FILEM Perjalanan Pembuktian Cinta, sebuah karya Islamik dari Indonesia, bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 20 Jun 2024.
Diarahkan oleh M. Amul Ummami dan dibintangi oleh pelakon hebat seperti Dea Annisa, Teuku Ryan, Muzakki Ramdhan, Donny Damara, dan Elma Theana, filem ini diadaptasi daripada novel “best seller” karya Nusaibah Azzahra yang mengisahkan pengalaman peribadi penulis.
Filem ini mengetengahkan tema perkahwinan tanpa rela, mengisahkan seorang penghafaz Al-Quran, Fathia, yang dipaksa berpoligami oleh ayahnya sendiri.
Gabungan elemen komedi dan drama serta latar belakang nilai keagamaan menjadikan filem ini unik dan menyentuh hati penonton.
Pengarah Urusan D’ Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar, menyatakan bahawa filem ini menawarkan sesuatu yang unik dan segar dalam genre filem Islamik romantik. Menurut beliau, tarikan filem ini terletak pada kisah benar yang diangkat, watak-watak yang menyerlah, dan alur cerita yang tersusun indah.
“Dengan jalan cerita yang memberi inspirasi tentang kekuatan wanita mengharungi cabaran hidup, filem ini dijangka mampu menyentuh hati penonton dan memberi pengajaran bermakna.
“D’Ayu Pictures berbangga membawa karya istimewa ini untuk tontonan penonton Malaysia.
“Respons hebat penonton Indonesia membuktikan filem ini berjaya mengusik jiwa semua lapisan masyarakat. Kini, giliran penonton Malaysia pula untuk menghayati karya seni bernilai ini,” katanya.
M. Amul Ummami, selaku pengarah, berkata bahawa Perjalanan Pembuktian Cinta menampilkan jalan cerita yang unik berbanding filem-filem genre yang sama.
“Perjalanan Pembuktian Cinta diadaptasi daripada sebuah novel yang ditulis seorang penghafal Al-Quran, yang mana ia adalah kisah benar penulis itu sendiri dan itu adalah keistimewaan tentang filem ini.
“Jalan cerita yang dipaparkan akan membuatkan penonton lebih memahami mesej-mesej yang terkandung dalam jalan cerita filem ini bagi menempuhi kehidupan seharian,” ujarnya.
Perjalanan Pembuktian Cinta akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 20 Jun ini.

