PEMPENGARUH media sosial, Tyra Kamaruzzaman, mengulas ciapan kontroversi yang timbul apabila seorang individu kurang senang ketika lagu asal nyanyian Whitney Houston, ‘I Will Always Love You’, dinyanyikan semasa majlis perkahwinannya pada Sabtu lalu.
Ujar Tyra, perkara ini seharusnya dinilai dengan tenang kerana ia merupakan lagu kegemaran suaminya iaitu Emran yang juga merupakan pereka fesyen terkenal di Malaysia.

Malah, dia turut merasakan kebanyakan tetamu di majlis perkahwinannya sangat menggemari nyanyian lagu tersebut, terutama apabila dilantunkan oleh penyanyi terkenal Aina Abdul.
“Bertenang. Kita tak minta pun lagu itu tetapi ia sangat menyenangkan mendengar lagu Whitney Houtson dinyanyikan oleh Aina Abdul.
“Ia juga lagu kegemaran Emran daripada Whitney,” katanya menerusi perkongsian di Instagram Story miliknya.
Disamping itu, Tyra turut memuji penghayatan yang hebat dalam nyanyian Aina sehingga orang ramai terlupa akan maksud dan lirik lagu tersebut.
Dalam nada jenaka, Tyra turut merasakan dirinya berhak memiliki kebebasan untuk memilih lagu yang disukainya sempena meraikan hari bahagianya bersama suaminya, Emran.
“Tiada siapa yang memberi perhatian kepada maksud lagu itu. Semua terpesona dengan suara Aina. Semua orang juga tahu lagu ini.
“Kalau ikutkan, saya nak lagu Everyday I’m Shuffling. Majlis kahwin saya, jadi suka hati saya nak pilih lagu apa,” ujrnya lagi.
Untuk rekod, Tyra kini sah bergelar isteri kepada Emran selepas majlis pernikahan mereka yang berlangsung pada Jumaat lalu.
Kemudian, pasangan ini telah meraikan majlis perkahwinan di sebuah hotel pada malam Sabtu lalu dengan memakai persalinan berkonsepkan Puteri Gunung Ledang yang dipilih dan digayakan oleh Tyra dengan sangat anggun sehingga meraih perhatian warga maya.

