Penyelarasan harga diesel: Jangan ibarat makan ubat kolesterol, cair darah tapi…

Dari Penulis

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak wajar mengaitkan harga minyak semasa dengan ucapan beliau ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), 16 tahun lalu kerana pada ketika itu, harga minyak negara lebih tinggi berbanding negara-negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi. 

‘’Saya sebut itu tahun 2008 kerana harga minyak di Arab Saudi sekitar 50 sen manakala kita RM1.80 sen. Sekarang kos sudah bertambah RM2.05 di Arab Saudi dan kita RM2.95 sen, minyak murah hanya di Brunei,’’ kata Anwar.

 Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas kenaikan harga diesel yang kini menjadi isu paling panas diperbincangkan dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan membuat keputusan melakukan penyelarasan  terhadap harga bahan itu kerana harga runcit diesel di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia ketika ini dengan jumlah subsidi diberi oleh kerajaan.

“Keadaan ini mengundang penyeludupan ke negara jiran dan penyelewengan ke sektor komersil yang tidak layak menggunakan diesel bersubsidi,’’ katanya yang turut menjelaskan jumlah diesel bersubsidi meningkat mendadak dari 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter tahun 2023 walaupun bilangan kenderaan diesel tidak bertambah dengan ketara.

 Oleh itu kata beliau melalui penyasaran subsidi, kegiatan penyeludupan dan penyelewengan tidak lagi menjadi suatu aktiviti yang lumayan dan secara logiknya dapat dikurangkan secara drastik.

Keputusan kerajaan itu sedikit sebanyak akan mengurangkan penyeludupan tetapi pendekatan itu ibarat seorang pesakit jantung diberikan ubat bagi mengawal kolesterol dan ubat cair darah. Kedua-dua ubat itu bukanlah penyembuh kepada masalah jantung dihadapi oleh pesakit berkenaan, sebaliknya, ia hanya mampu memastikan kadar kolesterol tidak meningkat dan aliran darah lancar.

Tetapi jika pesakit tidak mengawal pemakanan dan melaksanakan penjagaan kesihatan yang betul, kedua-dua ubat itu tidak akan bererti malah mungkin akan mendatangkan penyakit lain pula.  Begitulah juga dengan tindakan kerajaan menaikkan harga diesel atau petrol bagi mengekang ketirisan dan menghalang penyeludupan.

 Sepatutnya masalah pokok itu diselesaikan terlebih dahulu secara total, kalau betullah penyeludupan menjadi punca utama sudah pasti operasi bersepadu secara besar-besaran melibatkan pelbagai agensi boleh dilaksanakan bagi memastikan kegiatan haram itu tidak berlaku lagi.

 Ia kerana kegiatan penyeludupan itu seperti mana kata Amir Hamzah, telah menyebabkan “Subsidi diesel meningkat 10 kali ganda dari RM1.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM14.3 bilion pada 2023’’ . Jumlah RM14.3 bilion  itu ‘maha besar’ maka menaikkan harga diesel belum tentu akan menghapuskan kegiatan  penyeludupan.

 Atas sebab itulah ada pihak mempertikaikan kenapa kerajaan tidak menyelesaikan masalah penyelupan itu dan ada pula yang mempersoalkan benarkah separuh daripada subsidi diesel setahun iaitu RM15 bilion lesap kepada penyeludupan sepertimana dibangkitkan oleh bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil dalam kenyataannya.

 Beliau bertanya, ‘’Kalau RM8 bilion subsidi diesel lesap sebab penyeludupan di sempadan, ini bermakna 7-8 billion liter diesel diseludup keluar setiap tahun, atau 600 juta liter sebulan, atau 20 juta liter sehari diseludup keluar melalui sempadan Thailand atau di laut. Angka-angka ini tidak masuk akal.’’

Kata Isham, jika ada masalah penyeludupan, selesaikan dengan penguatkuasaan dan tekan dan tangkaplah penyeludup, bukannya naikkan harga diesel secara mendadak sehingga RM3.35 seliter.

 Pandangan Isham ada benarnya kerana apa yang kita nampak setakat ini impak negatif kepada rakyat mula kelihatan. Dalam media-media sosial pelbagai lapisan rakyat waima pesawah sekalipun mula menzahirkan bantahan mereka manakala kos perkhidmatan melibatkan diesel mula meningkat dan selepas ini harga barang pasti meningkat kerana itulah yang diperingatkan oleh Rafizi semasa masih menjadi pembangkang.

Ketika berucap dalam satu majlis , Rafizi yang ketika masih lagi pembangkang dan menjadi ‘pakar ekonomi’ kepada PKR pernah berhujah antaranya;

‘’harga minyak naik…habis harga barang naik, tak cukup dengan harga naik  dikenakan pula cukai-cukai lain, ada sebabnya (kenara) kita pertahankan subsidi minyak, kita bukan kemaruk nak duit dia, subsidi minyak ini adalah hak rakyat, sebab negara Malaysia adalah negara yang kaya dengan minyak.

‘’Sebab itulah kita kata dalam negara Malaysia untuk kita pastikan harta kekayaan minyak itu sampai terus kepada rakyat harus mesti ada subsidi, hanya melalui subsidi minyak akan terus pi kepada rakyat. Apabila kita ada minyak yang banyak kita tak ada alasan untuk kata rakyat tak berhak dapat subsidi minyak..itu kekayaan negara bukan kekayaan pemerintah. Kalau kekayaan negara cara paling baik, beri direct kepada rakyat dalam bentuk minyak murah.

‘’Bila harga minyak murah, harga barang murah, bila minyak murah segala kos lain inshaallah murah kerana harga minyak ini adalah kos asas dalam semua aktiviti kehidupan kita. Sebab itu kalau harga minyak naik 20 sen, roti canai pun naik 20 sen…sebab itu kita pertahankan subsidi ini kerana subsidi dan kekayaan negara boleh sampai terus kepada rakyat.’’

 Bagaimanapun untuk bertindak adil kepada Anwar dan Rafizi, kedua-dua mereka berjanji dan berhujah ketika menjadi pembangkang. Ketika itu mereka merasakan segala-galanya mudah termasuklah menurunkan harga minyak dalam tempoh 24 jam selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri tetapi apabila sudah menjadi kerajaan barulah mereka tahu kedudukan sebenar, kenapa kerajaan terdahulu tidak melakukan apa yang mereka lakukan hari ini.

 Kini mereka terpaksa menelan kata-kata sendiri dan harus memastikan penyelarasan subsidi minyak yang dilakukan tidak menjadi ibarat seorang pesakit diberi ubat kolesterol dan cair darah. Kerajaan perlu pastikan usaha dilakukan benar-benar berhasil mengelakkan penyeludupan dan ketirisan, bukannya menambah sengsara kepada rakyat.

Janganlah kerana mahu menghapuskan penyeludupan dan mahu mengelakkan golongan ‘maha kaya’ menikmati subsidi, rakyat secara keseluruhannya mendapat kesan buruknya.  Penyelarasan itu harus berjaya kerana kerajaan sudah berjanji akan menaikkan gaji penjawat awam penghujung tahun ini, jangan pula nanti ada yang kata,’’ tidak wajar kaitkan janji awal tahun ini dengan apa yang berlaku pada penghujung tahun’’. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Gempa kuat landa Mindanao, gegaran dirasai di Semporna

GEMPA bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda Mindanao, Filipina pada pukul 7.34 malam tadi. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), gegaran turut...

More Articles Like This