Kumpulan automasi antarabangsa, Kuka Robotics optimis dalam mengembangkan operasi sektor perindustrian Malaysia dengan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos operasi bagi Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Ketua Pegawai Serantau Asia Pasific Kuka, Alan Fam berkata, pihaknya mensasarkan untuk mengembangkan operasi dalam sektor elektronik, automotif dan pertanian di Pulau Pinang dengan menyediakan lebih banyak pusat jualan dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Dengan industri yang semakin berkembang, kami berhasrat untuk menjadi peneraju dengan menyediakan lebih banyak perkhidmatan penyelesaian automatik kepada perusahaan kecil dan sederhana,” jelasnya.
Dalam pada itu jelas Ketua Pegawai Jualan, Erich Schober, mereka komited dalam membantu pelanggan dalam mengurangkan kos operasi dan melatih tenaga mahir sebagai pengendali mesin.
“Kami komited untuk memenuhi keperluan pelanggan dan membantu mereka menjadi lebih produktif dan cekap memandangkan kami merupakan syarikat yang turut menyediakan perkhidmatan. Kilang baharu ini dikhaskan untuk jualan, pemasaran, pembaikan, ujian dan Latihan bagi mereka yang memerlukan.
“Malah kami turut melabur sebanyak RM5.2 bilion dalam jangka masa lima tahun bagi menaiktaraf infrastruktur di samping melatih pekerja mahir,” katanya kepada media.
Turut hadir, Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang menyifatkan perkhidmatan yang ditawarkan Kuka dapat membantu meningkatkan produktiviti dan ekonomi negara.
“Saya sangat gembira kerana ada syarikat yang memperluaskan perkhidmatan dalam bidang ini dan Kuka dapat membantu syarikat lain untuk ke arah automasi. Ini sangat penting untuk negara kerana secara tidak langsung dapat membantu ekonomi negara sekaligus membantu menaikkan tangga gaji pekerja.
“Suka untuk saya ingatkan bahawa kerajaan menawarkan geran dan insentif untuk SME atau industri mikro dalam bidang automasi bagi membantu mereka berkembang. Automasi ini dapat mengurangkan kos dan sekaligus menambah produktiviti,” katanya.
Kuka Robot Automation (M) Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan rakan kongsi integrasi system dan pasaran digital serantau Asia dengan perkhidmatan sokongan dalam Pembangunan perisian dan perundingan.

