Kontrak bersama FMC Music sudah tamat, faktor Wany Hasrita tolak berduet dengan Tajul

Dari Penulis

PENYANYI, Wany Hasrita menarik diri daripada sesi rakaman semula lagu Resepi Berkasih gandingan bersama Tajul disebabkan kontraknya dengan FMC Music telah berakhir pada bulan lalu.

Menurut Wany atau nama lengkapnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 32, menyatakan bahawa baginya tiada isu untuk dibangkitkan terutama untuk berduet bersama Tajul dan penyanyi lain dalam projek ini. 

Namun, setelah penamatan kontrak tersebut, dia ingin mengubah arah karier nyanyiannya ke sesuatu yang lebih berbeza.

“Berikutan kontrak dengan FMC Music sudah tamat, saya dengan rendah dirinya, mahu mengubah haluan muzik saya.

“Hendak kata penjenamaan semula (haluan muzik), tidaklah. Tetapi saya mahu mencuba sesuatu yang berbeza.

“Jadi, bukannya saya menolak. Saya buat keputusan tarik diri sebab mahu tukar haluan muzik agar lebih segar,” ujarnya memetik laporan Berita Harian.

Walau bagaimanapun, pelantun lagu Menahan Rindu ini turut meluahkan kegembiraan kerana projek rakaman semula lagu ini dianggap berjaya membawa sesuatu elemen yang menarik, serta membentuk satu peluang kerjasama yang baik.

“Saya tengok hasil duet Tajul dan Muna membawa konsep baik dengan ditambah elemen dangdut jadikan ia menarik.

“Secara tidak langsung, bentuk rakan duet yang baharu. Suara mereka saling melengkapi. Jadi, saya gembira untuk mereka,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, dia juga menafikan dakwaan yang menyatakan kini berhadapan dengan konflik bersama syarikat rakaman FMC Music, termasuk rakan naungan seperti Tajul.

Malah, dia turut mengumumkan akan melancarkan sebuah lagu single terakhir di bawah syarikat terdahulu, sebelum melangkah ke syarikat pengurusan baru atau memilih untuk memulakan kerjaya solo selepas ini.

“Hubungan saya bersama Tajul dan semua artis di bawah naungan FMC baik-baik sahaja. Kami sangat akrab dan menghormati pendirian serta pendapat antara satu sama lain.

“Single Madu Dua adalah lagu terakhir saya bersama FMC Music. Insya-Allah, single ini akan dilancarkan tidak lama lagi,” jelasnya. 

Difahamkan, Single Resepi Berkasih versi 2024 sedang dalam proses pembikinan untuk dimasukkan dalam sebuah album sebagai tanda penghormatan khas bagi Allahyarham Achik Spin atau nama lengkapnya Abdillah Murad Md Shari, yang juga vokalis kumpulan Spin. 

Pemergiannya adalah disebabkan oleh satu insiden kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kecederaan serius pada 17 April 2010.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This