Rakyat Malaysia perlu memahami hakikat mengenai perjanjian antarabangsa berlandaskan fakta yang betul.
Itu seruan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung reaksi masyarakat terhadap perjanjian di bawah Perkara 19 seperti Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC) dan Perjanjian Pandemik, peraturan yang dirunding di bawah Perkara 21 seperti Regulasi Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005).
Dr Dzulkefly berkata, Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat harus bersedia untuk menghadapi sebarang pandemik yang mungkin melanda di masa hadapan.
Tegas beliau, kejayaan hanya akan terjamin jika seluruh warga dunia bersatu, dengan mengambil pedoman daripada semboyan di Jata Negara iaitu ‘Bersekutu Bertambah Mutu’.
“Masih ramai yang mempersoalkan keterlibatan Malaysia dalam rundingan bagi meminda pindaan Peraturan-peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) dan menyediakan Perjanjian Pandemik.
“Kita harus sedar virus dan segala patogen yang menyebabkan penyakit dan wabak tidak mengenal sempadan, kewarganegaraan, kaum, agama, mahupun status pendatang asing tanpa izin (PATI) atau tidak.
“Secara mudahnya wabak mampu membunuh tanpa diskriminasi. Oleh itu, strategi yang kita ambil haruslah sentiasa dikemaskini agar selari dengan keperluan semasa.
“Dalam konteks ini, cadangan pindaan IHR 2005 yang sedang dirunding hanyalah untuk memperkukuhkan kerangka sedia ada, mempermudah proses, dan mempercepat pembikinan keputusan.
“Manakala Perjanjian Pandemik pula adalah sebuah rangka kerja baharu untuk mencegah, membuat persediaan, dan memberi respon kepada sebarang pandemik (wabak rentas sempadan) seperti Covid-19 atau penyakit yang lebih serius,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, IHR 2005 yang dibina di bawah Perkara 21 Perlembagaan WHO hanyalah sejenis peraturan kawalselia.
Manakala, jelas beliau, Perjanjian Pandemik yang dirunding di bawah Perkara 19 iaitu sebuah konvensyen atau perjanjian antarabangsa.
Beliau berkata, jika diluluskan, Perjanjian Pandemik akan menjadi setara dengan WHO FCTC yang telahpun ditandatangani oleh Malaysia dan berkuatkuasa sejak 2005.
Dr Dzulkfely menegaskan, sebarang perjanjian di bawah Perkara 19 seperti WHO FCTC dan Perjanjian Pandemik, serta peraturan yang dirunding di bawah Perkara 21 seperti IHR, tidak pernah dan tidak akan menghakis kedaulatan negara.
“Malah kuasa mutlak Negara Anggota untuk menjaga kedaulatan sendiri dijamin bukan sahaja oleh Piagam PBB dan Perlembagaan WHO, malah dalam IHR 2005 juga (Perkara 3).
“Ini sekali lagi saya jelaskan melalui kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertarikh 24 Mei lalu yang menegaskan ketegasan kerajaan dalam hal ini,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

