Kekaboo Sdn. Bhd., (Kekaboo) pengeluar tudung bawal berjenama Kekaboo menyumbangkan 5000 kampit beras kepada penduduk Kuala Krau menerusi insiatif Kekaboo Kaseh Charity.
Menurut pengasasnya, Nur Hazwani Abdul Zainal atau lebih selesa dikenali sebagai Wany berkata, perjalanan bisnes Kekaboo bukan sekadar meraih keuntungan, namun dalam masa yang sama mereka mahu turut menyumbang kepada masyarakat.
“Setiap bulan kami hanya fikirkan bagaimana nak tambah jualan, dan sebab itu kami mahu sama-sama memberi manfaat kepada orang lain. Memang klise bila orang kata nak membantu orang kena buat bisnes, namun daripada keuntungan jualan inilah kami salurkan untuk meringankan beban.
“Saya selalu berpesan kepada team Kekaboo di mana matlamat kita bukanlah sekadar menjual barang, namun kelebihan yang kita ada itu digunakan untuk bersedekah. Jadi bila beli Kekaboo, secara tidak langsung anda juga turut menyumbang,” katanya kepada Wanita.

Berkongsi keterujaan akan sambutan hangat koleksi Lebaran, tambah Wany, momentum jualan Kekaboo terus mencanak naik sejak Januari dan ini turut memberi kelebihan buatnya memberi infak kepada penduduk kampung.
“Alhamdulillah, tudung Kekaboo mendapat sambutan yang cukup hebat pada bulan Ramadan di mana jualan kami non-stop dari bulan Januari. Untuk bulan Februari kami berjaya mencapai RM3.7 juta dan untuk Mac sahaja jualan kami mencecah RM4 juta. Jumlah jualan sehingga April mencecah RM12 juta.
“Sebenarnya setiap minggu kami lakukan program amal dan kali ini sumbangan 5000 kampit beras diberikan kepada penduduk Kuala Krau kerana ini merupakan lokasi di tengah-tengah kampung kelahiran saya dan suami,” jelasnya.

Teruja akan sambutan penduduk kampung, jelas Wany, menerusi Kekaboo Kaseh Charity, dia dan pasukan akan meneruskan gerak kerja dalam meringankan beban Masyarakat setempat.
“Pada mulanya saya agak risau memikirkan betulkah apa yang saya lakukan ini sebab mungkin ada yang memandang sinis, namun saya ambil pendekatan positif. Saya sendiri tidak menyangka dengan respon penduduk yang cukup gembira dan bersyukur dengan pemberian ini.
“Saya sangat terharu apabila ada yang datang dan peluk saya sambil ucapkan terima kasih. Insya-Allah selepas ini akan ada lagi program sebegini dari Kekaboo,” kongsinya lagi.


