BEKAS Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Isham Jalil berkata, ahli akar umbi dan pemimpin parti itu yang dipecat tidak akan kembali kepada parti itu selagi UMNO bekerjasama dengan DAP.
Sambil menegaskan beliau juga akan berpendirian demikian, bekas Ketua Penerangan UMNO itu berkata, rata-rata orang Melayu tidak sokong parti itu dan jika UMNO mahu kembali mendapat sokongan berkenaan, UMNO perlu kembali ke landasan dan perjuangan asal.
‘’Ramai penyokong-penyokong tegar UMNO sebelum ini tidak lagi menyokong UMDAP (UMNO-DAP) hari ini, ramai daripada mereka kata jika datuk nenek moyang mereka yang berpuluh tahun dahulu telah berjuang dalam UMNO boleh bangkit dari kubur dan lihat apa yang telah berlaku kepada UMNO hari ini tentunya mereka akan marah atau sedih,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan ahli MT UMNO bahawa ramai orang UMNO yang dipecat mahu kembali kepada UMNO dan mencari jalan untuk diterima semula.
Isham berkata, beliau tidak merasakan kenyataan itu betul, sebaliknya menegaskan, ramai akar umbi UMNO tidak sokong UMNO yang dibawa oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk bersama DAP.

‘’Mereka yang masih berdaftar sebagai ahli pun tidak sokong dan tidak undi UMDAP PH/BN dalam pilihanraya, apakan lagi yang telah dipecat.
‘’Jika diadakan survey atau “pemutihan” keahlian dalam UMNO hari ini, besar kebarangkalian jumlah ahli UMNO yang masih aktif atau menyokong UMNO adalah jauh lebih rendah daripada 3 juta yang selalu digembar-gemburkan selama ini, mungkin tinggal 20% sahaja atau kurang dari suku dari tiga juta itu,’’ katanya.
Isham berkata, sebelum ini beliau pernah meminta Ahmad Zahid membuat referendum untuk mengetahui tahap sokongan sebenar.
‘’ Tetapi dia takut dan tidak mahu, sebab saya pasti dia tahu hakikat sebenar, namun dia tidak mahu menerima kenyataan. Sebab itu kita lihat dalam pilihanraya-pilihanraya enam negeri dan pilihanraya-pilihanraya kecil sebelum ini sokongan orang-orang Melayu kepada PH/BN adalah rendah termasuk di Kuala Kubu Bharu baru-baru ini, pengundi-pengundi Melayu sama ada tidak keluar mengundi atau telah mengundi parti lain iaitu Pas atau Bersatu (PN),’’ katanya.
Sehubungan itu beliau menyifatkan, kenyataan beberapa penganalisis bahawa sokongan Melayu kepada PH/BN telah meningkat kepada 30-40% berdasarkan keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Ungangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei lalu adalah tidak benar dan tidak logik.
‘’(ini) Kerana jika ia benar maka PN tidak mungkin akan dapat lebih 10,000 undi di Kuala Kubu Bharu. PH/BN kata mereka menang di 6 daripada 8 PDM majoriti Melayu, namun ini besar kemungkinan disebabkan oleh orang-orang Melayu (terutama pengundi UMNO) telah protes dan tidak keluar mengundi di situ manakala orang-orang bukan Melayu telah keluar dan undi PH di PDM-PDM ini, bukannya sebab orang-orang Melayu di sana telah sokong PH seperti yang digembar-gemburkan.
‘’Saya pasti UMDAP (UMNO-DAP) tahu fakta-fakta ini. Dan mereka tahu jika keadaan ini berterusan UMDAP akan kalah teruk di banyak kerusi dalam pilihanraya-pilihanraya yang akan datang. Mereka telah kehilangan sokongan akar umbi mereka sendiri dan mereka sedang risau. Untuk menghentikan keadaan ini, mereka perlu tarik balik akar-akar umbi yang telah lari dan pemimpin-pemimpin yang mereka pecat dahulu kembali kepada parti,’’ katanya.
Beliau berkata, hakikatnya bukan ahli akar umbi yang telah menjauhkan diri dan pemimpin-pemimpin dipecat mahu kembali kepada UMNO tetapi sebaliknya UMNO yang terdesak mahu akar-akar umbi dan pemimpin-pemimpin ini kembali supaya dapat menarik sokongan orang-orang Melayu.
‘’Saya tidak akan masuk parti yang sudah lari dari perjuangan asalnya. Parti yang dipimpin Zahid Hamidi hari ini bukanlah UMNO yang asal yang ditubuhkan berdasarkan semangat perjuangan pada tahun 1946 dahulu, tetapi ia adalah UMDAP iaitu parti yang berasaskan semangat Zahid untuk membawa UMNO bersama PH dan DAP.
‘’ Parti UMNO di bawah Zahid hari ini hanya tinggal pada nama sahaja. Semangat asalnya telah hilang dan telah berubah menjadi semangat UMDAP. Parti yang suatu masa dulu gah, hari ini telah jadi melukut di tepi PH dan DAP,’’ dakwanya.

