MALAYSIA akhirnya berjaya membuktikan kepada peminat dunia sepak takraw yang negara ini masih mempunyai pemain-pemain hebat apabila berjaya mengondol dua acara dalam kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, menewaskan musuh tradisi Thailand.
Selepas muncul juara di acara beregu petang tadi, pasukan regu Malaysia pula meneruskan kecemerlangan mereka apabila menewaskan Thailand di pentas final malam ini acara regu dengan kemenangan straight set.
Pada awalnya, Malaysia terus memberi kepercayaan kepada Syahir Rosdi sebagai tekong, Farhan Adam sebagai feeder dan Azlan Alias sebagai killer. Sementara Thailand pula mempertaruhkan Sittipong Khamchan, Poramet Siriswat dan Varayut Jantarasena sebagai regu pilihan mereka.
Keberkesanan servis yang dilakukan Syahir memberi kelebihan kepada regu negara mendahului pada kedudukan 10-4, sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 15-8 dalam set pertama.
Set kedua menyaksikan Thailand berusaha untuk bangkit dengan harapan dapat mengheret perlawanan ke set penentuan dan Syahir pula melakukan beberapa kali kesilapan servis yang memaksa, jurulatih negara, Ahmad Jais Baharom memasukkan Haziq Nizam sebagai tekong pengganti.
Kemasukan Haziq ditambah kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Sittipong memastikan Malaysia muncul juara dunia acara regu buat kali pertama. Malaysia menang dengan keputusan 15-12.
Petang tadi, skuad beregu negara yang dibintangi oleh Aidil Aiman Azwawi-Noraizat Nordin dan pemain simpanan Baihakki A’ripin mempertaruhkan persembahan terbaik di hadapan peminat tempatan.

Thailand yang mempertaruhkan Seksan Tubtong dan Kittiphum Sareebut berjaya mengejar dan menyamakan kedudukan pada kedudukan 14-14. Aidil dan Noraizat kekal tenang sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 17-16.
Set kedua Thailand berusaha memberi tentangan dengan harapan dapat mengheret perlawanan ke set penentuan, bagaimanapun, Aidil dan Noraizat meranapkan impian Thailand dengan meraih kemenangan set kedua menerusi keputusan 15-13.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

