Tunjang Halal bukan hanya terkait ibadah tetapi akidah

Dari Penulis

Ramai orang memperkatakan tentang halal tanpa mengira latar belakang. Kecenderungan ini sesuatu yang sangat baik kerana kepentingan barangan halal berjaya ‘dirakyatkan’. Di kalangan ahli perniagaan, halal merupakan peluang pasaran untuk membuat keuntungan yang sangat besar.

Para saintis pula tidak kurangnya melihatnya sesuatu penemuan kajiannya seperti melibatkan GMO, DNA, vaksin dan baka yang boleh memberi alternatif kepada produk halal.

Suatu yang tidak terduga, terdapat juga orang bukan Islam menjadikannya peluang memberi khidmat konsultasi sama seperti dalam perbankan Islam. Dalam konteks pensijilan, halal menjadi satu piawaian bagi syarikat pengeluaran barangan halal.

Syarikat perlu merujuk kepada badan-badan berautoriti untuk pengesahan halal terhadap barangan yang dikeluarkan. Badan-badan ini terikat dengan standard, akta dan prosedur dalam pensijilan halal yang dilaksanakan. Kesemua ini dilihat lebih utama sebagai punca kuasa.

Suatu perkara yang hampir dilupakan dan banyak pihak tidak berminat memperkatakan tentang halal ialah hubungannya dengan akidah. Sebenarnya, inilah punca kuasa dalam penentuan halal-haram.

Oleh itu Islam memberi batasan kekuasaan untuk menentukan halal-haram yang hanya milik mutlak Allah tanpa bersandar dan terikat dengan apa sahaja darjat yang mentadbir dalam sesuatu urusan. Hak ini tidak dikongsi dengan mana-mana pihak atau individu.

Sesiapa yang melangkaui batasan ini bermakna melanggar hak ketuhanan yang menjerumuskan ke dalam perbuatan syirik. Sebagaimana Allah bertanya kepada mereka yang mempunyai sekutu-sekutu untuk campur tangan urusan menentukan hukum hakam yang tidak diizinkan Allah (Syura: 21). 

Kuasa ini adalah sangat mudah difahami dan tidak berbelit-belit seperti akta atau mana-mana prosedur yang diamalkan. Malah ia tidak pernah berubah dan tidak akan berubah kerana telah tersimpul dalam kepercayaan akidah tauhid.

Malangnya kepentingan ini sering kali diabaikan kerana halal dan akidah, atau halal dan tauhid tidak dapat dilihat dan tidak mungkin nampak sebagai nilai komersial. Para saintis mungkin sukar membawanya ke dalam makmal kajian kerana berkonsepkan ikatan kepercayaan! Sebab itu ia tidak popular diperkatakan.

Hakikatnya sumber yang digunakan terutamanya melibatkan makanan berkait secara langsung dengan ikatan halal, suci dan tauhid. 

Contohnya, sumber bahan mentah yang kita gunakan untuk makanan harian. Hampir sukar setiap hari kita mengelak ramuan makanan yang bebas dari sumber haiwan seperti daging, lemak haiwan, sari pati minyak haiwan, gelatin dan sebagainya yang digunakan dalam masakan.

Malah bahan-bahan ini digunakan dalam sabun, syampu dan alat-alat solek. Makanan atau barangan ini, sama sekali haram diambil sekiranya cara haiwan tersebut dimatikan bukan mengikut syariah Islam.

Sebaliknya datang dari bangkai atau dari spesies haram seperti babi dan anjing. Untuk menghalalkan sumber tersebut, ia mesti disembelih dengan menyebut nama Allah dan dikendalikan secara ihsan.

Kewajipan menyebut nama Allah ialah persoalan tauhid dan akidah. Begitu juga dengan penyembelih yang disyaratkan mesti beragama Islam, turut menyentuh soal akidah.  Orang musyrik, kafir dan murtad, tidak sah sembelihannya dan dihukumkan sebagai bangkai.  

Menurut Wahbah Zuhaili, sembelihan orang fasiq, makruh sungguhpun penyembelih tersebut seorang Islam. Begitu juga sembelihan yang melibatkan pemujaan dan niat bukan kerana Allah, haram dan haiwan sembelihannya menjadi bangkai.

Tuntutan akidah

Hubungan tauhid dan pemakanan halal disebutkan dengan jelas dalam surah al-Kahfi ayat 19. Al-Quran menceritakan, segolongan pemuda yang ditakdirkan tertidur selama 309 tahun ketika menyembunyikan diri untuk menyelamatkan akidah dari pemerintah yang zalim dikaitkan secara langsung dengan makanan halal.

Mereka menerpa mencari makanan halal lagi baik (azka toaaman) setelah terjaga dari tidur yang panjang. Al-Quran menyelitkan sikap dan pendirian golongan muda ini yang prihatin terhadap makanan di celah cerita panjang dengan dua zaman berbeza yang dihadapi mereka.

Bukan hanya tertakluk makanan

Hubungan akidah tidak terhad pada persoalan makanan, malah dalam perubatan dan pengambilan ubat-ubatan. Rasulullah dengan tegas mengharamkan sebarang penglibatan sihir, jin dan penggunaan bahan haram.

Perubatan melibatkan ilmu hitam adalah syirik dan penggunaan bahan haram dalam rawatan adalah racun, dan bukannya ubat (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi dan Ibn Majah).

Pada perspektif akidah Islam, Allah, kuasa penyembuh mutlak. Ubat, rawatan dan segala peralatan yang digunakan hanya sebagai ikhtiar. Oleh itu al-Quran meletakkan pengharaman arak sebaris dengan judi dan tenung nasib. Bahkan kerja-kerja seumpama itu adalah kerja syaitan.   

Malangnya masih terdapat sesetengah orang menggunakan arak sebagai ubat. Pada ayat lain Allah menuntut makan makanan halal lagi baik (toyyiba) dan tidak mengikuti langkah-langkah syaitan.

Peringatan-peringatan nas hukum dalam pelbagai bentuk dinyatakan supaya manusia tidak tertipu dengan makhluk angkuh dan syirik terhadap Allah hatta melibatkan makanan dan barangan yang digunakan.  Ini bermakna tunjang utama hukum halal-haram itu sendiri sarat dengan tuntutan akidah tauhid dan bebas dari sebarang unsur syirik.

Halal bukannya sekadar merujuk standard atau prosedur sebagai asas utama sebagaimana dalam pengurusan sekular moden hari ini. Begitu juga bukanlah bersandarkan penemuan sains yang sentiasa berubah-berubah dan tidak konsisten.

Kesemua itu, sebagai alat pembantu, tetapi bukan pelengkap atau sebagai pengukur mutlak. Pengurusan kualiti moden hanya melihat kecekapan, penyelarasan, dokumentasi dan ketelusan. Dalam kamus pengurusan kualiti mereka tidak ada pengertian tauhid.

Akidah dan tauhid itu tidak memberi apa-apa makna bagi mereka. Oleh sebab itulah The Codex Alimantirius Commission sebagai piawaian makanan antarabangsa di bawah WHO telah mencedok beberapa muka surat dari panduan umum penyediaan makanan halal yang diterbitkan oleh JAKIM bagi membolehkan piawaiannya terus relevan di kalangan orang Islam. Wallahu a’lam

_______________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fahami perbezaan hadis daif, palsu dalam beramal di era digital

Oleh Mohd Shahrizal Faizal Mahasiswa Tahun 3 di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. PERKEMBANGAN media sosial pada...

More Articles Like This