Sebagaimana yang kita ketahui puasa adalah menahan diri dari makan dan minum di siang hari pada bulan Ramadan. Waktunya bermula dari terbit fajar al-sadiq iaitu apabila masuknya waktu Subuh dan berakhir apabila terbenam matahari iaitu masuknya waktu Maghrib. Firman Allah dalam surah al-Baqarah: 187,
“Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).
Bagi kita yang tinggal di Malaysia, waktu menahan lapar dan dahaga hanyalah sekitar 13 jam sahaja setiap hari. Dan kebanyakkan negara juga mengalami waktu siang sekitar 13 hingga 14 jam sehari. Itu pun masih ada yang merasa begitu berat sehingga sanggup tidak berpuasa.
Namun begitu terdapat beberapa buah negara terutama di bahagian utara bumi yang mengalami waktu siang yang panjang sehingga mencapai tempoh masa lebih 18 jam sehari.
Antara negara yang mengalami waktu siang yang panjang pada tahun 2024 menurut India Times adalah:-
Pertama: England. Siapa sangka England termasuk salah satu tempat yang mempunyai waktu puasa terlama. Umat Islam di London menjalani puasa selama 16 hingga 17 sehari sama seperti negara Perancis.
Kedua: Poland. Negara republik Eropah Tengah ini merupakan salah satu kerajaan terbesar di Benua Eropah pada satu ketika dahulu. Negara yang pernah dijajah oleh Jerman dan Uni Soviet pada tahun 1939 ini mengalami waktu siang yang panjang iaitu sekitar 17 jam 5 minit.
Ketiga: Scotland. Negara unik yang terkenal dengan budaya lelaki memakai skirt dipanggil Kilt dan alam semulajadinya yang sangat cantik dan memukau ini mengalami waktu siang yang panjang sekitar 17 jam 21 minit.
Keempat: Sweeden. Menurut kajian yang dilakukan oleh U.S. News and World Report, negara Sweeden menjadi negara pertama di dunia yang memiliki kualiti hidup terbaik berdasarkan beberapa aspek antaranya mempunyai ekonomi dan politik yang stabil, kesetaraan pendapatan, aman dan selamat diduduki, serta sistem kesihatan dan pendidikan yang berkembang baik. Negara ini mengalami waktu siang yang lebih lama sedikit dari Scotland iaitu 17 jam 39 minit.
Kelima: Finland. Jangan terkejut, negara ini dinobatkan oleh PBB sebagai negara paling bahagia di dunia dan menduduki tempat pertama paling banyak minum kopi. Secara purata rakyat Finland minum 12kg kopi per kapita. Kopi menjadi hidangan wajib bagi semua majlis bukan sekadar minuman sahaja tetapi tidak terkecuali dalam makanan. Waktu siang di Finland selama 17 jam 48 minit.
Keenam: Iceland. Umat Islam yang tinggal di negara ini mahu atau tidak akan menempuh waktu puasa yang cukup panjang iaitu selama 18 jam sehari. Malah jika tiba musim panas, waktu siangnya boleh mencapai 24 jam iaitu tiada waktu malam.
Ketujuh: Greenland. Walaupun namanya Greenland namun negara yang sebenarnya sebuah pulau terbesar di dunia ini dilitupi dengan 80 peratus lapisan ais yang berwarna putih dan bukan hijau. Umat Islam yang berpuasa di sini perlu menahan lapar dan dahaga selama 18 jam 12 minit dan menjadi negara di kedudukan pertama paling lama berpuasa pada tahun ini.
Walaupun ada yang terpaksa menempuh puasa sehingga hampir 20 jam sehari namun percaya dan yakinlah bahawa ujian dan cabaran ini pastinya akan beroleh ganjaran pahala yang sangat besar dari Allah kerana itu adalah janji Nya kepada kita.
Apa yang utama kita perlu ikhlas dengan segala amalan yang kita lakukan. Insya Allah pastinya dibalas dengan pahala yang berlimpah ruah kerana Allah itu Maha Adil lagi Maha penyayang. Dia tidak akan membebankan umatnya yang tidak mampu menangung beban tersebut. Bersyukurlah kita yang hidup di bumi Malaysia ini. Wallahu a’lam
___________________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

