PELAKON Muaz Zabir mengakui tidak mengikuti perkembangan kes perceraian pasangan selebriti Bella Astillah yang berakhir, semalam.
Muaz atau nama penuhnya Muaz Mohamad Zabir, 27, menyatakan bahawa dia lebih fokus kepada komitmen kerja yang lebih penting.
“Mungkin takdir yang ditentukan itu adalah yang terbaik untuk kita. Saya tidak tahu nak rasa kasihan atau sebaliknya.
“Saya sentiasa mendoakan Bella supaya menemui kebahagiaan selepas ini, hidupnya berjalan lancar dan berjaya mengharungi segala ujian dan cabaran.
“Seperti mana yang kita ketahui, Bella adalah seorang wanita yang kuat. Namun wanita yang kuat, dia tetap wanita, jadi saya harapkan semua doakan sama-sama yang terbaik,” katanya kepada URTV.
Muaz ditemui pada sidang media pelancaran drama bersiri Viu Original berjudul Bawah Payung Awan, semalam.
Pada masa sama, dia hanya mengetahui perkembangan kisah pasangan selebriti itu menerusi kenalan industri.
“Saya betul-betul tak sempat nak ‘scroll’ media sosial sebab saya ada penggambaran pagi tadi.
“Ini pun saya minta pihak produksi lepaskan saya untuk ke majlis ini dan selepas ini saya akan bergerak ke Genting Highlands untuk menyambung penggambaran.
“Saya tahu mereka sudah bercerai melalui orang sekeliling. Orang ada bercakap, jadi saya tahu melalui situ,” tambahnya.
Bagaimanapun, Muaz enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.
Menurutnya, mereka sudah mencapai kata sepakat untuk menjaga pergaulan sebagai rakan artis sahaja.
“Saya dengan pihak sebelah sana telah mengambil keputusan untuk jalan masing-masing. Jadi saya tiada hak untuk berkata apa-apa berkenaan isu yang terjadi antara mereka.
“Saya lebih mendiamkan diri untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini atau netizen olah-olah ayat kita.
“Dunia industri hiburan kita kecil sahaja. Pusing-pusing pun kita akan jumpa orang yang sama. Jadi, saya tidak ingin menambah musuh dalam kehidupan saya. Kami berkawan tidak, bergaduh pun tidak. Kami akan bekerja bila kami kena bekerja,” jelasnya.
Pada Mac lalu, tersebar beberapa foto mesra antara Muaz dan Bella yang didakwa menyebabkan berlaku curang. Bella tidak menafikan perkara tersebut tetapi menjelaskan hubungan mereka sekadar untuk membuat Aliff berasa cemburu.
Aliff, pada tengah hari Khamis, melafazkan cerai talak satu terhadap Bella di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Untuk rekod, Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016. Pasangan ini pernah bercerai pada 16 Mei 2019 selepas Aliff beberapa kali berlaku curang, namun mereka kembali rujuk ketika dalam tempoh idah.

