ANGGOTA kumpulan nasyid Rabbani, Nazrul Azhar Tamrin, 47, meninggal dunia sekitar pukul 4.45 petang di kediamannya di Saujana Utama, Sungai Buloh akibat sakit buah pinggang.
Berita sedih itu dikongsikan sendiri oleh ketua kumpulan Rabbani iaitu Azadan Abdul Aziz.
“Saya dihubungi oleh anak arwah yang memaklumkan bapanya tidak sedarkan diri sekitar pukul 4 petang.
“Ketika itu, keluarga arwah sudah pun menelefon ambulan untuk dibawa ke hospital.
“Selepas pegawai perubatan membuat pemeriksaan, Allahyarham disahkan sudah tidak bernafas lagi pada 4.45 petang,” katanya kepada URTV.
Menurut Azadan, arwah sudah lapan tahun menderita sakit buah pinggang selain sudah tidak aktif membuat persembahan bersama Rabbani.
“Kedua buah pinggangnya sudah lama rosak selain mata juga sudah kabur…dah lapan tahun dia berehat daripada Rabbani.
“Kami tidak keluarkan dia daripada kumpulan, cuma rehatkan sahaja,” ujarnya.
Tambah Azadan, tiga hari lalu arwah ada datang ke kedainya bagi meminta bantuan RM15,000 untuk biaya pembedahan disebabkan tangan kirinya membengkak.
“Saya dan anggota lain ada merancang nak buat program untuk kumpul dana bagi meringankan sumber kewangannya.
“Tapi nampaknya perancangan tersebut tidak dapat ditunaikan sebab arwah sudah meninggal dunia,” katanya.
Untuk info, Allahyarham meninggalkan seorang balu dan enam orang cahaya mata.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

