Rosmah diperintah bayar RM67.5 juta kepada tukang emas mewah Lubnan

Dari Penulis

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor membayar RM67.5 juta kepada syarikat tukang emas mewah dari Lubnan selepas didapati gagal memulangkan 43 barangan kemas yang diserahkan kepadanya secara konsainan.

Hakim Datuk Quay Chew Soon membenarkan saman yang difailkan Global Royalty Trading SAL Ltd dan memutuskan Rosmah bertanggungjawab terhadap kehilangan barangan kemas berkenaan yang masih menjadi hak milik syarikat itu.

Mahkamah turut menolak tuntutan pihak ketiga yang difailkan Rosmah terhadap Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia berhubung dakwaannya bahawa barang kemas terbabit telah dirampas dalam serbuan polis berkaitan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2018.

Dalam penghakimannya, Quay memerintahkan Rosmah membayar RM67,461,027.37 dalam tempoh sebulan, selain faedah lima peratus setahun bermula dari tarikh penghakiman sehingga jumlah itu diselesaikan sepenuhnya.

Mahkamah turut mengarahkan Rosmah membayar kos RM75,000 kepada plaintif serta RM75,000 lagi kepada pihak ketiga.

Menurut hakim, empat fakta utama dalam kes itu tidak dipertikaikan iaitu sebanyak 44 barangan kemas diserahkan kepada Rosmah, ia diberikan untuk tujuan tontonan secara konsainan, tiada pembelian atau bayaran dibuat dan 43 daripada barangan tersebut tidak dipulangkan.

Beliau berkata, fakta-fakta itu sudah mencukupi untuk menentukan liabiliti defendan tanpa memerlukan plaintif membuktikan apa yang berlaku terhadap barang kemas berkenaan ketika berada dalam jagaan Rosmah.

Quay turut menyatakan Rosmah sebelum ini mengakui dalam prosiding terdahulu bahawa barang kemas tersebut diterima secara konsainan dan bukan miliknya.

Katanya, cubaan Rosmah kemudian untuk menjarakkan dirinya daripada perjanjian itu serta mempertikaikan nota konsainan tidak boleh mengatasi pengakuan yang dibuat sebelum ini.

“Defendan tidak boleh menerima pemilikan harta milik orang lain, menyimpannya di bawah kawalan sendiri dan kemudian menafikan tanggungjawab undang-undang terhadapnya,” katanya.

Mahkamah turut mendapati Rosmah gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemegang amanah barangan tersebut, manakala kegagalan memulangkannya menunjukkan kecuaian prima facie.

Hakim itu menegaskan Rosmah tidak boleh menggunakan alasan serbuan polis atau tindakan pihak lain bagi mengelakkan liabiliti.

Beliau berkata, undang-undang menghendaki defendan membuktikan apa yang berlaku kepada barang kemas itu, bahawa penjagaan sewajarnya telah diberikan dan kehilangan tersebut bukan berpunca daripada kecuaian, namun gagal berbuat demikian.

Quay juga memutuskan tiada bukti yang menunjukkan 43 barangan kemas terbabit pernah dirampas polis.

Menurutnya, hanya satu barang kemas iaitu gelang berlian zamrud dikenal pasti dalam prosiding pelucuthakan dan telah dipulangkan kepada plaintif, manakala baki 43 lagi masih tidak dapat dipastikan kedudukannya.

Dalam masa sama, mahkamah menolak tuntutan indemniti Rosmah terhadap Ketua Polis Negara dan kerajaan selepas beliau gagal membuktikan semua barangan kemas itu telah dibungkus, disimpan dan kemudiannya dirampas ketika operasi polis dijalankan.

Kes berkenaan membabitkan 44 barangan kemas bernilai AS$14.57 juta (kira-kira RM68.3 juta) yang menurut Global Royalty Trading SAL Ltd telah diserahkan kepada Rosmah secara konsainan pada 2018.

Hanya satu daripada barangan tersebut berjaya diperoleh semula dan dipulangkan kepada syarikat berkenaan, manakala 43 lagi masih belum dapat dikesan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

UMNO berhak tentukan hala tuju sendiri menjelang pilihan raya – Asyraf Wajdi

UMNO menegaskan parti itu mempunyai hak mutlak untuk menentukan pendirian dan hala tuju politiknya sendiri menjelang mana-mana pilihan raya,...

More Articles Like This