
KEJATUHAN Malaysia dalam penarafan daya saing global yang baru dikeluarkan oleh IMD minggu lepas perlu diambil perhatian serius oleh kerajaan dan kita semua. Malaysia jatuh dari tangga ke-27 (2023) ke tangga ke-34. Kedudukan terendah Malaysia sejak 2010.
Buat kali pertama Thailand dan Indonesia mengatasi Malaysia, masing-masing di tangga ke-25 dan ke-27. Yang lebih merisaukan saya ialah trend jangka panjang yang jelas menggambarkan Malaysia dalam trend menurun atau lebih tepat jatuh merudum.
Malaysia berada dalam julat 10-20 dari 2010-2016. Kemudian menurun ke julat 20-30 sehingga 2021. Tahun 2022, terendah ke tangga 32 sebelum meningkat sedikit ke tangga 27 tahun 2023. Terkini paling rendah di tangga ke-34.
Ini ‘lampu merah’ buat Malaysia. Penarafan daya saing global IMD adalah satu petunjuk penting yang menjadi sandaran dalam menilai daya saing sesebuah negara oleh para pelabur. Kini Malaysia berada di tengah-tengah, menjadi pemisah dalam kalangan 67 buah negara yang dinilai.
Trend menurun ini sangat jelas. Bertentangan dengan salah satu daripada sasaran Ekonomi MADANI yang diumumkan tahun lepas. Malaysia menyasarkan untuk berada di tangga ke-12 pada tahun 2030. Malaysia pernah berada di tangga ke-12 pada tahun 2014. Terkini 2024, Amerika Syarikat berada di tangga ke-12.
Hanya tinggal 6 tahun lagi untuk kita membuat lonjakan 22 anak tangga ke atas! Mustahil? Mungkin? Apa pun yang paling penting ialah kita MESTI mengubah trend menurun ini.
Setiap sasaran Ekonomi Madani mesti ada pasukan berdedikasi yang meneliti, menyusun strategi, menggerakkan dan memastikan pelaksanaan, memantau dan melapor kemajuan sasaran yang digariskan.
Maaf, saya rasa janggal bila mendengar beberapa laporan media yang memaklumkan respons kerajaan ‘akan’ dibuat setelah laporan terperinci disediakan atau dibentang kepada menteri berkaitan.
Adakah selama ini tiada pemantauan dan pelaporan secara berterusan atau berkala? Ehwal sebegini seharusnya sampai ke meja Yang Berhormat Menteri, lebih awal dari tarikh pengumuman. Kelewatan ini tidak sepatutnya berlaku.
Baca artikel lain: Ekonomi Malaysia tak bertambah baik, daya saing di belakang Indonesia – Muhyiddin

Daya saing global adalah antara sasaran utama Ekonomi MADANI. Ini bukan sasaran Perdana Menteri seorang, ini sasaran negara kita. Mesti dipantau secara rapi dan berterusan. Mesti ada agensi yang bertanggungjawab.
Merujuk kepada 20 subpetunjuk, berbanding tahun 2023, hanya tiga (3) sahaja subpetunjuk yang meningkat, iaitu, pelaburan antarabangsa (dari 29 ke 28), pekerjaan (dari 21 ke 18), dan pendidikan (dari 45 ke 44). Dua (2) subpetunjuk (infrastruktur sains dan kesihatan & alam sekitar) kekal di tangga ke-31 dan 42.
Peningkatan-peningkatan ini hanya sedikit anak tangga sahaja, tidak signifikan, masih dalam julat yang sama. Lima belas (15) subpetunjuk yang lain semuanya jatuh. Paling teruk ialah produktiviti dan kecekapan, dari tangga 36 ke-53!
Berbanding sasaran Ekonomi Madani untuk mencapai tangga ke-12 pada tahun 2030 (sama seperti tahun 2014), cabaran untuk melonjak sangat besar. Hanya 3 subpetunjuk (harga, polisi cukai, dan infra asas) sahaja yang masih bertahan. Kesemua 17 subpetunjuk yang lain telah jatuh, 13 daripadanya lebih rendah dari tangga ke-30! Malah terkini (2024), 6 subpetunjuk berada di tahap 40 ke bawah.
Trend menurun ini bukan baharu. Peringatan dan teguran telah dibuat beberapa kali sejak beberapa tahun yang lalu. Untuk negara kita, bukan mencari salah siapa tetapi mengingatkan kita mesti cari jalan penyelesaian, mengambil tindakan yang berkesan, segera.
Tiada pilihan, wujudkan segera pasukan berdedikasi untuk memastikan setiap sasaran Ekonomi Madani mampu dicapai. Jangan sesekali kita terperangkap dengan kelekaan, diandai sebagai kesan burung unta (Ostrich Effect) yang sering membenamkan kepalanya dalam pasir bila berhadapan dengan cabaran dan menganggap tiada masalah yang kita hadapi. Semua OK.
Saya amat yakin, ketegasan dan komitmen Perdana Menteri untuk melonjakkan negara menjadi sebuah negara yang hebat dan dihormati setidaknya di Asia, bukanlah satu angan-angan kosong. Tidak mustahil.
Usaha gigih Perdana Menteri menarik pelaburan jelas. Namun sekiranya daya saing kita terjejas, terus menurun, Malaysia berisiko ketinggalan.
Saya nyatakan perkara ini dengan jelas berfakta dalam Syarahan Perdana saya di UKM pada 11 Jun yang lalu. Dunia berubah pantas. Kita tidak boleh leka. Saranan saya menegaskan perkara-perkara utama yang perlu ditangani, kita mampu mengembalikan kekuatan kita.
Keseluruhan jentera kerajaan dan juga semua kita industri dan masyarakat ada peranan yang perlu kita laksanakan. Sebahagian daripada tindakan-tindakan yang perlu berkemungkinan pahit bagi sesetengah pihak.
Namun, seperti lazim, ‘no pain-no gain’. Kita boleh usahakan dengan kebijakan yang ada supaya ‘pain’ itu dikurangkan dan sementara. Malaysia perlu bertindak segera.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

