PENYANYI Ziana Zain mengambil kesempatan apabila sempat berkomunikasi dengan bapanya, Zain Abdullah,86, menerusi panggilan video ketika sedang beraksi di pentas persembahan Ziana Zain Konsert 2024 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, malam tadi.
Kongsi pemilik nama lengkap Siti Roziana Zain,56, dia bersyukur dan bertuah kerana bapanya sering mengambil tahu mengenai perjalanan karier seninya.

“Walaupun saya sudah berusia 56 tahun ni, abah masih lagi sentiasa pantau dan ambil berat soal kerjaya seni saya.
“Boleh bayangkan, abah yang dah berusia 83 tahun tapi selalu periksa keadaan anaknya. Mak dan abah saya memang sangat prihatin dan risau kalau bab kerja.
“Sebab tu abah akan selalu nak tahu keadaan saya menjelang konsert,” katanya pada sidang akhbar usai konsertnya berakhir.

Pada masa sama, Ziana akui bapanya juga merupakan pengkritik utama apabila membabitkan rekaan fesyen yang akan digayakan dan tata rias.
“Abah orang paling gembira bila saya nak buat persembahan pentas. Perkara paling awal dia tanya, siapa jurumekap dan pereka fesyen yang akan mencantikan saya pada malam konsert.
“Abah memang begitu dan saya tak rasa ia beban untuk saya. Masa saya minta salam restu sebelum pergi sesi latihan konsert, abah menangis sambil berpesan untuk buat yang terbaik demi mencari rezeki halal.
“Abah siapkan doakan agar konsert saya berjalan lancar walaupun dia tak dapat datang disebabkan keuzuran. Mak pun kata dia solat hajat dan berdoa supaya konsert saya sukses. Panggilan video itu dibuat secara spontan oleh adik saya, Anuar Zain sebab dia tahu abah teringin nak lihat saya di pentas,” ujarnya.

Berbicara mengenai konsert tersebut, Ziana meluahkan perasaan terharu apabila peminatnya sanggup hadir dari serata negara antaranya Brunei dan Singapura bagi sama-sama menyaksikan persembahannya.
“Saya dapat tahu ada yang terbang dari Sudan ke Malaysia semata-mata nak tonton konsert saya. Terima kasih banyak-banyak.
“Saya rasa dihargai. Kehadiran peminat pada malam konsert adalah satu apresiasi paling besar buat saya sebagai seorang penyanyi,” kongsinya.

Ziana membuktikan usia bukan penghalang untuk dia menghiburkan 5,000 peminat dengan seleksi 20 buah lagu selama tigak jam.
Vokalnya yang masih ampuh seperti awal kemunculannya dulu tidak perlu lagi dipertikaikan. Rata-rata peminat yang hadir terbuai dengan kelunakan suara Ziana.
Antara lagu-lagu hits yang didendangkan ialah Kasihku Pertahankan, Setiaku Di Sini, Kemelut Di Muara Kasih, Kekal, Berpisah Jua, Anggapanmu, Sangkar Cinta, Terkenang Jua dab Madah Berhelah.


Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

