Ustaz Kazim letak syarat sebelum berlakon dalam Zim Zim Ala Kazim, terapkan amalan solat di set penggambaran -“Kalau boleh ada surau khas untuk pelakon solat”

Dari Penulis

PENGALAMAN pernah disihir lebih puluhan tahun membuatkan pendakwah bebas Datuk Ustaz Kazim Elias terbuka hati untuk berkongsi dalam filem Zim Zim Ala Kazim.

Jelas Ustaz Kazim, kisah hidupnya itu telah memberi inspirasi bagi penghasilan naskhah arahan Mawi di bawah terbitan MW Entertainment Sdn.Bhd.

“Saya tak boleh tidur 15 tahun sampai sekarang. Jadi bila saya duduk di rumah, saya suka baca Al-Quran, tonton televisyen dan Youtube.

“Kemudian pintu bilik tidur saya, saya bukalah. Ada kejadian pukul 3.30 pagi, kereta Transformer cucu saya tiba-tiba masuk dalam bilik tidur dan bertukar jadi Transformer berpusing dan bergerak di hadapan saya,” katanya kepada URTV.

Ustaz Kazim berkongsi kejadian itu ketika majlis pratonton Zim Zim Ala Kazim di sebuat pusat beli-belah di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut Ustaz Kazim, pengalaman-pengalaman seram ini sangat mendalam dan menakutkan sehingga berani menyatakan bahawa filemnya lebih seram daripada mana-mana filem seram tempatan yang lain.

Pendakwah itu juga berkongsi beberapa pengalaman seram lain yang dialami, termasuk ketika dirinya sedang sakit. 

“Bila saya sakit, orang datang melawat saya. Yang datang tiga orang tapi ada empat.

“Saya tanya, ni akak yang dibelakang ni siapa? Orang tu berada di celah-celah muka dalam kalangan kalian,” ujarnya, mengenang kembali saat yang menakutkan itu.

Ketika dirawat di hospital, pendakwah popular itu menyaksikan kelibat makhluk hitam berambut panjang yang menemaninya.

“Saya masuk hospital swasta, orang datang ziarah saya, saya duduk. Tengok ada seoran mak dan seorang anak, hitam dan berambut panjang. Saya kata, janganlah kacau saya, pergi lah tempat lain. 

“Kemudian datang ustaz lima, enam orang ziarah saya, tanya keadaan saya bagaimana dan tanya siapa yang buat saya, saya nampak ke? Saya kata ‘tu belakang’. Semua lari,” tambahnya lagi.

Salah satu pengalaman seram yang paling tidak dapat dilupakan adalah semasa pendakwah tersebut ingin pergi dari satu lokasi ceramah ke negeri lain. Kejadian itu katanya terjadi di sebuah resort pada pukul 3 pagi.

“Pukul 3 pagi saya sampai di resort. Saya duduk tidur di katil.

“Di hotel tu ada tiang di tengah yang diperbuat daripada kayu. Saya nak tidur, saya tengok ‘benda’ tu datang, dia dari atas dan dia turun kepala ke bawah. Macam yang kita tengok dalam cerita korea ‘Ju-On’,” katanya.

Jaga solat di set penggambaran, prinsip berlakon

Dalam temubual yang sama, Ustaz Kazim menekankan bahawa bukan mudah untuk memastikan setiap adegan dalam filem mematuhi syariat. 

Oleh sebab itu, dia  mempunyai prinsipnya tersendiri sebelum masuk ke dunia lakonan.

“Bukan senang-senang terima tawaran. Saya ada syarat dan prinsip. Tak boleh pegang…tak boleh sentuh. 

“Sebab tu dalam babak saya muntah, isteri tak pegang saya. Mana ada dalam filem, suami muntah darah isteri boleh buat tak tahu sahaja kalau di luar filem,” katanya merujuk kepada adegan dalam filem terbaharunya.

Selain itu, Ustaz Kazim juga menekankan kepentingan menjaga solat semasa penggambaran. 

Pendakwah itu berkongsi pengalaman menyentuh hati ketika penggambaran adegan kematiannya di dalam hutan pada pukul 3 hingga 4 pagi, di mana mereka sempat menunaikan solat Subuh di lokasi tersebut.

“Yang kedua jaga solat. Kita buat sistem tu, Alhamdulillah saya nampak filem ni boleh pergi jauh, cuma kita perbaiki kekurangan mana yang kurang.

“Saya rasa ini satu benda yang patut dibuat, kalau boleh setiap penggambaran filem tu ada surau khas untuk pelakon solat. Jadi ini yang kita cuba buat,” jelasnya.

Ustaz Kazim percaya bahawa dengan adanya kemudahan seperti ini, suasana penggambaran akan menjadi lebih baik dan kondusif bagi semua yang terlibat.

Selain Ustaz Kazim, filem yang bakal ditayangkan pada 13 Jun ini turut dibintangi oleh Bell Ngasri, Shanthesh, Rosnah Johari, Man Raja Lawak, Ryan Bakery, Zarina Anjoulie dan Mawi. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fajar Noor buka lembaran baharu, Sementara, Selamanya jadi manifestasi kematangan emosi

SETELAH sekian lama dinanti, penyanyi yang sinonim dengan naskhah muzik yang menyentuh jiwa, Fajar Noor akhirnya kembali mengubat rindu...

More Articles Like This