UMNO adalah wadah memainkan peranan penting dalam sejarah Malaysia sejak daripada awal penubuhan parti itu 78 tahun lalu sehingga hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu telah melalui pelbagai zaman dan kepimpinan.
Malah, kata beliau, UMNO juga telah berjaya mendepani segala rintangan dan ujian di persada politik negara selama 78 tahun ini.
Menurut Ahmad Zahid, jasa dan perjuangan pemimpin serta ahli UMNO terdahulu telah membawa kepada kehidupan yang lebih baik buat ahli atau rakyat secara keseluruhannya.
“Setelah hampir lapan dekad usianya, tentu sekali UMNO telah melalui pelbagai fasa dalam memastikan kelangsungannya.
“Marilah kita berdoa semoga tahun-tahun mendatang kita akan menyambut lagi hari ulang tahun UMNO.
“Marilah kita berdoa agar UMNO kembali menjadi sebuah parti yang kuat untuk terus membawa harapan rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-78.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tarikh 11 Mei hari ini menjadi manifestasi keberadaan UMNO dan menjadi tarikh ulung untuk bermuhasabah serta memperbaiki perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
Baca artikel lain: Zahid nafi tawar jawatan Setiausaha Agung UMNO pada Hamzah
Beliau turut berharap semua ahli UMNO sentiasa meneguhkan tekad meneruskan legasi perjuangan parti yang dipertahankan dulu, kini dan selamanya demi ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.
“Semoga Allah SWT sentiasa memberikan hidayah, petunjuk dan panduan kepada kami semua dalam melayari ujian dalam perjuangan politik di dunia ini.
“Insya-Allah dengan kesabaran, kita akan menuai kejayaan di penghujungnya dan mendapat ganjaran syurga Allah dalam perjuangan politik di dunia ini,” katanya.
Ahmad Zahid dijadual menyampaikan Amanat Presiden sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO yang ke-78 selepas Maghrib hari ini.
Sambutan Ulang Tahun UMNO yang ke-78 akan berlangsung hari ini dan akan diraikan serentak di seluruh negara.
Untuk peringkat pusat, UMNO akan menganjurkan sambutan bersama UMNO Wilayah Persekutuan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

