Siapa sangka, seorang ayah yang gembira dengan kehadiran anak pertama akhirnya membawa malang apabila bayi kecil itu meninggal dunia hanya kerana ciuman kasih si ayah. Kisahnya begini…
Pada 24 Mac 2012, Marrie-Claire McCormick telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki, diberi nama Kaiden yang dilahirkan lima minggu lebih awal daripada tarikh yang dijangka. Walaupun lahir pramatang, anak kecil ini tidak mengalami sebarang kompilasi, malah disahkan sihat dan cukup sifat.
Marrie yang ketika itu berusia 29 tahun dan suaminya, Carl MacLaren, 35 begitu teruja untuk menjadi ibu bapa terbaik buat anak sulung mereka ini. Kerana keterujaan itu, setiap detik mereka menghujani kasih sayang, cinta dan ciuman buat si comel ini.

Menurut Marrie, suaminya telah berusaha menjadi seorang bapa penyayang dengan memandikan dan mendodoikan Kaiden sehingga terlena. Kehadiran anak ini sangat menceriakan kehidupan mereka suami isteri.
Malangnya, kegembiraan itu tidak bertahan lama. Selepas lebih dua minggu Marrie dan bayinya dibenarkan pulang, satu kejadian panik telah berlaku di rumah. Si ibu mendapati badan anaknya tiba-tiba bertukar kebiruan dan berhenti bernafas selepas enggan menyusu.
Marrie menjerit meminta suaminya menghubungi ambulans. Dalam masa beberapa minit, paramedik tiba dan mereka bergegas membawa Kaiden ke Hospital Kanak-kanak Alder Hay di Liverpool, United Kingdom.
Sebaik tiba di hospital, beberapa orang doktor pakar terus memeriksa keadaan Kaiden. Beberapa tiub dan wayar dipasangkan pada tubuh kecil bayi itu.

Si ibu yang masih bingung cuba bertanya kepada doktor tentang keadaan sebenar anaknya. Namun tiada seorang pun di antara mereka boleh menjelaskan situasi si kecil itu.
Selepas 48 jam berlalu, barulah pasangan suami isteri ini mendapat tahu apa yang terjadi. Kaiden disahkan telah dijangkiti virus herpes simplex (HSV). Akibat virus berkenaan, otak Kaiden membengkak menyebabkan peluang untuknya hidup adalah tipis.
Kaiden dijangkiti virus itu daripada ciuman kasih ayahnya, Carl. Carl pula tidak mengetahui dirinya penghidap virus tersebut sehingga tanpa sengaja menjangkiti anaknya melalui ciuman.
Apakah itu HSV?
Profesor George Kinghorn, Genitourinary Medicine Consultant di Royal Hallamshire Hospital, Sheffield, England, menjelaskan bahawa HSV merupakan radang kulit berupa pembentukan gelembung-gelembung berkelompok.
Kebanyakan orang dewasa adalah pembawa virus ini. Tetapi pesakit biasanya tidak mengetahui sama sekali bahawa diri mereka dijangkiti virus tersebut atau tidak kerana kehadirannya bersifat senyap dan tidak menunjukkan sebarang tanda.
Untuk mengenali gejala awal selepas terkena HSV, biasanya suhu badan seseorang itu akan meningkat atau demam. Tekak pula terasa kering dan sakit, pening, lelah serta tanda-tanda lain yang biasa terjadi pada orang demam atau selesema. Keadaan ini berlaku kerana sistem imun tubuh seseorang yang dijangkiti HSV belum bersedia untuk menangkis infeksi tersebut.
Akibatnya, virus itu bekerja ke tahap selanjutnya dengan menimbulkan rasa gatal yang panas disertai lepuh kecil berderet-deret pada permukaan kulit. Penyebaran HSV ini akan semakin cepat terutama jika ia sering digaru sehingga menimbulkan iritasi pada kulit seperti luka.
HSV juga boleh berjangkit melalui sentuhan fizikal seperti hubungan kelamin, ciuman, bahkan penyusuan. Walaupun ia tidak mendatangkan sebarang risiko kepada orang dewasa, namun ia sebenarnya boleh membawa maut untuk bayi kerana sistem imunisasi mereka sangat rendah. Situasi inilah sebenarnya yang terjadi kepada Kaiden.
Selepas enam minggu berada di hospital, bayi malang itu masih juga tidak mampu bernafas dengan sendiri dan hanya bergantung kepada bantuan alat pernafasan. Lebih membimbangkan, anak kecil itu telah mula mengalami sawan.
Ibu bapa kanak-kanak ini merayu kepada pakar perubatan hospital untuk melakukan sesuatu bagi menyelamatkan nyawa anak mereka. Menyedihkan, pihak hospital tidak mampu berbuat apa-apa. Sebaliknya, pihak hospital berbincang dengan Marrie dan Carl untuk mempertimbangkan supaya mesin bantuan pernafasan Kaiden dihentikan. Ini kerana, bayi itu sudah tiada harapan untuk hidup memandangkan kebanyakan organ pentingnya mengalami kegagalan untuk berfungsi.
Mendengarkan hal itu, Carl yang tertekan selalu menyalahkan dirinya tentang perkara yang berlaku. Kata Marrie, walaupun berasa sedih mendengarkan berita itu, tetapi dia tidak pernah menyalahkan suaminya. Carl telah berusaha menjadi bapa yang sempurna.

Sebagai ibu bapa yang ingin melindungi anaknya daripada terus menderita, Marrie dan Carl akhirnya membuat keputusan paling sukar dalam hidup mereka. Pasangan ini dengan berat hati memberi kebenaran kepada pihak hospital untuk menghentikan mesin bantuan pernafasan Kaiden supaya si kecil itu boleh pergi dengan tenang.
Selepas alat bantuan pernafasan Kaiden dihentikan, si kecil itu diserahkan kepada ibu bapanya. Saat itu, pasangan itu mencium Kaiden buat kali terakhir dan memberitahu betapa mereka sayangkannya. Kaiden yang hanya berusia lapan minggu ketika menghembuskan nafas terakhir pada 24 Mei 2012.
_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

