PELAKON Riezman Khuzaimi mengingatkan kepada pengguna media sosial khususnya TikTok untuk tidak mengambil kesempatan dengan menagih pemberian hadiah atau ‘gift’ sebagai sumber pendapatan harian.
Sebagai duta KamiSempoi yang dilantik oleh agensi platform terbabit, dia akui terkesan apabila ada suara-suara sumbang yang melabelkan TikToker sepertinya sebagai peminta sedekah.
“Saya akui terasa tapi bukanlah kerana mulut orang tapi lebih kepada perasaan saya sendiri.
“Tahun lalu selepas saya kena ‘slip disc’, saya berehat seketika daripada buat ‘live’ di TikTok. Saya kaji semula sebab rasa tak seronoklah bila buat ‘live’, orang bagi ‘gift’ walaupun kita tak minta.
“Tapi ada juga TikToker lain yang ambil kesempatan dengan meminta-minta ‘gift’ dalam bentuk koin secara terang-terangan.
“Kita fikir, orang penat kerja siang dan malam cari duit, dapat gaji hujung bulan tapi mereka inilah yang sanggup habiskan RM500 unutk beli koin ‘gift’ dan beri pada kita,” katanya kepada URTV.
Riezman berkata demikian ketika ditemui pada sidang media KamiSempoi Agensi di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Justeru, kata Riezman, bagi mengelakkan trend tersebut makin berleluasa, dia menyarankan hos TikTok berfikiran kreatif mencipta kandungan menarik untuk tontonan warganet.
“Janganlah duduk saja-saja depan ‘live’, jawab soalan orang lepas tu tunggu diberikan ‘gift’. Itu menampakkan kita seperti meminta sedekah. Trend ini tak eloklah.
“Bila saya ada sub-agensi sendiri, saya galakkan hos TikTok untuk cipta kandungan sewaktu mereka bersiaran langsung.
“Walaupun orang ramai dah tahu TikTok boleh menjana pendapatan tapi kita sendiri janganlah sampai mengemis daripada orang lain.
“Lama-kelamaan orang dah tak nampak kebaikan platform ini,” jelasnya.
Pada masa, Riezman enggan pengguna TikTok di negara ini menjadikan hos dari luar negara yang lebih berani mengaut keuntungan peribadi dengan sanggup melakukan perkara tidak masuk akal.
“Banyak sebenarnya contoh tak baik yang kita janganlah jadi ikutan seperti di luar negara. Di sana, mereka sanggup menggunakan budak kecil yang dibalut kepala, cakap anak sakit.
“Bila dah macam tu, orang kesian dan akan beri ‘gift’. Tapi di Malaysia lain pula ceritanya sebab peraturan di sini lebih ketat.
“Kalau kita guna peralatan tajam seperti pisau ketika memasak, asap rokok, berpakaian seksi dan banyak lagi akan menyebabkan akaun TikTok ‘dibanned’.
“Sebab itulah saya didik hos TikTok ini unyuk cipta konten berdasarkan minat supaya dapat jana pendapatan berkat bukan meraih sedekah,” ujarnya.
Selain Riezman, seorang lagi selebriti iaitu Nita Hamzah turut telah dipilih selaku duta Kami Sempoi.
Kami Sempoi merupakan agensi yang membantu hos siaran langsung TikTok bagi menguruskan kerjaya mereka sekali gus menjana pendapatan di platform digital itu.
Ketika ini, Kami Sempoi menguruskan hampir 2000 hos siaran langsung Tik Tok di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

