Kontrak kenderaan RM3.9 bilion: Pengerusi Spanco, Robert Tan didakwa tipu MOF

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

PENGERUSI syarikat pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan, Tan Sri Tan Hua Choon didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menipu Kementerian Kewangan (MOF) berhubung kontrak urus kenderaan kerajaan yang berjumlah RM3.9 bilion, lima tahun lalu.

Pengerusi Spanco Sdn. Bhd. (Spanco) yang turut dikenali sebagai Robert Tan, 83, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut kertas pertuduhan Hua Choon didakwa menipu dengan memperdayakan Jawatankuasa Pembuka Peti Tender bagi tender bertajuk ‘Request For Proposal for Supply, Repair, Maintenance and Management of Govemment of Malaysia Vehicle Fleet’ Unit Kerjasama Awam Swasta, MOF bahawa terdapat pemilikan saham sekurang-kurangnya 30 peratus oleh Bumiputera di syarikat Spanco.

Kesalahan itu didakwa dilakukan menerusi dokumen bertajuk ‘Appendix IV (Annex i) Bidder’s Profile’, dan dia dituduh secara tidak jujur telah mendorong Kementerian Kewangan Malaysia untuk menganugerahkan kontrak ‘Supply, Repair, Maintenance and Management of Government of Malaysia Vehicle Fleeť bernilai RM3.9 billion kepada syarikat itu sedangkan Kementerian Kewangan Malaysia tidak akan berbuat sedemikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Tender , Unit Kerjasama Awam Swasta Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 27 Februari 2019 dan 28 Februari 2019 yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, beliau boleh berdepan hukuman penjara antara setahun sehingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, menawarkan jaminan sebanyak RM2 juta dengan penjamin sepertimana yang telah dipersetujui bersama pihak pembelaan.

Mahadi turut mengesyorkan agar tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa dan diplomatik kepada mahkamah dan melapor diri di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu pertama setiap bulan. 

“Selain itu, tertuduh tidak dibenarkan untuk mengacau ganggu atau berhubung dengan saksi-saksi pembelaan secara terus atau menerusi pihak ketiga,” katanya. 

Sementara itu peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili tokoh perniagaan mengesahkan bahawa pihaknya tidak membantah jumlah jaminan yang telah dipersetujui bersama pihak pendakwaan.

“Anak guam ada ‘hypertension’ (darah tinggi), sakit lutut dan belakang, selain sentiasa memerlukan bantuan perubatan. Pergerakan anak guam bergantung kepada tongkat dan sentiasa dibantu individu lain untuk urusan harian. 

“Dalam kes ini, penjamin adalah anak tertuduh. Seterusnya, permintaan untuk menyerahkan pasport menyekat perjalanan dan pergerakan anak guam. 

“Dengan demikian, syarat melapor setiap bulan adalah tidak perlu memandangkan ada syarat sedemikian. Secara alternatif, saya memohon untuk mempermudahkan anak guam untuk melapor diri setiap tiga bulan kerana tiada risiko melarikan diri,” katanya. 

peguam pemerhati mewakili SPANCO, Razlan Hadri, khuatir tertuduh sebagai pengarah eksekutif syarikat itu yang masih aktif dalam perniagaan tidak sengaja berhubung saksi pendakwaan. 

“Boleh kami dapatkan senarai saksi?  Apakah maksud kacau ganggu? Saya tahu tak boleh kacau ganggu dalam kes ini tetapi sekiranya tertuduh tak berhubung langsung dengan mana-mana pegawai SPANCO mungkin agak sukar,” katanya. 

Mahadi kemudian berkata, menjelaskan bahawa pertembungan antara saksi yang masih bekerja di syarikat itu dan tertuduh tidak dapat dielakkan. 

“Bagaimanapun, bila kita katakan berkenaan dengan kacau ganggu saksi apabila mendapat laporan ada cubaan berbincang dengan saksi berkenaan dengan perkara di mahakamah atau sebarang usaha mempengaruhi saksi untuk memberi keterangan.

“Itu maksud kami. Bukan maksud tidak boleh bertembung langsung atau saksi perlu meletak jawatan di syarikat itu,” katanya. 

Susulan itu, Hakim Suzana membenarkan jaminan RM2 juta tersebut ke atas tertuduh selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa dan diplomatik kepada mahkamah, melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM sekali setiap dua bulan, dan tidak mengacau ganggu saksi pendakwaan sepertimana yang dicadangkan pihak pendakwaan. 

Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu kediaman Robert Tan bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion selain turut menyerbu empat syarikat termasuk pembekal kenderaan kerajaan.

Suruhanjaya itu turut memanggil lebih 20 individu dan sudah membekukan kira-kira 80 akaun syarikat serta individu berkaitan dalam kes itu.

Selain itu, SPRM turut merakam percakapan bekas Menteri Kewangan berkait kontrak perolehan membabitkan syarikat berkenaan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Hantaran undang padah, warga Bangladesh ‘kantoi’ miliki dua pasport ditahan

HANTARAN tular di platform media sosial memaparkan seorang lelaki memegang dua pasport mengundang padah selepas warga Bangladesh itu ditahan...

More Articles Like This