Serangan bertujuan untuk menghina, melukakan hati masyarakat Islam kebelakangan ini menuntut umat Islam untuk merenung dan mencari jawapan selain mencari jalan agar kesucian agama Islam tidak terus diperlekeh.
Malah di peringkat global, umat Islam hari ini begitu teruk ditindas, dihina dan diperlekehkan. Semua ini menuntut umat Islam untuk mengetepikan segala perbezaan pandangan mahupun pendapat demi kepentingan agama.
Isu penghinaan ke atas agama dan penganut Islam tidak perlu dipolitikkan kerana ia tidak akan mengubah keadaan sebaliknya menjadikannya bertambah buruk. Apa yang lebih penting adalah kesedaran di kalangan penganut agama Islam di negara ini untuk terus bersatu kerana hanya dengan bersatu atas persaudaraan Islam, umat Islam di seluruh dunia dan negara ini mampu untuk memelihara, mempertahan dan menjaga kesucian agama Islam agar tidak terus dihina dan diperlekehkan oleh masyarakat bukan Islam.
Dalam isu penghinaan terhadap agama Islam dan penganutnya, kita tidak perlu melihatnya dalam konteks global semata-mata kerana penghinaan serupa telah berlaku di depan mata. Sebagai sebuah negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti mana termaktub dalam Perlembagaan dan kebebasan beragama yang menjadi amalan, perbuatan sesetengah pihak sengaja mencetuskan ketegangan agama bukan sahaja dikesali tetapi juga menimbulkan banyak persoalan, apakah agenda sebenar mereka?
Beberapa kejadian yang mengguris hati masyarakat Islam di negara ini menunjukkan masih wujud kerapuhan dalam kerukunan beragama. Sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan, kebebasan mengamalkan kepercayaan masing-masing seperti yang dijamin di bawah perlembagaan, sepatutnya dijadikan asas untuk memelihara kerukunan ini.
Kita tentunya ingat dengan tindakan seorang guru dan pengusaha tuisyen di Tangkak, Muar satu ketika dahulu yang sengaja mencetuskan kemarahan umat Islam apabila memaparkan karikatur menghina para sahabat Rasullah. Begitu juga tindakan akhbar The Star yang mengguris hati umat Islam apabila menyiarkan promosi makanan tidak halal ketika umat Islam menyambut kedatangan bulan suci Ramadan.
Malah tindakan akhbar itu menyiarkan gambar penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Erykah Badu bersama lakaran tatu kalimah Allah sempena promosi konsertnya di Malaysia yang kemudiannya dibatalkan atas desakan orang ramai.
Semuanya selesai hanya dengan memohon maaf. Begitu mudah sekali mereka dalam meleraikan kemarahan umat Islam. Mengeluarkan kenyataan dengan permohonan maaf sahaja tidak mencukupi. Sebaliknya penganut bukan Islam di negara ini perlu lebih peka dengan sensitiviti agama dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan.
Sebelum ini pun sudah banyak kali isu membabitkan penghinaan ke atas agama Islam diselesaikan dengan hanya memohon maaf. Malangnya kejadian tersebut terus berulang seolah-olah penganut bukan Islam di negara ini tidak langsung mengambil pengajaran dari apa yang berlaku sebelum ini.
Sifat pemaaf umat Islam tidak dihargai malah terus dipermainkan seolah-olah ingin mencabar kesabaran umat Islam di negara ini yang sudah banyak kali berlembut.
Terbaru apabila kalimah Allah dicetak di stokin dan kemudiannya dijual di sebuah pasaraya serbaneka terkenal yang mempunyai hampir 800 cawangan diseluruh negara. Alhamdulillah, untuk isu yang terbaharu ini walaupun pemilik rangkaian pasaraya tersebut telah memohon maaf namun tindakan mahkamah telah pun diambil. Itu pun setelah adanya desakan besar-besaran dari umat Islam di seluruh negara agar mereka yang terlibat didakwa.
Umat Islam semakin lemah?
Apa yang menimpa umat Islam kebelakangan ini sebenarnya banyak berhubung kait dengan keadaan umat Islam hari ini yang semakin lemah, berpecah belah dan tidak bersatu atas semangat persaudaraan Islam yang menjadi tunjang kekuatan ummah.
Atas kelemahan inilah musuh-musuh Islam memperoleh ruang untuk memperlekeh dan menghina kesucian agama. Selain itu pegangan agama yang semakin longgar dan munculnya golongan liberal yang mempromosikan konsep pluralisme agama memberikan satu bentuk ancaman baru kepada umat Islam di negara ini sekaligus memecahbelahkan lagi umat Islam.
Mereka berjuang bukan lagi berasaskan kesucian agama sebaliknya mengangkat hak asasi manusia ke tempat yang setinggi-tingginya termasuk cuba menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh agama seperti yang dianjurkan oleh Pergerakan Seksualiti Merdeka yang ingin memperakui kedudukan golongan Lesbian Biseksual, Gay dan Transgender (LGBT) dalam masyarakat sebelum ini.
Lebih malang apabila ada kalangan umat Islam sendiri yang menyokong gerakan songsang ini bersama-sama penganut bukan Islam berjuang dan mempertahankannya atas dasar hak asasi manusia.
Apa yang mereka ingin perjuangkan bukan sahaja bertentangan dengan syariat agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan tetapi juga bertentangan dengan adab susila, nilai budaya dan fitrah manusia. Memperjuangkan hak asasi manusia juga ada batasnya.
Hak asasi manusia perlu seiring dengan banyak perkara yang tidak boleh dikompromi kerana tidak semua benda membolehkan yang haram dihalalkan semata-mata atas dasar hak asasi. Keadaan dan penerimaan masyarakat di Barat tidak boleh disamakan dengan masyarakat di Timur lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang beragama dan beradat.
Penghinaan ke atas agama Islam dan penganutnya banyak berlaku secara terbuka mahupun secara tersirat. Antara cubaan kumpulan ini boleh dilihat melalui cadangan mereka untuk menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC).
Tindakan bijak Kerajaan yang menolak penubuhannya merupakan satu tindakan terpuji. Ia bukan sahaja untuk menjaga kesucian agama Islam agar tidak diusik tetapi juga untuk memastikan kerukunan dan keharmonian beragama di negara ini terus dipelihara.
Penubuhan suruhanjaya yang dicadangkan oleh Malaysian Consultative Council of Buddism, Christianity, Hinduism dan Sikhism (MCCBCHS) satu ketika dahulu sebenarnya hanya akan membuka ruang berkembang biaknya fahaman pluralisme agama di negara ini.
Di Indonesia, fahaman ini sudah lama membarah dan merosakkan akidah serta pemikiran sebahagian besar umat Islam. Malah ia mula diterima walaupun dilarang oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI)
Secara ringkasnya fahaman ini yakin bahawa semua agama adalah sama dan semuanya menuju kepada tuhan yang sama. Jalan menuju kepada tuhan itu adalah mengikut ajaran agama masing-masing dan semuanya benar belaka.
“Satu tuhan banyak jalan” seperti yang disebut oleh Dr. Nurcholis Majid tokoh Islam Liberal di Indonesia. Fahaman ini turut dipromosikan dalam bentuk hiburan seperti penerbitan filem-filem yang mempunyai unsur pluralisme yang sangat kuat.
Memandangkan ancamannya yang kian menular, MUI telah menerbitkan fatwa melarang pluralisme. Dalam fatwa tersebut, pluralisme agama didefinasikan sebagai satu fahaman yang mengajarkan bahawa semua agama adalah sama dan kerananya kebenaran setiap agama adalah relatif. Oleh sebab itu setiap pemeluk agama tidak boleh menuntut bahawa hanya agama mereka sahaja yang benar sedangkan agama lain salah.
Pluralisme juga menganjurkan, setiap pemeluk Islam juga mengajarkan bahawa semua pemeluk agama akan masuk dan hidup dan berdampingan di syurga. Ia sememangnya satu konsep yang jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam. Inilah yang cuba digerakkan oleh pendokong-pendokong IFC untuk mencabar kesucian agama Islam di negara ini.
Rasanya tidak perlu memanjangkan 14 tuntutan IFC dan implikasinya ke atas agama Islam dan penganutnya. Cuma umat Islam harus sedar IFC atau rakan-rakan seangkatannya yang lain hanya akan membuka ruang seluas-luasnya kepada orang bukan Islam untuk mencampuri hal ehwal agama Islam.
Dan paling penting, penubuhannya hanya akan menimbulkan ketegangan antara agama yang boleh menggugat keselamatan negara. Tidak mustahil ketika ini juga mereka sedang merangka pelbagai strategi untuk melemahkan umat Islam. Jadi sebagai umat Islam apa agaknya rangka strategi bagi melawan kumpulan ini? Tepuk dada tanya iman. Wallahu a’lam
____________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

