Perjalanan Pembuktian Cinta, kisah hafizah Al-Quran dipaksa kahwin dengan lelaki berusia sudah beristeri

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

FILEM-filem yang mengetengahkan unsur Islamik sebagai tema utama agak jarang dihasilkan oleh kebanyakan pembikin filem.

Justeru itu, syarikat produksi dari Indonesia, Film Maker Muslim (FMM Studios) dengan kerjasama PPA Institute dan Pejuang Subuh telah menghasilkan sebuah filem Islamik tentang perkahwinan tanpa rela berjudul Perjalanan Pembuktian Cinta.

Filem berkenaan telah diadaptasi daripada sebuah novel ‘best seller’ dengan tajuk yang sama karya penulis Nusaibah Azzahra yang mendapat sambutan hangat di negara berkenaan.

Menariknya, karya yang dipaparkan itu adalah kisah benar yang telah dilalui sendiri oleh penulis apabila dia telah dipaksa berkahwin dengan lelaki yang telah beristeri.

Pengarah Urusan D’ Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar selaku pengedar filem tersebut untuk tayangan di Malaysia berkata, pihaknya berminat membawakan filem Perjalanan Pembuktian Cinta ke Malaysia kerana ia menawarkan sesuatu yang unik dan segar dalam genre filem Islamik romantik. 

“Dengan jalan cerita yang memberi inspirasi tentang kekuatan wanita mengharungi cabaran hidup, filem ini dijangka mampu menyentuh hati penonton dan memberi pengajaran bermakna. D’Ayu Pictures berbangga membawa karya istimewa ini untuk tontonan penonton Malaysia.

“Tarikan filem ini terletak pada kisah benar yang diangkat, watak-watak yang menyerlah dan alur cerita yang tersusun indah. Gabungan elemen komedi dan drama dan juga latar belakang nilai  keagamaan yang seimbang bakal mengadun emosi penonton. 

“D’ Ayu Pictures sudah pasti menyokong kelainian filem ini kerana ia  menyaksikan sebuah kisah cinta dan nilai murni agama digabungkan dengan agung yang bakal menyentuh jiwa penonton,” katanya kepada URTV.

Perjalanan Pembuktian Cinta menceritakan tentang seorang penghafaz Al-Quran, Fathia menempuh rintangan hidup apabila dipaksa berpoligami oleh ayahnya sendiri dan berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintainya.

Diarahkan oleh M. Amrul Ummami, filem tersebut dibintangi ramai pelakon hebat seperti Dea Annisa, Teuku Ryan, Muzakki Ramdhan, Donny Damara, Elma Theana dan ramai lagi.

Mengenai sambutan di Indonesia pula, Rosmarayu memberitahu penerimaan penonton di sana luar biasa, meskipun ditayangkan semasa bulan Ramadan.

“Respons hebat penonton Indonesia membuktikan filem ini berjaya mengusik jiwa semua lapisan masyarakat. Kini, giliran penonton Malaysia pula untuk menghayati karya seni bernilai ini. 

“Sudah tentu saya meletakkan harapan tinggi agar filem ini turut mendapat sambutan baik. Namum, saya juga melihat dari sudut jalan ceritanya  yang sememangnya memberikan banyak mesej-mesej positif serta pemahaman yang lebih mendalam tentang cara mengenali diri,” jelasnya.

Sementara itu, M. Amrul selaku pengarah berkata, Perjalanan Pembuktian Cinta menampilkan jalan cerita yang unik berbanding filem-filem genre yang sama.

“Perjalanan Pembuktian Cinta diadaptasi daripada sebuah novel yang ditulis seorang penghafal Al-Quran, yang mana ia adalah kisah benar penulis itu sendiri dan itu adalah keistimewaan tentang filem ini.

“Jalan cerita yang dipaparkan akan membuatkan penonton akan lebih memahami lebih dekat dengan mesej-mesej yang terkandung dalam jalan cerita filem ini bagi menempuhi kehidupan seharian,” ujarnya.

Sudah ditayangkan di Indonesia sejak 7 Mac lalu, Perjalanan Pembuktian Cinta akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 20 Jun depan.

SINOPSIS

Perjalanan Pembuktian Cinta mengisahkan tentang seorang penghafal atau Hafidzah Al-Quran iaitu Fathia  (Dea Annisa) dan Raehan (Teuku Ryan) yang saling menyukai antara satu sama lain. Bagaimanapun, Fathia terpaksa menjauhkan dirinya daripada Raehan atas kepatuhan kepada agama. Pada masa sama, ayah Fathia juga telah memaksa dia untuk berkahwin dengan seorang lelaki berusia dan sudah beristeri. Berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintai dan terpaksa berpoligami membuatkan kehidupan Fathia menjadi lebih sukar.

BARISAN PELAKON

Dea Annisa  – Fathia

Teuku Ryan  – Raehan

Donny Damara  – Satya

Yayu A.W. Unru – Syukron

Elma Theana – Laila

Muzakki Ramdhan – Razak

Ananta Rispo – Dito

Dzawin – Hilman

Chand Kelvin – Ustadz Hadi

Vonny Anggraini – Helen

Natasya Nurhalimah – Amel


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fajar Noor buka lembaran baharu, Sementara, Selamanya jadi manifestasi kematangan emosi

SETELAH sekian lama dinanti, penyanyi yang sinonim dengan naskhah muzik yang menyentuh jiwa, Fajar Noor akhirnya kembali mengubat rindu...

More Articles Like This