Penggunaan susu sejat di dalam resipi Lautan Seafood untuk menambahkan lemak pada kuah. Selain susu sejat sebenarnya boleh juga menggunakan yogurt, krim putar atau krim masakan untuk menggantikan santan. Fungsinya tetap sama untuk melemakkan rasa dalam masakan. Istimewa resipi Chef Muhammad Saffaat dari Micasa All Suite Hotel ini juga, sesuai bagi mereka yang menggemari hidangan shellout. Cuma kuahnya perlu dimasak sedikit pekat. Cubalah pasti tak mengecewakan!

LAUTAN SEAFOOD
BAHAN
250 gm mix seafood
5 biji bawang merah – kisar
3 ulas bawang putih – kisar
3 cm halia – kisar
5 sudu besar rempah kari ikan
2 sudu besar serbuk cili
2 tangkai daun kari
6 gm herba campuran
6 sudu besar santan/susu sejat
3 keping tauhu kering
2 keping asam gelugur
Minyak masak untuk menumis
250 ml air
Serbuk perasa
Garam
CARA PENYEDIAAN
- Panaskan minyak, masukkan daun kari, herba campuran, bawang merah, bawang putih dan halia yang telah dikisar sehingga naik bau.
- Kemudian masukkan rempah kari ikan dan serbuk cili, tumis sehingga pecah minyak.
- Apabila sudah pecah minyak, masukkan air sedikit dan mix seafood. Gaul rata.
- Masukkan susu sejat, garam dan serbuk perasa. Kacau perlahan-lahan.
- Masukkan tauhu kering dan asam gelugur. Biarkan mendidih dan sedia dihidangkan.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

