Menurut SHELTER * dan kebanyakan agensi sama di seluruh dunia, tiada undang-undang yang menetapkan had umur minimum kanak-kanak yang boleh ditinggalkan di rumah bersendirian.
Namun ia adalah satu kesalahan untuk meninggalkan anak-anak bersendirian sekiranya perbuatan tersebut meletakkan mereka dalam bahaya.
Secara amnya, panduan yang diguna pakai untuk menentukan sama ada wajar atau tidak meninggalkan anak-anak bersendirian adalah seperti berikut:
● Anak-anak di bawah umur 12 tahun kebanyakannya belum matang dan kurang sesuai ditinggalkan bersendirian untuk tempoh masa yang panjang.
● Anak-anak di bawah umur 16 tahun tidak wajar ditinggalkan bersendirian semalaman.
● Bayi dan kanak-kanak kecil tidak wajar ditinggalkan bersendirian tanpa pemantauan orang dewasa.
Sememangnya jika diberi pilihan, ibu bapa mana yang sengaja ingin meletakkan anak-anak mereka dalam bahaya. Namun dengan komitmen kerja yang semakin mencabar, kebanyakan ibu bapa perlu berhadapan dengan situasi sebegini.
Bagi membantu ibu bapa menangani keadaan ini dengan lebih baik, AWAS WANITA ingin berkongsi tip dan teknik keselamatan sekiranya anda perlu meninggalkan anak-anak bersendirian tanpa pemantauan orang dewasa.
● Tinggalkan nombor telefon dan sekiranya mereka menghubungi anda, pastikan panggilan dijawab dengan segera.
● Tinggalkan senarai nombor beberapa orang lain yang anda percayai seperti saudara-mara atau rakan yang anak-anak anda boleh hubungi untuk mendapatkan bantuan jika mereka tidak dapat menghubungi anda.
● Pastikan peralatan yang bahaya dan tajam seperti mancis, pisau dan bahan kimia disimpan di tempat yang selamat dan tidak dapat dicari oleh mereka.
● Maklumkan kepada mereka bila anda akan pulang ke rumah dan jangan lewat.
● Berikan mereka peraturan asas berhubung perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat semasa anda tiada di rumah. Antaranya adalah:
– Jangan bermain dengan dapur, mancis dan lilin.
– Jangan letak barang di atas lampu atau peralatan yang panas.
– Jangan bermain dengan suis, wayar atau peralatan elektrik.
– Jangan buka pintu kepada orang yang tidak dikenali.
– Jangan benarkan tetamu masuk ke rumah (walaupun orang yang anak-anak anda kenali) melainkan setelah mendapat kebenaran dari anda.
● Ajar anak-anak teknik untuk bertindak sekiranya berlaku kecemasan di rumah seperti kebakaran. Antaranya adalah:
– Jika terhidu bau asap atau melihat kebakaran, pesan kepada anak-anak untuk segera keluar dari rumah dan dapatkan bantuan dari jiran tetangga.
– Pastikan anak-anak anda hafal Alamat rumah supaya bantuan dapat diberikan dengan segera.
– Pesan kepada anak-anak untuk tidak bersembunyi dalam almari atau bawah katil dan masuk semula ke dalam rumah untuk sebarang sebab sekalipun.
– Ajar mereka teknik asas bantuan kecemasan.
– Ajar mereka bila dan bagaimana hendak menghubungi nombor kecemasan 999 (polis, bomba dan hospital).
Walaupun dengan tip di atas, perkara paling penting adalah pastikan anak-anak anda gembira ditinggalkan bersendirian. Sekiranya mereka kelihatan tidak selesa dan kurang yakin, ibu bapa disarankan mendapatkan juga bantuan orang dewasa lain untuk menjaga anak-anak semasa anda tiada di rumah.
Konsep Bilik Selamat
Ibu bapa disarankan untuk mewujudkan bilik selamat atau safe room dalam rumah yang mana anak-anak boleh pergi bersembunyi sekiranya dikejar penjahat dan tidak sempat lari keluar menyelamatkan diri.
Sekiranya rumah anda dilengkapi dengan sistem penggera, disarankan agar bilik tersebut dilengkapi dengan butang panik yang apabila ditekan akan mengaktifkan siren.
Pastikan kunci dan engsel pintu bilik tersebut lebih kuat dan selamat dan mempunyai tingkap yang mudah dilihat oleh jiran-jiran lain sekiranya anak-anak anda meminta tolong atau memberi isyarat kecemasan.
Dalam bilik tersebut, simpan satu telefon mudah alih rahsia (hanya anda dan anak-anak tahu di mana ia disimpan) yang telah direkodkan senarai nombor penting untuk anak-anak gunakan bagi mendapat bantuan.

