Dalam pelbagai adat dan budaya di seantero dunia, mencacah kulit badan antara perkara biasa yang dilakukan. Namun, agak berbeza dengan masyarakat asli yang tinggal di sekitar sungai Sepik di Papua New Guinea.
Bagi kaum ini, menoreh kulit badan adalah perkara biasa yang dilakukan oleh orang lelaki. Torehan itu pula agak ekstrem, apatah lagi jika membayangkan kesakitannya.
Upacara yang dipanggil Crocodile Scarification ini dikatakan telah wujud sejak ratusan tahun dalulu. Hanya untuk lelaki, mujurlah tradisi ini tidak melibatkan wanita.
Tujuannya, sebagai lambang permulaan hidup seorang lelaki sejati selepas menempuhi alam kanak-kanak. Selain itu, ia juga untuk menghormati buaya yang dianggap nenek moyang mereka.

Sebagai lambang penghormatan, mereka akan menoreh kulit tubuh supaya menjadi seakan-akan kulit buaya yang keras dan menggerutu, serta timbul apabila sembuh nanti. Corak-corak seperti itu dapat dilihat pada kaum lelaki asli di sekitar sungai tersebut.
Upacara dilakukan dengan mengkuarantinkan lelaki yang akan menjalani ujian ‘ketahanan’ di dalam sebuah rumah semangat yang diperbuat daripada jerami. Mereka akan direhatkan selama enam minggu sebelum dipanggil untuk melaksanakan upacara tersebut.
Biarpun tradisi ini dilakukan dengan tujuan untuk mengisytiharkan kedewasaan dan kejantanan seseorang remaja lelaki, namun tiada had umur untuk yang akan melakukannya. Selagi tidak memiliki parut seakan-akan buaya, selagi itulah mereka tidak akan terlepas dari melakukan torehan tersebut sehingga ia selesai, barulah boleh digelar lelaki sejati.
Sebelum perlaksanaan upacara tersebut, mereka akan disapukan sejenis cecair untuk menahan rasa sakit. Kemudian, mereka akan mengunyah sejenis herba untuk membantu mengatasi kesakitan.
Para remaja in akan dibaringkan di atas rumput beramai-ramai. Torehan dilakukan oleh seorang lelaki yang dilantik menggunakan bilahan buluh atau menggunakan pisau kecil. Manakala yang lain akan memegang tubuh remaja tersebut agar tidak meronta sepanjang proses itu. Torehan akan dimulakan daripada dada ke bahu, belakang badan dan berakhir di punggung. Panjang setiap satu hirisan kira-kira 1sentimeter secara sekata.

Hirisan demi hirisan cukup mengilukan sesiapa saja yang melihat. Torehannya sangat dalam, hingga menampakan isi-isi putih kemerah-merahan bersama rembesan darah. Jeritan remaja-remaja ini menahan kesakitan akan kedengaran sepanjang proses sehingga torehan selesai.
Kesakitan tidak terhenti disitu. Selesai upacara, mereka akan dipapah semula ke rumah semangat. Di situ, mereka akan ditidurkan diatas pelepah pisang untuk mempercepatkan proses pengeringan luka bersama bara api mengelilingi mereka. Kawasan luka pula, akan disapu lumpur bewarna oren bersama cecair jernih dengan menggunakan bulu ayam.
Di situ, sekali lagi mereka akan dikurung selama dua minggu sehingga luka itu mengering. Kemudian, mereka akan dibawa mandi dengan air yang sejuk di kawasan sekitar sungai untuk menyejukkan luka. Akhirnya, mereka akan dipakaikan baju-baju pahlawan asli sebelum dibawa menghadap ketua puak. Selesai upacara, mereka secara automatiknya sudah menjadi lelaki sejati dan layak untuk menjadi ketua atau pelindung kepada puak tersebut.

Upacara menjantankan lelaki ini berbeza mengikut puak-puak tertentu. Ada yang melaksanakannya setahun sekali, lima tahun sekali dan 10 tahun sekali mengikut bilangan lelaki yang ingin melakukannya.
Meskipun dianggap mimpi buruk, ujian ini dianggap wajar dalam kalangan mereka kerana dianggap untuk menguji ketahanan dan keberanian seseorang untuk menghadapi cabaran yang akan datang.
Biarpun, mereka telah bekerja di bandar mahupun melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan sekalipun, mereka wajib pulang untuk melaksanakan adab kejantanan ini. Jika upacara ini tidak dilakukan, mereka selama-lamanya akan dipinggirkan dalam masyarakat sendiri serta tidak akan digelar lelaki sejati.
Pengorbanan begini mungkin dilihat tidak wajar kerana melanggar hak asasi manusia dengan keganasan selain terdedah kepada bahaya jangkitan. Tetapi bagi masyarakat asli sekitar sungai Sepik, ia adalah bahagian paling penting untuk melengkapkan keperwiraan seseorang sebelum dianggap dewasa oleh keturunan sendiri. Mereka percaya, hanya dengan cara itu mereka boleh rapat dengan roh ‘nenek moyang’ mereka.

___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

