MENJELANG bermulanya sesi persekolahan pada setiap awal tahun, pastinya perbelanjaan keluarga (ibu bapa) akan berubah. Berbelanja untuk keperluan persekolahan anak-anak adalah satu kewajipan dalam sesebuah keluarga.

Apabila bercakap mengenai perbelanjaan untuk keperluan sekolah lebih tepat lagi kita memperkatakan berkaitan dengan berbelanja untuk pendidikan anak-anak. Berbelanja ini bukan saja untuk barang keperluan sekolah, ia turut meliputi yuran persekolahan, pendaftaran dan segala macam bentuk perbelanjaan lain.

Malah dalam abad ini, yuran untuk anak-anak ke tahap awal pendidikan pun misalnya tadika swasta mampu mencecah ribuan ringgit untuk pendaftaran awal tahun. Jika ditanya pada segelintir ibu bapa, jawapannya mudah iaitu jika mahukan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak atau seandainya berkemampuan maka itu adalah satu pelaburan awal!

Dan apabila ia adalah satu pelaburan yang pastinya kita mahukan keuntungan, inilah yang dikatakan pendidikan sebagai bekalan untuk masa depan.

Persoalannya di sini adalah, perlukah Pendidikan itu dijadikan sebagai satu pelaburan dan isu utamanya adalah soal kewangan. Menjawab lebih lanjut mengenai isu ini, Pembimbing Ibu Bapa Bertauliah dari Coach-Parenting USA, Zaid Mohamad berkata cara terbaik untuk pendidikan anak-anak khususnya untuk perbelanjaan pada awal tahun adalah melalui bajet atau belanjawan.

Melakukan simpanan wang dari awal adalah langkah terbaik untuk memastikan perbelanjaan anak-anak mampu diatur sebaik mungkin apabila tiba masanya.

“Apabila bercakap mengenai pendidikan dan perbelanjaan, perkara asasnya adalah bajet kita sendiri. Maknanya dari awal lagi kita buat belanjawan, berapa kos yang diperlukan untuk seorang anak. Apabila dari awal telah ditentukan berapa kos untuk seorang anak, maka buatlah simpanan atau tabungan untuk berbelanja awal sekolah.

“Bagi ibu bapa yang makan gaji, biasanya pada hujung tahun atau awal tahun ada mendapat bonus daripada majikan. Langkah awal di sini adalah simpan dalam jumlah tertentu untuk perbelanjaan awal persekolahan atau pendidikan anak-anak. Sama ada untuk membeli barangan keperluan sekolah ataupun menyimpan wang sebagai kegunaan untuk masa depan mereka kelak.

“Sebaik-baiknya cari produk atau barangan yang berkualiti, biasanya barang yang berkualiti adalah mahal sedikit harganya. Jadi, perlu bijak membuat pilihan, cari barang yang berkualiti pada harga yang kita mampu beli kerana barangan itu kita perlu gunakan untuk satu jangka masa tertentu jangan lihat pada jenama sahaja.

“Saya sentiasa meletakkan jangka masa sesuatu barangan, misalnya kasut untuk beberapa tahun, baju pula boleh dipakai untuk berapa lama dan begitu juga dengan barangan keperluan yang lain. Nasihat anak untuk menggunakan barangan itu dengan sebaik mungkin kerana mereka perlu sayang terhadap barang sendiri dan perlu jaga dengan baik.

“Yang penting adalah membuat senarai barang yang perlu dibeli bukannya bergantung kepada kehendak anak-anak mahupun ibu bapa itu sendiri. Apabila kita sudah ada bajet dan senarai barang yang hendak dibeli, kita tidak akan lari daripada bajet tersebut kerana telah dirancang dari awal,” jelas Zaid.

MENABUNG DALAM BENTUK INSURANS

Setiap orang mempunyai perancangan tersendiri dalam memastikan pendidikan anak-anak berjalan lancar terutama sekali apabila bercakap mengenai kewangan.

Dalam hal ini, Zaid mempunyai pendapatnya sendiri; tidak dinafikan bahawa kekangan utama dalam sesebuah keluarga adalah kewangan. Bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan; begitu jugalah dalam aspek kekeluargaan terutama sekali dalam hal kewangan.

“Saya lebih suka menabung untuk masa depan anak-anak daripada membeli insurans yang di dalamnya terdapat caruman untuk pendidikan. Premium seperti ini banyak diperkenalkan oleh syarikat insurans; ini bermakna apabila anda membeli insurans nyawa ia digabungkan juga dengan skim pendidikan. Bagi saya tujuannya sudah menjadi tidak jelas.

“Kita perlu lihat juga daripada aspek pulangan yang akan kita dapat jika kita mencarum dalam skim seperti itu. Jika bercakap mengenai insurans saya lebih kepada insurans nyawa untuk jangka masa panjang. Insurans nyawa sangat penting dalam era ini kerana kos perubatan semakin tinggi dan persediaan seperti caruman untuk insurans seperti itu sangat membantu daripada aspek kesihatan dan juga pulangan untuk masa hadapan.

“Sebelum membuat Keputusan untuk membeli insurans nyawa ataupun skim insurans yang lain, pastikan terlebih dahulu pulangannya adalah jelas dan menguntungkan. Ada sesetengah kes yang mana terdapat hidden agenda dalam produk yang ditawarkan. Ini perlu diteliti sebelum membuat keputusan.

“Sebab itu dalam hal ini, saya lebih suka dan menyarankan kepada ibu bapa agar membuat Tabungan dalam bentuk amanah saham ataupun membuka akaun untuk anak-anak. Mula sejak anak-anak dalam kandungan ataupun sebaik mereka lahir. Untuk mendidik anak-anak berjimat dan menabung, latih mereka menggunakan wang daripada perbelanjaan harian ke sekolah.

“Sampai masanya untuk mereka menyimpan wang itu di bank, bawa mereka ke kaunter dan ajar mereka untuk mengisi borang (deposit wang tunai). Ini akan membantu mereka memahami proses menabung atau cara menyimpan wang. Dengan menabung akan membentuk mereka menjadi seorang anak yang berdisiplin dan tahu untuk berjimat cermat,” kata Zaid lagi.

Sekiranya ibu bapa tidak mempunyai Tabungan atau simpanan untuk pendidikan anak-anak, pihak institusi perbankan mahupun dana pinjaman wang daripada pihak agensi kerajaan ada menawarkan kemudahan tersebut. Bagaimanapun Zaid menasihatkan agar peminjam membayar balik pinjaman tersebut sebaik sahaja mendapat pekerjaan.