawa tiba waktu solat, ia adalah masa yang harus dihormati dan tidak boleh berbuat bising.
Di Gaza, ke mana saja kami pergi, kanak-kanak akan datang mengerumuni kami. Mereka hulurkan tangan. Bukan untuk meminta, tetapi sekadar untuk bersalaman. Wajah mereka amat ceria bila melihat ada saudara mereka dari tempat lain yang datang melawat mereka di sana.
Tak perlu anda hulurkan wang. Kanak-kanak itu tidak akan menerimanya. Mereka tidak diajar untuk meminta-minta walaupun hidup susah, sebaliknya mereka diasuh agar berkongsi apa yang mereka ada dengan orang lain.
Jika seorang mendapat sebuku roti, dia akan membahagikan pula dngan rakan-rakannya yang lain. Biarpun roti itu nanti akan tinggal hanya secubit untuknya, tidak mengapa. Yang penting rezeki yang diterima itu dikongsi bersama.
Ya, Gaza memerlukan bantuan kita tetapi tahukah anda, dalam masa yang sama penduduk di sana boleh mengumpul sumbangan untuk diberikan pula kepada saudara kita di Somalia? Subhanallah… walaupun mereka susah, tapi mereka tetap menyumbang walaupun sedikit kerana mereka percaya, saudara kita di Somalia juga susah dan perlu dibantu. Adakah kita di sini mempunyai sifat semulia mereka?
Seperti salah satu maksud dalam surah At-Taubah yang berbunyi: “Sesungguhnya Allah membeli jiwa dan raga mereka yang berjuang ke jalan Allah.” Inilah dia penduduk Palestin. Mereka tidak menangis bila kehilangan kaki dan tangan, mereka tidak takut menuju ke medan perang. Kerana kata mereka, Allah telah beli anggota tubuh mereka. Jadi, mereka tidak kisah kehilangannya. Mampukah kita menjadi seperti mereka?
“Ummi, aku kini ada di syurga” – Noorhasyimah Ismail
NAMA wanita itu Ummu Ahmad. Dalam senyuman wanita itu berkata, dia telah kehilangan dua anak lelakinya yang syahid di medan pertempuran. Saya tanya, bagaimana dia setenang itu setelah kehilangan anak yang dikasihi? Dia tidak menjawab pertanyaan itu sebaliknya berpesan, “Jagalah agama, sesungguhnya Yahudi itu musuh kita.” Dan jika boleh kata wanita itu, dia mahu mengandung lagi agar boleh terus melahirkan para mujahidin.
Teringat saya sewaktu kami berkunjung ke sebuah rumah. Rumah itu amat kecil tidak berbilik. Bumbungnya pula hanyalah daripada plastik yang dihimpitkan dengan batu pada setiap penjurunya agar bumbung plastik itu tidak diterbangkan angin.
Di dalam rumah sempit itulah tinggal sepasang suami isteri bersama sembilan anak dan juga menantu mereka. Di ruang itulah mereka berkumpul, tidur dan memasak. Mereka dihimpit kemiskinan tetapi anehnya, wajah mereka sentiasa tertawa riang sambil menceritakan bagaimana mereka menjalani rutin kehidupan. Tiada riak sedih, keluhan, jauh sekali untuk bermuram. Kalau di tempat kita, mampukah kita menceritakan kesusahan hidup dalam keadaan tersenyum dan tertawa seperti itu?
Kemudian, kami berjumpa pula dengan wanita lain. Dia juga kehilangan anak lelakinya yang syahid kerana perjuangan Islam. Ceritanya, sewaktu peringkat awal kehilangan anaknya, dia selalu menangis teringatkan arwah. Tetapi suatu hari, dia bermimpi didatangi anak lelakinya itu. Kata anaknya, “Ummi, aku kini ada di syurga.”
Mimpi itu bagaikan satu pesanan agar dia tidak lagi menangisi kematian anaknya. Baru wanita itu sedar, dia tidak perlu lagi menangis. Sebaliknya, dia bangga kerana anaknya sudah jadi ahli syurga.

Ini pula kisah keluarga lain yang kami temui. Seorang lelaki yang menceritakan kisah adiknya. Katanya, adiknya yang bernama Muhammad ke medan perang hanya 13 hari selepas bernikah. Sebelum keluar rumah, Muhammad berkata pada isteri yang baru dinikahinya itu: “Aku akan pergi berjuang, sesungguhnya aku bernikah denganmu kerana mahu menyempurnakan keIslamanku.”
Dan setelah itu, Muhammad melangkah keluar sebagai mujahidin Palestin dengan memakai kasut nikahnya. Muhammad mati syahid dalam pertempuran itu. Dan setelah tamat idah, abangnya itu menikahi isteri Muhammad yang sebelum itu pernah menjadi adik iparnya.
“Inilah dia anak kami yang kami namakan Muhammad, sempena nama adikku yang telah terkorban sewaktu berjihad ke jalan Allah,” katanya sambil memangku seorang anak kecil yang comel berusia lingkungan dua tahun.
Sementara ibu kepada dua beradik itu sempat mengeluarkan sehelai baju arwah anak lelakinya itu. Dia menciumnya dan kemudian mengalirkan air mata. Lantas anak lelakinya itu memeluk bahu ibunya dan berkata: “Banggalah ibu, sesungguhnya Muhammad sudah menanti kita di syurga!” Kami yang mendengar kisah mereka turut sebak, tak ubah bagaikan drama.
Saya teringat juga kisah seorang remaja perempuan. Usianya baru 16 tahun tetapi memerah keringat sebagai nelayan di tepian laut Gaza untuk menyara keluarganya. Ayahnya telah uzur, tidak mampu lagi bekerja. Manakala adik-beradiknya ramai dan masih kecil.
Setiap hari, remaja itu akan turun ke laut dengan mendayung sampan kecil bagi menangkap ikan. Bayangkanlah, dalam usia muda sebegitu, dia menjadi tonggak harapan keluarganya dan sedikit pun dia tidak gentar untuk mengharungi lautan yang luas terbentang berseorangan.
Dan apabila kami bertanya apakah bantuan yang diingininya untuk meringankan bebannya sekeluarga, bukan wang atau makanan dipinta remaja itu. Sebaliknya, dia hanya inginkan sebuah motorbot kecil yang membantu memudahkan dirinya untuk mencari rezeki di lautan luas itu.
“Mendayung sampan mengambil waktu yang lama. Cukuplah jika ada sebuah sampan yang mempunyai enjin penggerak,” katanya.

Sebagai wanita, saya amat kagum dengan golongan wanita di Palestin. Mereka kehilangan suami, kehilangan anak dan dihimpit kemiskinan. Tetapi mereka kuat, cekal, tabah dan paling penting, mereka tidak pernah mahu meminta-minta.
Mereka tidak membesarkan anak dengan rasa kesedihan atau kekurangan. Sebaliknya mereka sentiasa melatih anak-anak mereka untuk bersyukur. Bagaimana susah sekalipun hidup mereka, mereka akan mengingatkan anak-anak agar bersyukur kerana ada orang lain yang lebih susah daripada itu.
Itulah satu salah satu cara golongan ibu di sana melahirkan sifat pejuang dalam diri anak-anak mereka sejak kecil. Perjuangan bagi mereka bukan untuk membunuh, tetapi untuk melatih kekentalan diri agar mereka kuat untuk melawan musuh.
Emosi dan psikologi mereka dilatih untuk tidak takut atau menangis tatkala diserang, sebaliknya terus berjuang walaupun hanya bersenjatakan seketul batu demi mempertahankan hak orang Islam.
Kerana itu tidak hairanlah mengapa begitu ramai hafiz dan hafizah lahir di bumi Palestin. Dan tidak hairan juga mengapa Yahudi masih gagal menakluk Gaza walau sudah puluhan tahun mencuba. Walaupun hidup kekurangan tetapi kesemua kanak-kanak itu sedari kecil sudah berdikari, tahu tugas dan tanggungjawab mereka antara satu sama lain. Anak-anak tetap dihantar ke sekolah walaupun bangunan sekolah sudah banyak yang rosak dan dipenuhi kesan tembakan.
Malah, anak yang cacat juga dihantar ke sekolah kerana ilmu bagi mereka amat penting. Jadi, tidak hairanlah bila kami berjumpa kanak-kanak yang cacat dan bisu tetapi mampu mengalunkan bacaan al-Quran.
“Bedilan bagai muzik” – Muhammad Munawer Ismail
Saya masih ingat sewaktu kali pertama hendak pergi ke Gaza. Sehari sebelum bertolak, kami menerima berita Gaza baru saja dibedil pihak musuh. Sedikit sebanyak, terbit juga rasa takut.
Anehnya, sebaik kami memasuk Gaza, segala rasa takut dan kerisauan itu hilang begitu saja. Malah, tidak terfikir lagi soal mati atau mungkin ditembak musuh sewaktu di sana. Kami seolah terlupa bahawa Gaza itu bumi yang sentiasa dihujani bom.

Benarlah, bumi Palestin itu bumi yang dipenuhi keberkatan. Walaupun tentera Israel tidak kelihatan di jalanan, namun hampir setiap hari kami masih boleh mendengar bunyi bedilan dari udara yang dilakukan pendatang haram Yahudi, tetapi sedikit pun kami tidak gentar.
Malah, sewaktu bertanya pada penduduk di sana, bunyi bedilan bagaikan satu ‘muzik’ dalam kehidupan mereka, seakan tidak lengkap jika ‘muzik’ itu tidak kedengaran.
Teringat saya sewaktu melalui satu jalan di mana di bahagian kirinya adalah bekas penempatan kaum Yahudi yang telah ditinggalkan. Tanah di situ kering kontang, tiada hidupan, bagaikan dataran yang telah mati.
Sebaliknya di sebelah kanan kami pula merupakan penempatan rakyat Palestin. Kawasannya amat subur, hijau mata memandang dengan pohon-pohon kurma yang lebat menghasilkan buah.
Sewaktu kami berkunjung ke tapak kolam penternakan ikan pula, kami terkejut bila melihat mereka mampu menternak ikan tilapia air masin sedangkan ia adalah kategori ikan air tawar. Malah, ikan-ikan yang diternak di situ mudah membiak dengan banyak hingga sentiasa mampu dibekalkan untuk golongan miskin.
Begitu juga dengan projek menternak lembu. Jumlah susu yang dihasilkan lembu-lembu itu begitu banyak melebihi paras normal yang biasa dihasilkan oleh lembu lain di serata dunia hingga mampu menghasilkan beribu-ribu liter sehari untuk diagihkan kepada penduduk Gaza.
Lihat pula perairan laut Gaza yang dikawal oleh Yahudi. Nelayan hanya dibenarkan pergi tidak melebihi dari tiga batu nautika sahaja. Jika diikutkan logik, manalah ada ikan sangat pada kadar keluasan kecil begitu.
Tetapi anehnya, para nelayan itu tetap mendapat hasil tangkapan. Begitu berkatnya bumi Gaza itu.Walaupun pihak Zionis melakukan pelbagai sekatan ke atas Gaza ibarat menjadi sebuah ‘penjara’ terbesar di dunia, tetapi saudara kita di sana tidak mengeluh. Mereka akan tetap berusaha mencari rezeki. Apa yang mereka usahakan mudah memberi hasil. Jika menternak, haiwan ternakan mudah membiak. Jika menanam sayur, ia mudah hidup dengan suburnya.
Lagi satu, rakyat Gaza amat amanah. Salah satu bantuan yang diberi adalah pemberian skim mikro kredit tanpa sebarang cagaran. Mereka diberi pinjaman sejumlah wang untuk digunakan sebagai modal agar mereka dapat melakukan sesuatu untuk menjana ekonomi keluarga.
Setelah cukup mendapat semula wang pinjaman tersebut, mereka sendiri datang untuk membayarnya. Tidak perlu diingatkan, tidak perlu dicari, tetapi mereka ingat hutang mereka. Tiada istilah lari dari hutang. Mereka tahu, ada orang lain yang akan memerlukan semula wang yang dipinjam itu. Bolehkah kita mengikut nilai murni yang diamalkan mereka?

NOTA: Kisah di atas adalah berdasarkan pengalaman para sukarelawan Aqsa Syarif Malaysia (kini merupakan agensi di bawah MyCare) yang pernah terlibat dalam misi bantuan ke Gaza pada tahun 2011 sewaktu ditemubual oleh Mastika dahulu. Ketika itu, NGO agak mudah untuk masuk ke Gaza bagi menyalurkan sumbangan selain merangka pelbagai projek untuk membantu menjana ekonomi penduduk Palestin. Antaranya seperti projek ternakan kolam ikan, ternakan lembu, kilang roti dan banyak lagi. Namun kini keadaannya jauh berbeza. Saudara Islam kita di Palestin sedang diuji hebat. Sudah lebih 30 ribu nyawa terkorban dan lebih 70 ribu orang cedera, manakala ratusan ribu yang lain hilang tempat tinggal. Rumah dan segala keperluan serta kelengkapan di sana musnah, selain turut berdepan dengan ancaman kebuluran. Marilah sama-sama kita terus mendoakan saudara kita di Palestin. Semoga Allah merahmati dan membantu saudara kita di sana.


