Galeri Aura Islam pamer koleksi artifak peribadi Nabi Muhammad SAW, mahu galak industri pelancongan Muslim

Dari Penulis

Galeri Anjung Warisan dan Kesenian Islam (Aura Islam) di Anjung Neighbourhood Centre di Iskandar Puteri, Johor mahu mempergiat industri pelancongan Muslim dengan menjadi pusat ilmu dan  mendidik orang awam bagi mengenali dan menghayati keagungan Nabi Muhammad SAW dan zaman keagungan empayar kerajaan Islam.

Pengarah Urusan Manhajj Brothers Sdn Bhd (Manhajj Brothers), Datuk Anuar Hassan menyatakan pihaknya dalam fasa bagi mengembangkan lagi promosi Galeri Aura Islam dan menggalakkan pelancong dari negara serantau berkunjung dan menghayati koleksi artifak peribadi Nabi Muhammad SAW, koleksi artifak para sahabat baginda, koleksi empayar kerajaan Uthmaniyyah dan Abbasiyah.

Pengarah Urusan Manhajj Brothers Sdn Bhd (Manhajj Brothers), Datuk Anuar Hassan.

“Galeri ini mula dibuka sejak 2019 dan objektif kami ialah untuk mempergiatkan industri pelancongan muslim. Selain itu, kami juga mahu menjadi pusat ilmu kepada pelajar daripada pra sekolah sehingga ke peringkat tertinggi sama ada dari dalam negara atau luar negara.

“Untuk tahun 2024, kami mahu mempergiatkan lagi usaha promosi dan menggalakkan pengunjung datang ke Aura Islam. Kami telah menjalin usahasama dengan beberapa agensi berkaitan, malah kami juga bekerjasama dengan Jamiyah Singapore, agensi pelancongan Indonesia, Brunei, Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya akan turut serta dalam INTAC24 ((International Tourism And Cultures) di World Trade Center pada Oktober nanti.

Dalam perkembangan lain, Malaysia Technical Cooperation Programme Designing And Implementing  Development Plan For Sustainable Islamic And Muslim Friendly Tourism And Hospitality anjuran Islamic Tourism Centre (ITC) turut melibatkan delegasi dari 12 negara termasuk Bangladesh, Kyrgyxstan, Maldives, Morocco, Filipina, Jordan, Azerbaijan, Algeria dan Kazakhstan.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

Menurut delegasi yang hadir, usaha yang dilakukan Anuar dalam membangkitkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dan kerajaan empayar Islam satu ketika dulu menerusi ruang pameran Galeri Aura Islam cukup membanggakan. Malah ia secara tidak langsung memberi ruang kepada pengunjung untuk menghayati dan melihat sendiri barangan peribadi Rasulullah SAW.

Apa yang menarik, bekas ahli kumpulan The Fabulous Cats, Adeep Nahar turut mula melebarkan sayap dalam industri pelancongan muslim selain masih aktif sebagai penyanyi dan penulis lirik.

Berkongsi keterujaan apabila Galeri yang diusahakan mendapat perhatian pengunjung luar negara, jelasnya, ia turut menarik minat pelancong bukan beragama Islam untuk turut melihat sendiri artifak peninggalan empayar Kerajaan Islam suatu ketika dulu.

“Apa yang menarik, ada seorang doktor dari United Kingdom dan California datang ke sini semata-mata untuk melihat sendiri artifak peninggalan Rasulullah SAW dan koleksi empayar Kerajaan Islam. Mereka cukup teruja kerana tidak menyangka peninggalan berharga ini ada di Johor,” tambahnya.

Mengimbau kembali detik pembukaan Galeri Aura Islam, jelas Anuar, dia terpaksa menanggung kerugian apabila wabak pandemik melanda dan sekaligus merencatkan perancangannya untuk mengembangkan apa yang diusahakan.

“Untuk tahun lalu, jumlah pelancong yang berkunjung ialah 12,000 orang setahun termasuk dari luar negara. Sebenarnya tahun 2019 lebih ramai namun disebabkan pandemik Covid-19, kesannya pada 2022, hanya 7,000 pelancong yang datang.

“Pada mulanya momentum pengunjung dilihat memberansangkan dan mungkin saya boleh kembangkan lagi Galeri ini ke bangunan sendiri, namun apabila Covid melanda, banyak kos dan kerugian yang terpaksa ditanggung,” jelasnya.

Optimis dengan perancangan yang diatur, jelas Anuar, dia merancang menaiktaraf Galeri ini menjadi muzium bagi menampung kedatangan pelancong sementelah industri muzium mempunyai segmentasi peminat tersendiri. Malah jelasnya, sehingga kini dia berjaya mengumpulkan lebih 300 artifak dari seluruh dunia.

“Dari tahun 2019, kami menyimpan 120 artifak dan sekarang kami mempunyai lebih 300 artifak dan akan menambah dari semasa ke semasa. Dalam galeri Aura Islam, semua barangan ialah artifak original dan disahkan sendiri oleh Jabatan Mufti Negeri Johor di mana mereka telah menubuhkan satu Panel Penelitian Artifak yang terdiri daripada 14 orang.  Setakat ini hanya tiga sahaja replika iaitu pintu dinding Kaabah, pancuran emas dan bingkai Hajarul Aswad.

“Untuk Galeri ini, maksimum boleh memuatkan 240 orang pada satu masa. Memang ada kekangan daripada segi keluasan tempat kerana tidak boleh memuatkan banyak artifak dan jumlah pengunjung, namun kami punya perancangan untuk memiliki bangunan sendiri yang mempunyai ruang pameran, hall, kedai cenderahati, kedai makan dan sebagainya. Waktu itu kami akan menaiktaraf dan menamakannya Muzium Aura Islam,” katanya lagi.

Antara artifak  yang dipamerkan termasuk capal, celak, rambut, janggut, darah bekam, serban, tongkat, bekas air zam zam, bekas tapak kaki, pasir makam serta kunci makam Rasulullah.

Turut dipamerkan, beberapa kiswah kaabah, tandu, Al-Quran emas, senjata serta kelengkapan perang peninggalan kerajaan Uthmaniyyah.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bokitta Alamanda berwajah baharu, berkonsepkan ‘Premium Lifestyle’

BOKITTA, jenama tudung Muslimah premium sememangnya terkenal dengan rekaannya yang moden dengan ciri eksklusif yang bebas pin, selesa dan...

More Articles Like This