Hikmah di sebalik melontar syaitan dengan batu

Dari Penulis

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, dia berkata, “Ketika Ibrahim diperintahkan untuk mengorbankan (anaknya), syaitan menghalangnya di tempat Sa’i dan ingin mendahuluinya tetapi Ibrahim lebih dulu sampai.

Kemudian Jibril membawa Ibrahim menuju Jumratul Aqabah di situ sekali lagi syaitan menghalang, lalu Ibrahim melemparnya dengan tujuh biji kerikil. Kemudian meneruskan perjalanan namun dihalang syaitan sekali lagi di Jumratul Wustha, ia lempar syaitan itu dengan tujuh biji kerikil.

Daripada peristiwa Nabi Ibrahim merejam syaitan yang menghalangnya menyembelih Ismail, maka ritual melontar diambil daripada peristiwa tersebut dan diteruskan sehingga kini.

Bukan sebiji kerikil yang dilemparkan tetapi 70 biji. Ia dilakukan sejak tengah malam 10 Zulhijjah namun waktu yang paling afdal adalah sesudah terbit matahari.

Melontar Jumrah Aqabah (7 biji kerikil) adalah amalan pertama yang dilakukan ketika sampai ke Mina. Ia juga disebut sebagai tahiyyah (sapaan selamat datang) kepada Mina.

Manakala tiga lagi jumrah dilakukan pada hari tasyriq (11, 12 dan 13) iaitu Jumrah Ula, Jumrah Wustha dan Jumrah Aqabah setiap satunya tujuh biji kerikil. Menjadikan jumlah kesemua untuk tiga hari itu, 63 biji kemudian dicampurkan jumrah Aqabah di hari pertama sebanyak 7 biji, maka jumlah menjadi 70 biji.

Melontar jumrah mengambil masa tiga hari untuk menyelesaikan. Dan, ia ternyata berbeza dengan ritual haji yang lain seperti wukuf, tawaf, Sa’i dan tahlul yang hanya mengambil masa yang singkat saja mungkin boleh diselesaikan dalam masa sejam ataupun dua jam.

Menurut Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili, melontar jumrah diambil sempena  perbuatan nabi Ibrahim, isterinya (Hajar) dan Ismail ketika diwahyukan Ibrahim untuk menyembelih anaknya. Lalu dilempar iblis dengan kerikil untuk menghentikan bisikan bahawa penyembelihan itu tidak perlu dilaksanakan.

Ia adalah simbolik melawan syaitan yang ingin menjerumuskan  manusia ke dalam maksiat dan tingkah laku yang merosakkan. Melawan syaitan bukan dilakukan saat melontar saja tetapi perlu berterusan sepanjang hayat dan setiap saat.

Ulasnya dalam Fiqih Islam Wa Adillatuhu, melontar kerikil pada waktu yang khusus di tempat khusus dan dalam jumlah yang khusus. Maka, jika seseorang hanya meletakkan kerikil tersebut begitu saja, itu tidak sah kerana ia tidak dilontarkan. Jika melontarnya dengan lemah, itu sah kerana sudah pun melontarkannya meskipun dengan lemparan yang lemah. Lemparan itu bertujuan untuk merejam syaitan.

Kenapa perlu tiga hari untuk merejam syaitan dengan kerikil? Ya, memang benar itu perintah Allah dan sebagai hamba kita harus taat. Namun pasti ada rahsianya kenapa begitu lama masa yang diambil untuk melakukan ritual melontar jumrah Aqobah, Wushta dan Ula.

Melontar 3 hari simboliknya kita hidup dalam tiga masa iaitu dulu, sekarang dan masa akan datang.  Dari dahulu kita adalah bermusuh dengan syaitan. Begitulah ia akan berlaku sekarang dan akan datang, kita akan sentiasa bermusuh dengan syaitan. Syaitan tidak pernah lupa janjinya untuk menyesatkan manusia. Cuma manusia saja yang lupa bahawa kita sentiasa bermusuh dengan syaitan sehingga kiamat.

Melontar pula bukannya sebiji batu tetapi 70 biji, ia simbolik kepada permusuhan dengan syaitan yang berterusan. Bilangan 70 itu bukan sekadar angka yang dipilih suka-suka tetapi membawa maksud yang tersendiri.

Jumlah 70 biji batu yang dilempar sepanjang tiga hari jumrah adalah simbolik kepada 70 tahun usia kehidupan kita secara puratanya. Begini, Rasulullah s.a.w bersabda: “Umur umatku adalah antara 60 hingga 70 tahun. Sedikit daripada mereka yang melebihi itu.”(HR at-Timidzi).

Di situ, batu adalah diumpamakan sebagai senjata yang harus ada pada setiap Muslim. Batu itu bagaikan peluru yang digunakan untuk merejam syaitan. Kenapa melontar batu kena diulang-ulang? Ia adalah simbol kepada latihan, kena sentiasa diulang-ulang agar kita ingat bahawa melawan syaitan adalah keutamaan.  Kalau hendak berubah, kena berulang-ulang melakukan ibadat barulah berkat. Kekuatan balingan batu itu adalah azam kita untuk membebaskan diri daripada syaitan.

Syaitan hanya takut dengan nur yang ada di dalam hati Muslim, sebagaimana  Allah mengambil kira apa yang ada dalam hati kita.

Firman Allah, “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah tetapi sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu…” (Surah al-Hajj;37).

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bila nasihat tidak dihiraukan… Ayah sanggup tanam patung di kubur demi anak

“Aku cuma nak anak aku balik…” Itu luahan seorang ayah yang akhirnya menyesal seumur hidup selepas memilih jalan salah demi...

More Articles Like This