LANGKAWI kembali tersenarai dalam laluan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang turut menyaksikan dua peringkat perlumbaan itu buat julung kalinya diadakan di Sarawak, bermula 29 Sept hingga 6 Okt ini.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata perlumbaan berbasikal berprestij di benua Asia edisi ke-28 itu buat kali pertama akan melibatkan Miri dan Bintulu di Sarawak, selain Kulai, Johor.

Beliau berkata keseluruhan 11 negeri (kecuali Kelantan, Terengganu dan Sabah) akan menjadi hos pelepasan dan penamat untuk perlumbaan itu yang memasuki tahun kedua dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
“Tahun ini pihak penganjur menjanjikan cabaran lebih sukar “back to back mountain climbs” (pendakian berturut-turut) di Cameron Highlands dan Genting Highlands pada peringkat tiga dan empat.
“Tahun ini juga merupakan tahun bersejarah untuk penduduk Kulai, Miri dan Bintulu kerana buat pertama kalinya, perlumbaan LTdL akan berlangsung di sana,” katanya pemberita selepas melancarkan LTdL 2024 di MSN di Kuala Lumpur hari ini.
Difahamkan tiga pasukan berbasikal negara bakal menyertai perlumbaan kali ini iaitu Pasukan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Malaysia Professional Cycling (MPC).
Pasukan dan pelumba dari Kazakhstan, Amerika Syarikat, Itali, Sepanyol, Switzerland, Australia, China, Indonesia dan Jepun turut dijangka mengambil bahagian, bagaimanapun pengesahan penyertaan adalah pada Ogos ini.
Pada edisi lepas, pelumba TSG Mohd Aiman Zarif dan Nurul Amirul Fakhruddin berjaya mengungguli jersi Raja Bukit di peringkat pertama dan kedua manakala pelumba pasukan kebangsaan Nur Aiman Zarif berjaya menguasai jersi Pelumba Terbaik Asia di peringkat ketiga.
Lapan peringkat perlumbaan meliputi 1,191.1 kilometer (km) jarak perjalanan ialah:-
Peringkat 1: 29 Sept (Ahad) – Kuah ke Kuah (96.5 km)
Peringkat 2: 30 Sept(Isnin) – Arau ke Butterworth (154.5 km)
Peringkat 3: 1 Okt (Selasa) – Taiping ke Cameron Highland (170.3 km)
Peringkat 4: 2 Okt (Rabu) – Kuala Kubu Bharu ke Genting Highland (112.8 km)
Peringkat 5: 3 Okt (Khamis) – Kuala Lumpur ke Melaka (167.3 km)
Peringkat 6: 4 Okt (Jumaat) – Batu Pahat ke Kulai (123.6 km)
Peringkat 7: 5 Okt (Sabtu) – Miri ke Bintulu (199.3 km)
Peringkat 8: 6 Okt (Ahad) – Bintulu ke Bintulu / Loop (166.8 km)
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

