PENYANYI Wany Hasrita yang baharu sahaja melancarkan single terbaharu berjudul Jahat, berkongsi perasaan ‘mom guilt’ sebaik kembali aktif dalam industri seni.
Wany atau Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 33, akui bersarang rasa bersalah di hatinya yang terpaksa meninggalkan permata hatinya, Aisha Al Iman dalam jagaan ibunya setiap kali keluar bekerja.
“Sekarang ini saya dalam fasa ‘mom guilt’ sebab kalau saya pergi kerja akan pulang malam. Terpaksalah tinggalkan anak di rumah bersama ibu dan pengasuh di siang hari.
“Tapi walau penat macam mana sekali pun, saya akan tetap pastikan anak tidur bersama saya. Saya cuba bercakap dengannya walau mungkin dia masih belum faham. Sekurang-kurangnya dia melihat muka saya bila bangun pagi.
“Saya selalu ingatkan diri bahawa kerja ini untuk anak. Hanya boleh kuat dan cekalkan hati,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis pelancaran single Jahat di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.
Tambah Wany, dia sebolehnya mahu membawa anak kecilnya yang berusia dua tahun bersama ke tempat kerja.
Namun, niatnya itu terhalang selepas orang tuanya enggan mendedahkan Aisha dengan persekitaran yang terlalu sesak.
“Saya tengok keadaan juga kalau nak bawa anak ikut saya kerja. Opah dia (ibu Wany) seorang yang sangat ‘protective’, jadinya memang setiap masa anak akan duduk di rumah saja.
“Tapi, kalau lokasi persembahan saya ada hotel dan saya sudah tempah bilik, anak akan ikut sekali. Itupun dia akan duduk di bilik saja,” ujarnya.
Pada masa sama, Wany kini semakin tabah dan cuba cekalkan diri memandangkan hampir empat tahun dia bergelar pasangan jarak jauh (PJJ) bersama suami, Mohd Al-Adib Fahmi Harun yang bertugas sebagai juruterbang di Sarawak.
Pengorbanan besarnya itu mingkin tidak semua yang bergelar isteri mampu lalui. Namun demi menampung keperluan ekonomi keluarga, mereka akur jalani kehidupan.
“Bukan mudah menjalani hubungan jarak jauh, tipulah kalau saya kata tidak sakit menahan rindu. Tapi saya dah terbiasa. Semuanya adalah aturan Maha Esa.
“Kita pujuk hati sebab tahu semua ini bukan demi dunia semata-mata. Ada tanggungjawab, pengorbanan yang perlu diberi keutamaan.
“Jadi, untuk soalan PJJ tu, Alhamdulillah, saya dah belajar untuk menerima,” luahnya.
Jika berkelapangan, Wany akan memastikan untuk membawa anak sulungnya itu untuk bertemu bapamya di Sarawak.
“Bila ada ruang dan masa, saya balik Sarawak. Itu memang rutin saya. Tak semestinya aktiviti besar. Jalan-jalan pun cukup. Kawasan rumah suami saya luas, ada rumput.
“Suami suka ‘grounding’ bersama anak dan saya pun ikut. Itu waktu tenang kami,” katanya.
Jauh di sudut hatinya, dia sentiasa berdoa agar mereka dapat berkumpul seperti keluarga lain dan tinggal sebumbung.
“Perancangan untuk tinggal bersama sudah tentu ada. Malah, setiap kali solat, saya doa agar Allah bagi jalan yang terbaik.
‘Rezeki pekerjaan dan ruang untuk tinggal bersama, semua itu saya mohon supaya dapat hidup sebumbung dengan suami.
“Namun, kita percaya kepada ketentuan Tuhan, Dia tahu yang terbaik untuk kita,” ujarnya.
Unutk rekod, Wany dan Mohd Al-Adib mendirikan rumah tangga pada 22 Julai 2022 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata sulung, Aisha yang kini hampir mencecah usia dua tahun.
Dalam perkembangan lain, Wany akui sngle Jahat memberikan sisi berbeza dalam kamus seninya yang sebelum ini sering membawakan lagu bergenre ‘easy listening’.
Justeru, dia ingin keluar dari zon selesa itu dengan karya ciptaan komposer popular Indonesia seperti Audree Dewangga, David Elsandro, Andre Lizt dan Trakast, di bawah terbitan Sony Music Malaysia.
“Saya dah lama impikan karya yang emosional dan menonjolkan sesi kematangan diri. Ini merupakan dimensi baru buat saya yang akhirnya terlaksana nak membawakan genre pop balda yang berjiwa galau.
“Pertama kali dapat lagu dan dengar demo, saya memang teruja. Sesi rakaman pun tak mudah sebenarnya sebab penuh dengan emosi.
“Nak bawa lagu ini memerlukan sepenuh jiwa dan perasaan sehinggakan saya mengalirkan air mata kerana terlalu menghayati bait-bait lirik.
“Saya harap karya ini dapat jadi peneman kepada mereka yang pernah atau sedang lalui fasa hubungan toksik,” akhirinya.
Untuk info. Jahat turut diangkat sebagai runut bunyi asli (OST) rasmi bagi drama bersiri penuh emosi Pabila Dia Tersenyum terbitan Global Station Sdn Bhd yang ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman Viu mulai 24 April lalu.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

