Sejak diperkenalkan sedekad yang lalu, Muzium Warisan Melayu yang dibangunkan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) bukan saja menarik pengunjung tempatan, malah turut mendapat perhatian daripada pelancong luar negara.

Bukan saja konsisten dalam memartabatkan warisan budaya, sejarah dan seni tradisi Melayu, muzium ini juga menjadi tempat para pelajar dan penyelidik melakukan kajian.

Muzium Warisan Melayu UPM.

“Muzium ini satu-satunya muzium dalam universiti di Malaysia yang mempamerkan warisan Melayu, di mana kami adalah pelopornya. Bahan-bahan pameran seperti manuskrip, pensenjataan, busana dan rumah-rumah Melayu di sini menjadi rujukan bukan saja kepada pelajar tetapi juga penyelidik dari luar,” ujar Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, ketika berucap sempena hari terbuka sedekad Muzium Warisan Melayu ini.

Menjengah 10 tahun penubuhannya, muzium ini bukan sekadar untuk dilawati, tetapi turut menawarkan banyak program dengan pelbagai aktiviti yang memperkenalkan adat dan tradisi Melayu. Contohnya, seperti aktiviti makan bersila, membuat wau, menghasilkan bunga rampai dan memasak makanan tradisi.

Prof. Madya Dr. Hazlina (duduk dari kiri) bersama Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mohammad Muda (duduk tengah) sewaktu perasmian hari terbuka sempena sedekad Muzium Warisan Melayu UPM.

Selain itu, ada juga program bermalam di muzium ini. Malah, kawasan sekitar muzium juga dibuka untuk tempahan bagi mereka yang mahu melakukan sesi fotografi atau sebarang penggambaran.

Tambah Hazlina, mereka akan sentiasa berusaha melestarikan apa yang sudah ada di muzium ini dan menambah lebih banyak artifak warisan Melayu di masa akan datang.

Dalam menyokong usaha memartabatkan warisan negara, koleksi manuskrip yang telah dibuat kajian terperinci berpotensi untuk diiktiraf sama ada dengan mencalonkannya sebagai warisan negara, atau dibawa ke peringkat antarabangsa.

“Pihak kami amat menyokong usaha dan penyelidikan bertaraf dunia untuk membongkar menuskrip lain yang masih tersimpan sama ada di universiti tempatan, arkib, perpustakaan atau kepunyaan perseorangan. Pihak Jabatan Warisan Negara sedia membantu agar dokumen warisan ini diangkat sehingga ke peringkat tertinggi UNESCO,” kata Mohammad Muda Bahadin, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, selepas merasmikan hari terbuka sempena sedekad Muzium Warisan Melayu di UPM, semalam.

Antara bahan yang dipamerkan di Muzium Warisan Melayu UPM.

_____