PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia mengakui menjuarai Terbuka Thailand 2024 baru-baru ini membantu dirinya bangkit pada dua set terakhir untuk menumpaskan pemain China pada pusingan pertama Malaysia Masters 2024, di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.
Pemain berusia 26 tahun itu yang turun sebagai pilihan kelima kejohanan ketinggalan 19-21 pada set pertama sebelum kelihatan lebih tenang dan terkawal untuk mencatatkan 21-11 dan 21-14 ke atas Zhao Jun Peng pada dua set seterusnya dalam perlawanan yang berlarutan 61 minit.
“Saya rasa keyakinan yang saya dapat di Thailand membantu saya untuk mengatasi kekecewaan pada set pertama. Saya gembira saya dapat mengawal perlawanan hari ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ini merupakan kemenangan ketiga Zii Jia ke atas pemain China itu selepas Terbuka Jerman 2022 dan Terbuka Hong Kong 2023.
Juara Seluruh England 2021 itu seterusnya akan bertemu pemain India Kiran George yang menumpaskan Takuma Obayashi dari Jepun, 21-16 dan 21-17 dalam satu lagi perlawanan pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 500 itu.
Sementara itu, walaupun perlawanan diheret hingga 81 minit tidak menggoyahkan semangat juang pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao untuk menunjukkan jalan keluar kepada Lei Lan Xi dari China pada pusingan pertama Malaysia Masters 2024.
Pemain di ranking ke-37 dunia itu yang ketinggalan 13-21 pada set pertama, bangkit pada dua set seterusnya dengan 23-21 dan 21-12 untuk menoktahkan kemenangan di hadapan penyokong sendiri.
“Bagi saya bermain di sini (Malaysia) perlu beri yang terbaik. Saya tidak menyerah dan bermain sepenuh hati, itu yang membuatkan saya menang hari ini.
“Saya rasa (prestasi) bertambah baik kerana sekarang banyak bermain di kejohanan bertaraf tinggi. Saya teruskan satu demi satu dan langkah demi langkah untuk mencapai tahap yang lebih tinggi bagi diri saya,” katanya kepada pemberita
Mengenai pendapat menyatakan pemain China sukar ditumpaskan, Jun Hao berkata setiap pemain mempunyai ‘lenggok’ tersendiri dan mengesan perbezaan itu akan membantu mereka menumbangkan pemain berkenaan.
Jun Hao seterusnya akan bertemu sama ada Toma Junior Popov dari Perancis atau pilihan ketiga kejohanan Li Shi Feng dari China.
Mengikuti jejak Jun Hao ialah perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei yang mengenepikan cabaran pemain Ukraine, Polina Buhrova, 21-16, 18-21 dan 21-14 untuk bertemu Busanan Ongbamrungphan dari Thailand pada pusingan kedua Malaysia Masters 2024, esok.
Mengikut rekod pertemuan sebelum ini, pemain berusia 24 tahun itu pernah ditewaskan Busanan sebanyak tiga kali iaitu di Indonesia Masters 2016, Terbuka Thailand 2016 dan Kejohanan Badminton Asia 2018.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

