Sememangnya sangat menarik apabila umat Islam mengetahui apabila bulan seperti Ramadan dan Syawal datang bertemu mereka. Bulan Ramadan mahupun bulan Syawal merupakan bulan yang mulia dan amat dinanti-nantikan oleh umat Islam di dunia. Jadi, kita perlu mempersiapkan diri kita untuk mengharungi bulan- bulan seperti ini.
Bulan Ramadan dicirikan sebagai bulan yang memberi rahmat kepada sekalian umat manusia. Segala amal ibadah dilipat gandakan pahala dan rezekinya. Segala pintu rahmat dan hidayah terbentang luas di langit. Kasih sayang Allah kepada hamba Nya berlimpah ruah.
Kerana itu, kita lihat pelbagai juadah yang lazat disediakan di bazar-bazar sempena bulan Ramadan mahupun Syawal. Rezeki yang datang ibarat air yang bercurah-curahan begitu juga amal kebajikan kita dilipat gandakan. Rasulullah s.a.w bersabda,
“Apabila datangnya Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (HR Bukhari dan Muslim).
Maka, bulan Ramadan merupakan perintis kepada bulan Syawal. Bulan Syawal juga tidak terlepas daripada gelaran sebagai bulan kemenangan umat Islam, bulan yang mulia dan bulan yang mengeratkan lagi ikatan silaturrahim antara kita.
Bulan ini dianggap istimewa kerana Allah telah mewujudkan satu perasaaan fitrah manusia yakni umat Islam diampun semua dosa setelah berjaya menyelesaikan ibadah puasa selama sebulan dengan penuh jayanya. Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sebuah hadis diriwayatkan Muslim, Abu Daud, At- Tarmizi dan Ibnu Majah,
“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, lalu diiringi dengan puasa 6 hari di bulan Syawal , bererti dia berpuasa setahun penuh”
Pada bulan ini, umat Islam akan dijanjikan dan meraih ganjaran hebat melalui ibadat puasa enam hari yang mana tidak ada pada bulan-bulan lain. Bulan ini juga merupakan bulan takwa dan bulan peningkatan amalan kita.
Maka melalui tarbiah kita dalam bulan Ramadan, umat Islam mempunyai kelebihan untuk meneruskan amal ibadat sebagai bukti keberhasilan amalan kita sepanjang Ramadan.
Persoalannya, cara bagaimana kita hendak memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa sebagai hamba yang bertakwa kepada Allah di bulan yang mulia ini terutama sebagai perjalanan menempuh kepada bulan-bulan lain?
Teladan pupuk murnikan jiwa
Ramadan yang telah kita tempuh sebenarnya telah mengajar kita beberapa perkara penting dalam kehidupan. Salah satu hikmah hebat daripada bulan ini ialah Ramadan mengajar kita menguruskan masa dengan sebaik mungkin.
Bermula daripada amalan bersahur kita diajar untuk menepati masa. Kita disunatkan melewatkan sahur dan disegerakan berbuka. Ini bertepatan dengan dengan amalan Rasullulah yang telah diceritakan oleh Saidatina Aisyah dalam beberapa hadis. Maka sepanjang Ramadan, Allah telah menyediakan kita pakej pahala yang berlipat kali ganda.
Amalan wajib mendapat 70 kali ganda. Manakala ibadah sunat pula mendapat pahala wajib. Pelbagai amalan yang banyak umat Islam lakukan pada bulan yang mulia itu berharap segala perbuatan malahan percakapan yang baik pada bulan yang penuh barakah akan terus menjadi pendorong dalam memurnikan jiwa daripada sebarang kekotoran.
Kita juga tidak terlepas daripada memurnikan jiwa pada bulan Syawal. Hakikatnya, kita telah mendidik diri menampilkan ahklak yang baik dalam bulan tersebut. Bulan Syawal menjadi bulan yang penuh berkat, rahmat meluas dan mendapat keampunan Allah kerana melaluinya umat Islam dapat mencantumkan dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara mereka.
Kita juga telah menerapkan nilai-nilai murni melalui ziarah menziarahi serta memaafkan antara satu sama lain. Sepatutnya amalan-amalan seperti ini patut disemaikan dalam sanubari kita setiap hari. Bukan hanya bila bertemu bulan yang baik seperti Ramadan dan Syawal baru mula melakukan amal kebaikan.
Sedangkan apabila masuk bulan seterusnya, kita sudah lupa diri. Di mana nilai-nilai yang kita terapkan dalam dua bulan mulia sebelum ini. Janganlah seperti kacang lupakan kulit. Anggap segala bulan-bulan yang Allah turunkan adalah bulan yang baik dan sentiasa ada rahmat dan barakah.
Ingatlah ketika ini dunia sudah berada di akhir zaman memandangkan ia penuh dengan cabaran dan mampu memberi spekulasi yang buruk walau kita lakukan yang baik. Itulah penghujung usia dunia. Dalam surah Mukmim: 59 Allah memeri peringatan dengan mafhumnya
“Sesungguhnya Hari Kiamat pasti akan datang, tidak ada keraguan tentangnya, akan tetapi kebanyakkan manusia tidak beriman (Hari Akhirat)”
_____________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

