PENANTIAN hampir sedekad peminat setia kumpulan K-Pop, Bigbang, akhirnya terjawab. Selepas sembilan tahun tidak mengadakan sebarang konsert berskala besar, kumpulan pelopor generasi kedua K-Pop itu secara rasminya mengumumkan pelan jelajah dunia bersempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan mereka dalam industri muzik.
Berita gembira itu disahkan menerusi hantaran poster jelajah terbaharu di seluruh platform media sosial rasmi agensi pengurusan mereka, YG Entertainment, hari ini.
Apa yang lebih mengujakan, Kuala Lumpur turut disenaraikan sebagai salah satu destinasi wajib singgah bagi siri konsert mega kali ini, sekali gus bakal mengubat rindu para ‘VIP’ (gelaran kelab peminat Bigbang) tempatan.

Berdasarkan jadual rasmi yang dikeluarkan, siri jelajah berskala mega ini akan membuka tirainya secara rasmi di Stadium Goyang, Korea Selatan pada Ogos depan.
Konsert itu kemudiannya dijadualkan terus menjelajah merentasi beberapa buah benua termasuk Amerika Utara, Eropah, Oceania, dan Asia, sebelum melabuhkan tirai bagi fasa pertama pada Februari 2027.
Secara keseluruhan, pengembaraan muzik ikonik ini bakal menyaksikan Bigbang menggegar pentas menerusi 31 buah persembahan bertenaga yang dijadualkan berlangsung di 18 buah bandar terpilih di seluruh dunia.
Antara bandar bertuah yang bakal menjadi saksi kebangkitan semula raja K-Pop itu termasuklah Oakland, Paris, London, Taipei, Singapura, Hanoi, Sydney, Bangkok, Tokyo, dan sudah pastinya, Kuala Lumpur.
Bukan kepalang, YG Entertainment nampaknya tidak mahu berkompromi dari segi skala pembikinan konsert ini apabila memilih lokasi ikonik serta stadium berkapasiti gergasi bertaraf dunia untuk memuatkan ratusan ribu peminat tegar mereka.
Selain Stadium Goyang di tanah air mereka, antara lokasi ikonik lain yang sudah disahkan termasuklah Stadium MetLife di New Jersey (Amerika Syarikat), Stade de France di Paris (Perancis), Stadium Tottenham Hotspur di London (United Kingdom), serta dua arena kubah tersohor di Jepun iaitu Tokyo Dome dan Kyocera Dome Osaka.
Siri jelajah berskala besar ini mencetuskan keterujaan yang luar biasa dalam kalangan pencinta muzik global, memandangkan kali terakhir kumpulan itu mengadakan konsert jelajah dunia adalah sekitar sembilan tahun lalu menerusi siri jelajah Last Dance pada 2017.
Bigbang yang mula melangkah kaki ke dalam industri muzik pada Ogos 2006, secara rasminya menyambut ulang tahun ke-20 mereka tahun ini.
Sepanjang dua dekad mendominasi carta muzik global, kumpulan ini telah berjaya melahirkan deretan lagu hits ‘berhantu’ yang sehingga kini masih menjadi siulan ramai.
Antara karya agung yang dijangka bakal menggegarkan stadium sepanjang siri jelajah itu nanti termasuklah lagu-lagu ikonik seperti “Haru Haru”, “Fantastic Baby”, “Bang Bang Bang”, “Lies”, “Last Dance”, dan “Last Farewell”.
Menyedari impak dan permintaan yang dijangka melambung tinggi daripada peminat, pihak YG Entertainment turut membayangkan jadual siri jelajah ini kemungkinan besar akan dilanjutkan.
“Rentetan daripada pengumuman rasmi ini, pihak kami akan mengeluarkan butiran lanjut mengenai tarikh-tarikh persembahan spesifik serta lokasi tambahan bagi jelajah dunia ini secara berperingkat tidak lama lagi,” jelas wakil agensi YG Entertainment.
Bagi peminat di Malaysia, bersedialah untuk kembali menguningkan ruang stadium dengan ‘lightstick’ ikonik Crown milik anda tidak lama lagi!

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

