Awie duduk di kerusi pengarahan, Rebel tak ada kaitan dengan mana-mana pertubuhan

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

SETELAH bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu Datuk Awie kini diberi peranan sebagai seorang pengarah.

Menariknya, Awie telah dipilih untuk mengarahkan sebuah filem aksi berjudul Rebel: Berontak Untuk Berotak.

Bercerita lebih lanjut tentang peluang mengarahkan filem, Awie memberitahu ia berlaku setelah pertemuan dengan Allahyarham Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London.

“Arwah bersama penerbit datang berjumpa saya dan kami berbincang mengenai filem Rebel, namun agak terkejut apabila mereka turut menawarkan saya mengarahkan filem ini.

“Secara jujurnya, saya anggap ini satu tanggungjawab yang besar. Apapun saya terharu dengan peluang yang diberikan dan menerimanya dengan hati terbuka,” katanya kepada URTV.

Menariknya, filem berkenaan menampilkan dua pelakon lelaki popular iaitu Ben Amir dan MK K-Clique selaku teraju utama, selain Shikin Kamal, Azlan Komeng dan Awie sendiri yang turut berlakon.

Rebel: Berontak Untuk Berotak mengisahkan tentang perseteruan antara dua individu iaitu Luka (Ben Amir) dan Bono (MK K-Clique), meskipun mereka berada dalam sebuah pertubuhan yang sama.

Biarpun idea dan cerita asal filem Rebel ini adalah cetusan daripada dirinya sendiri, Awie menyatakan jalan ceritanya langsung tidak berkaitan dengan mana-mana pihak atau pertubuhan.

Jelas Awie, apa yang ingin dipaparkan ialah tentang proses ‘baik pulih’ dalam sesebuah pertubuhan yang mungkin ada berlaku sebarang kepincangan.

“Selain itu, intipati paling utama yang ingin saya paparkan adalah sikap ‘rebel’ atau memberontak yang ada dalam diri dan jiwa seorang individu. 

“Dalam kehidupan ini, setiap manusia tak ingin dilahirkan nak jadi jahat. Tentu ada punca yang membuatkan individu itu ada sikap ‘rebel’ dalam dirinya, Itu yang saya ingin tonjolkan dalam filem ini,” ujarnya.

Mengenai pemilihan Ben Amir dan MK K-Clique selaku teraju utama, Awie merasakan sudah tiba masanya untuk industri perfileman menampilkan muka-muka baharu berlakon dalam filem aksi.

“Memang saya rancang untuk tampilkan pelakon seperti Ben Amir yang sebelum ini lebih dikenali dengan naskhah romantik. 

“Jadi, saya cuba nak ubah dia untuk menjadi hero dalam filem aksi pula.

“Begitu juga dengan MK yang lebih menonjol dalam bidang nyanyian dan sudah mula aktif berlakon. 

“Sepanjang penggambaran, saya lihat dia mempunyai kebolehan dan bakat yang besar,” jelasnya.

Memandangkan Rebel ini merupakah naskhah sulung sebagai pengarah, Awie meletakkan harapan yang tinggi agar filemnya itu dapat diterima penonton.

Ujarnya, setelah agak lama bergelar seorang pelakon, sudah tiba masanya untuk dia menonjolkan dirinya sebagai pengarah.

“Tidak dinafikan tugas menjadi pengarah itu lebih sukar berbanding pelakon. Namun, sekurang-kurangnya saya belajar banyak perkara.

“Untuk filem pertama ini mungkin ada beberapa kelemahan dan kekurangan, tetapi saya akan perbaiki sekiranya mendapat peluang sebegini pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Zamin Fakry Zainol selaku penerbit berkata, pemilihan Awie selaku pengarah dibuat berdasarkan pengalaman luasnya dalam bidang lakonan.

Maka, pihaknya merasakan sudah tiba masanya untuk Awie diberi peluang meraih pengalaman sebagai seorang pengarah filem.

“Sudah banyak filem yang dia berlakon dengan pelbagai watak yang pernah dilakonkan. 

“Jadi, kami begitu yakin pengalaman yang dimiliki itu dapat diterjemahkan pula apabila dia duduk di kerusi pengarah.

“Sepanjang penggambaran dilakukan kami lihat dia melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan ia dibuktikan dengan filem ini,” jelasnya.

Pada masa sama, Zamin juga berharap agar filem Rebel ini akan mendapat tempat serta memberikan impak kepada penonton terutama sekali penggemar filem aksi.

“Sudah tiba masanya penonton dapat menonton karya sulung daripada Awie, apatah lagi jalan cerita dan idea asal adalah daripada dia sendiri.

“Kami juga yakin peminat yang suka kepada filem-filem genre aksi berpuas hati dengan naskhah yang dihasilkan ini,” akhirinya.

Dihasilkan dengan kos hampir RM1 juta, filem Rebel akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 2 Mei depan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Memori Audionauts bukan penghalang, Ryzall Noh sasar pasaran Malaysia menerusi Natijah Cinta

SELEPAS melakar portfolio ampuh selaku vokalis kumpulan popular Singapura, Audionauts, penyanyi berpengalaman Ryzall Noh kini mengorak langkah lebih berani...

More Articles Like This