Tak kisah digelar ratu soundtrack, Adira Suhaimi anggap promosi percuma untuk lagu sendiri

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

KREDIBILITI dimiliki penyanyi Adira Suhaimi dalam industri muzik tanah air tiada siapa boleh pertikai. 

Dia berjaya mencorak kanvas seni tersendiri dengan bakat yang dimiliki. Malah, aura bintang itu sudah terpancar sejak di awal kemunculan kerjayanya.

Selepas lebih sedekad dalam industri muzik, Adira sudah merakamkan lebih 10 lagu runut bunyi hingga diberikan jolokan ‘Ratu Soundtrack’.

Terbaharu, Adira sekali lagi berpeluang merakamkan lagu runut  bunyi bagi filem Memoir Seorang Guru berjudul Kasih yang diterbitkan oleh Nova Music hasil ciptaan Ayden Ali, Adeef Den, Iqie Hugh serta lirik oleh Datuk Arisz Abd Rahman.

Adira berkata, dia bernasib baik dapat bekerjasama dengan barisan komposer hebat itu selain bangga diberi penghormatan sekali lagi untuk menyanyikan lagu runut bunyi buat filem terbaharu. 

“Sebagai penyanyi, saya okey saja menyanyikan sebarang lagu asal sesuai melodi dan liriknya dengan suara saya. Saya tidak terlalu memilih kerana kebanyakan karya lagu diterima itu memang sedap di dengar.

“Kepercayaan diberi oleh komposer dan penulis lirik kepada saya untuk merakamkan sesebuah lagu tidak akan saya ambil mudah. Oleh itu, saya akan pastikan beri komitmen penuh pada tanggungjawab yang diberikan.

“Saya hanya mampu mengucapkan berbanyak terima kasih atas segala peluang yang diberi. Bagi saya, menjadi tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik dalam kerja rakaman sesebuah lagu,” katanya.

Tidak kisah dengan jolokan ‘Ratu Soundtrack’, naib juara program realiti Akademi Fantasia musim kelapan itu hanya mahu kekal relevan dalam era muzik semasa.

Adira menyifatkan dirinya bertuah apabila lagu runut bunyi yang dirakamkan kerap diputarkan baik di panggung wayang, kaca televisyen atau radio. Ini sekali gus, dapat mempopularkan lagu yang dinyanyikan.

“Ia umpama promosi secara percuma apabila lagu yang dirakam dijadikan runut bunyi sesebuah filem atau drama rantaian. Jika mahu mengeluarkan bajet untuk mempromosikan lagu di kaca televisyen memerlukan kos yang tinggi. 

“Jadi bila sesebuah lagu kerap dimainkan di dalam filem atau drama rantaian mudah bagi lagu itu melekat di jiwa penonton,” ujarnya.

Video muzik lagu Kasih kini  boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ di pautan ini https://youtu.be/p86rNp0NWNM.

Filem Memoir Seorang Guru bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 Mei ini.

Filem adaptasi novel Azizi Hj Abdullah ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor sebagai teraju utama serta pelakon Ellie Suriaty, Zul Huzaimy, Nabila Huda, Johan Asa’ri, Trisha Ooi dan ramai lagi.

Filem arahan Kyoll Hamzah itu diterbitkan oleh Kalam Ariff Holdings Sdn Bhd (KAHSB) dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Saya tak kejar populariti, cukuplah lagu saya menggamit memori…,” – Jamal Abdillah bicara soal gelaran Biduan Negara

MENGHAMPIRI lima dekad mendaki puncak populariti dalam industri muzik tanah air, nama Raja Pop negara, Datuk Jamal Abdillah, tidak...

More Articles Like This