PADA Jun 2013, satu kebakaran besar telah berlaku di Arizona, Amerika Syarikat yang menyebabkan hampir 8,400 ekar tanah hangus terbakar. Ia berpunca daripada panahan petir di sebuah kawasan pergunungan di bandar Yarnell yang mencetuskan api dan kebakaran merebak disebabkan oleh angin kuat dan kawasan yang kering.
Puluhan rumah telah hangus terbakar dalam kejadian itu yang turut memusnahkan harta benda dan juga tanaman. Bukan itu saja, penduduk di dua buah bandar terpaksa dipindahkan kerana dikhuatiri kawasan mereka akan dijilat api. Kebakaran ini juga telah menyebabkan suhu di sekeliling meningkat secara mendadak sehingga mencecah 54°C (130°F).

Lantaran itu, seramai 200 orang anggota bomba telah dikerah ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran. Namun disebabkan keadaan api yang begitu marak, pihak berkuasa tempatan telah menambah lagi jumlah anggota bomba menjadi 400 orang kesemuanya.
Pasukan bomba turut dibantu dengan beberapa buah helikopter dan pesawat yang boleh membawa jumlah air yang banyak dari ketinggian yang rendah. Bukan itu sahaja, pasukan Smokejumpers turut digunakan di kawasan-kawasan yang tidak boleh diakses untuk memadamkan api di tempat yang terbakar teruk.
Misi ini juga turut disertai oleh ahli kumpulan elit bomba seramai 20 orang yang dikenali sebagai Granite Mountain Hotshots. Mereka dikatakan terkenal dengan kepakaran memadam kebakaran. 19 orang ahli kumpulan itu ditugaskan untuk memadam kebakaran di bahagian Arizona dan seorang lagi ditugaskan sebagai pemandu kenderaan. Kepakaran dan pengalaman ahli kumpulan itu diharap membantu usaha memadamkan kebakaran di situ.

Ketika ahli kumpulan itu sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran, tiba-tiba angin bertiup kuat dari arah depan mereka lalu menyebabkan percikan api bertaburan yang telah mencetuskan beberapa tompok api di sekeliling pasukan itu. Ia menyebabkan mereka terkepung dalam lingkungan api.
Ahli kumpulan itu cuba menyelamatkan diri dengan menyelimuti badan mereka dengan kain penebat haba dan keluar dari kawasan tersebut. Namun, segaa usaha mereka gagal kerana api yang marak dan menyebabkan mereka terkorban di tempat kejadian.
Tragedi itu telah meragut nyawa kesemua 19 orang kumpulan Granite Mountain Hotshots. Hanya seorang sahaja yang terselamat. Ini kerana pada masa kejadian beliau ditugaskan sebagai pemandu trak dan berada pada jarak 80 batu dari tempat kejadian iaitu di utara-barat Phoenix.
Mayat mangsa yang berumur antara lingkungan 21 hingga 43 tahun itu telah diberi penghormatan terakhir yang dianggap sebagai seorang wira yang berjasa kepada negara.


Semasa upacara penghormatan terakhir, perarakan membawa mayat anggota bomba tersebut disambut oleh seorang pegawai kehormat, pegawai-pegawai polis dan anggota bomba. Jenazah mereka diarak melalui di bawah kibaran bendera. Gabenor Arizona Jan Brewer telah mengarahkan semua bendera dikibarkan pada separuh tiang sebagai tanda berkabung.
Presiden Obama, yang telah melawat Tanzania selepas kejadian itu telah menawarkan kumpulan anggota sokongan untuk memadamkan hutan tersebut. Beliau berkata, kejadian itu juga telah mendorong penilaian semula tentang bagaimana untuk mengendalikan kes kebakaran besar seperti itu.

Mengikut kata ketua balai bomba Prescott, Dan Fraijo, mangsa-mangsa yang terkorban merupakan anggota yang sangat berdedikasi, rajin dan berdisiplin. Mereka juga tidak pernah mengeluh semasa menjalankan tugas. Malah mereka dilihat sering bergurau di antara satu sama lain. Walaupun Dan Fraijo seorang ketua, dia tetap menghormati anak buahnya kerana sikap dan disiplin mereka yang sangat tinggi.
Tambah Dan Fraijo lagi, andai kata mereka berjaya diselamatkan sekalipun, peluang untuk mereka hidup hanyalah 50%Â sahaja.
Kebakaran itu bukan sahaja meragut banyak nyawa, malah orang awam juga dikatakan mengalami masalah sesak nafas kerana terhidu asap yang banyak.
Kejadian tersebut dikatakan yang kedua terbesar pernah berlaku yang mengorbankan anggota bomba selepas insiden 11 September 2001 dalam serangan World Trade Center yang meragut nyawa 343 anggota bomba.
Filem ‘Only The Brave‘ yang diterbitkan pada tahun 2017 diinspirasikan berdasarkan kejadian ini.


_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

