“Kasih itu bukan milik saya sepenuhnya…,” – Adira Suhaimi buka mulut soal keikhlasan & melepaskan

Dari Penulis

SELEPAS sekian lama sinonim dengan deretan lagu runut bunyi drama popular, penyanyi yang sering digelar ratu OST, Adira Suhaimi kembali menghangatkan industri muzik tempatan menerusi single terbaharu berjudul Sayang Orang Sama.

Tampil dengan balada kontemporari yang sarat emosi, lagu ini menyentuh tema cinta, penerimaan dan keberanian untuk merelakan satu sisi yang lebih matang dan jujur daripada figura penyanyi berkenaan.

Diterbitkan oleh Nova Music Malaysia, Sayang Orang Sama merupakan hasil kolaborasi komposer Mas Dewangga dan Jova Devito, dua nama yang sering menjadi finalis Anugerah Juara Lagu.

Liriknya pula digarap bersama Datuk Arisz Abdul Rahman JP, menjadikan karya ini cukup kuat dari sudut melodi dan penceritaan.

Menurut Adira, lagu berkenaan bukan sekadar berkisar tentang cinta yang teruji, sebaliknya lebih kepada refleksi perasaan apabila seseorang itu terpaksa menerima hakikat bahawa kasih yang dirasai tidak sepenuhnya menjadi miliknya.

“Lagu ini sangat dekat dengan jiwa saya. Ia bukan mengenai siapa yang betul atau salah, tetapi tentang perasaan apabila kita menyayangi seseorang dan akhirnya sedar bahawa kasih itu tidak sepenuhnya milik kita,” katanya.

Tambah Adira, proses rakaman lagu tersebut membuka ruang untuk beliau menyelami emosi dengan lebih mendalam, bukan sahaja sebagai penyanyi, malah sebagai individu yang sedang melalui fasa kehidupan yang semakin matang.

“Semasa merakamkan lagu ini, saya banyak berfikir soal penerimaan dan reda.

“Tidak semua cinta perlu dimiliki sepenuhnya, dan tidak semua perasaan perlu berakhir dengan penyesalan.

“Ada masanya kita belajar untuk melepaskan dengan tenang,” ujarnya.

Adira turut mengakui kekuatan single tersebut terletak pada kejujuran liriknya yang dekat dengan realiti kehidupan, khususnya buat mereka yang memilih untuk memendam rasa demi menjaga hati orang lain.

“Kadang-kadang kita terlalu sayang, tetapi dalam masa yang sama kita perlu berkongsi perasaan itu.

“Lagu ini adalah suara kepada mereka yang nampak kuat di luar tetapi rapuh di dalam. Ia tentang menerima hakikat tanpa membenci,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, penyanyi berkenaan berharap single terbaharunya mampu menjadi peneman emosi kepada pendengar yang sedang melalui fasa sukar dalam perhubungan mahupun kehidupan.

“Jika lagu ini mampu membuatkan seseorang rasa difahami dan tidak keseorangan, itu sudah cukup bermakna buat saya.

“Saya harap Sayang Orang Sama boleh menjadi ruang untuk pendengar bernafas, merenung dan akhirnya berdamai dengan perasaan sendiri,” katanya.

Single ini sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama Adira bersama Nova Music Malaysia yang sebelum ini menerbitkan beberapa lagu popularnya.

Kolaborasi berterusan ini dilihat terus mengekalkan identiti muzik Adira yang menitikberatkan kejujuran emosi dan kekuatan vokal.

Menariknya, seperti kebanyakan lagu Adira sebelum ini, Sayang Orang Sama turut dipilih sebagai lagu runut bunyi drama bersiri 30 episod berjudul Khianat Yang Terpilih yang akan mula bersiaran di slot Akasia pukul malam di TV3, hari ini.

Single berkenaan kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama, manakala muzik video rasmi akan mula ditayangkan di saluran YouTube Nova Music Videos pada 2 Mac, pukul 3 petang.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Setahun derita autoimun hingga berat badan ceah 46kg, Andi Bernadee akhirnya buka mulut punca ‘sembunyi’ diri

TEKA-TEKI mengenai imej misteri penyanyi dan pelakon popular, Andi Bernadee yang dilihat 'berselubung' setiap kali berada di ruang awam...

More Articles Like This