EMPAT lagi individu termasuk seorang wanita telah ditahan bagi membantu siasatan penahanan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, minggu lalu.
Memetik laporan BH Online, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, empat individu itu ditahan di beberapa lokasi sekitar Johor, semalam.
Menurut beliau, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 28 hingga 41 tahun.
Bagaimanapun, Razarudin memaklumkan, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti hubung kait empat suspek terbaharu itu.
“Kita ada tahan empat lagi individu di Johor semalam, yang kita percaya boleh membantu siasatan polis dalam kes ini.
“Kesemua suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun ditangkap di sekitar kawasan Skudai dan Gelang Patah. Siasatan masih dijalankan,” katanya.
Setakat ini, seramai lapan individu telah pun ditahan termasuk lelaki warga Israel berusia 38 tahun itu.
Dalam pada itu, Razarudin memaklumkan pihaknya akan membuat permohonan menyambung reman pasangan suami isteri yang disyaki membekalkan enam pistol kepada suspek utama tersebut.
Baca artikel lain: Suami isteri beli senjata api di Thailand sebelum jual pada lelaki Israel
Katanya, ia kerana reman kedua-dua suspek itu akan berakhir esok.
Razarudin sebelum ini dilaporkan berkata, pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor jam 7.15 malam, pada Sabtu lalu kini direman tujuh hari.
Katanya, pasangan terbabit disyaki memperoleh pistol dari negara jiran sebelum menjualnya kepada suspek utama dengan pembayaran menggunakan mata wang kripto.
Terdahulu, suspek utama warga Israel berusia 38 tahun ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang pada 27 Mac lalu bersama enam pistol dan 200 peluru.
Polis turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang, yang dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.
Lelaki Israel itu dikesan masuk ke negara ini menggunakan pasport Perancis yang sah dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif utama suspek memasuki negara ini selain tujuannya memiliki senjata api.
Suspek kini direman hingga 7 April ini dengan siasatan dijalankan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

