PENYANYI semakin meningkat naik, Iera Milpan kini berhijab selepas mengikuti ceramah yang membahaskan tentang kewajipan menutup aurat.
Iera atau Syahirah Milpan, 22, mendedahkan dia kini lebih tenang dengan penampilan baharunya selain rasa lebih selamat terhadap pandangan orang lain tentang dirinya.
Katanya, masih terlalu awal untuk dia membicarakan tentang cabaran untuk terus istiqamah bertudung.
“Rasa tenang, tertutuplah sedikit. Sebelum ni dapatlah rasa firsat orang pandang sinis pada kita. ‘Kenapa dia ni?’
“Keluarga kata teruskan untuk pakai, takut nanti orang kata apa pula. Dan bagi saya ia terlalu awal untuk merasakan cabaran dalam berhijab, cuma kalau boleh saya nak teruskan sahaja,” katanya kepada URTV.
Menurut Iera, hatinya mula terdetik untuk berhijab apabila berada di masjid untuk mendengar ceramah berkenaan penjagaan aurat.
Ujarnya, terlalu asyik mendengar ceramah tersebut tanpa disedari dia mengalirkan air mata disebabkan terkesan dengan cara penyampaian yang menusuk kalbu.
Justeru, Iera membuat keputusan untuk mula memakai tudung sepenuhnya pada hari pertama Ramadan ketika ingin ke bazar untuk membeli juadah berbuka.
“Saya habis solat terus duduk. Penceramah tu cakap-cakap. Saya dah nak balik tapi kakak cakap tunggu dulu sebab dia cakap tentang aurat kan.
“Tiba-tiba dia cakap makin dalam. Terus saya menitiskan air mata, tanya pasal aurat.
“Waktu dia cakap tu dia pandang saya, sebab ustazah tu muda lagi. Kemungkinan dia kenal saya atau kawan dia kenal saya. Dia seperti menunjuk ke arah saya.
“Jadi kita tunduk lah, bila dengar fokus. Ayat dia bagai menusuk sakit tapi rasa seperti mencabar saya.
“Saya buat keputusan untuk bertudung pada hari pertama Ramadan semasa hendak ke bazar,” kongsinya.
Disamping itu, Iera turut memberikan reaksi positif terhadap kritikan yang diterimanya ketika dia baru sahaja memulakan langkah untuk memakai hijab.
Jelasnya, dia lebih memilih untuk mengambil perkara yang baik-baik berbanding negatif disebabkan sedar kesilapan lalu tidak menutup aurat datang daripada kelemahan dirinya sendiri.
Pada masa sama, Iera turut bimbang jika imannya berbolak-balik sehingga mendorong dirinya kembali membuka tudung.
“Kita terima yang baik, kalau yang buruk daripada saya, saya akan ubah. Sebab salah daripada saya juga kerana tidak tutup (aurat) sepenuhnya.
“Risau sebenarnya tapi mak selalu bagi semangat dekat saya. Pakai tudung. Kalau nak buat persembahan pun paksa pakai tudung.
“Dia suka kalau saya berhijab. Kalau nak keluar nampak saya pakai tudung terus bagi. Dia dah tak risau,” ujarnya lagi.
Namun begitu, masih terdapat reaksi positif yang diberikan kepada penyanyi Retak Hatiku ini terutamanya di akaun TikTok miliknya.
Dalam perkembangan lain, Iera bakal muncul dengan single ketiga berjudul Padam Api Dalam Lantera selepas Aidilfitri nanti.

