ALVN Chong, nama yang tidak asing lagi dalam industri hiburan, kini melangkah lebih jauh dengan terlibat dalam kempen kopi illy bersama Universal Music. Sebagai seorang peminat tegar kopi, Alvn atau nama lengkapnya, Alvin Chong Chean Wah, berkongsi pengalaman dan perjalanannya dalam menjaga kesihatan dan penampilan sambil meneruskan karier seninya.
Pelakon drama Takdir Yang Tertulis ini mendedahkan bahawa dia telah lama menjadi peminat kopi, khususnya illy coffee.
“Kami bekerjasama dengan illy caffe ini melalui Universal Music, jadi ramai artis yang terlibat, tetapi kempen pertama adalah dari Anis. Alvn hanya menyokong sahaja.
“Masa muda dulu, kita macam pelajar yang tak ada duit, jadi kita minum kopi campur apa saja. Tapi bila semakin dewasa, Alvn mula melihat bahan-bahan di belakang produk,” katanya kepada URTV.
Alvn juga menceritakan rutinitas kesehariannya yang disiplin untuk menjaga kesihatan.
“Saya periksa bahan-bahan kerana ingin menjaga badan sebab sudah semakin berusia. Matlamat saya adalah untuk mengekalkan penampilan ini hingga umur 50.
“Saya sekarang memang tidur pukul 10.30 dan bangun pukul 6.30 pagi setiap hari,” katanya.
Kembali ke Dunia Lakonan dan Nyanyian
Setelah lama tidak muncul di layar kaca, Alvn kini kembali dengan watak utama dalam sebuah mega drama di Astro Ria yang akan ditayangkan pada bulan Julai ini.
Tidak hanya aktif dalam bidang lakonan, Pelakon dan juga penyanyi ini juga sedang sibuk menyiapkan album barunya yang akan dilancarkan pada bulan Julai juga. Penyanyi lagu ‘One and Only’ ini turut terlibat secara langsung dalam penulisan lagu-lagu dalam album tersebut.
Sebagai seorang yang sering menghadiri acara fesyen antarabangsa, Alvn berhasrat untuk memperkenalkan dirinya kepada dunia dengan menghasilkan lagu-lagu berbahasa Inggeris.
“Saya akan berlakon watak utama dalam mega drama di Astro Ria pada bulan Julai ini.
“Album baru pula akan dilancarkan pada bulan Julai juga dengan 5 hingga 8 lagu.
“70 peratus lagu dalam album ini ditulis oleh saya sendiri,” jelasnya.
“Album baru saya adalah lagu berbahasa Inggeris kerana saya sering menghadiri acara fesyen antarabangsa, jadi saya rasa lebih mudah untuk memperkenalkan diri kepada penonton antarabangsa.
“Sebelum ini, apabila memberitahu orang luar negara bahawa saya juga seorang penyanyi, mereka mungkin suka lagu tetapi tidak faham,” jelasnya.
Pelakon ini juga menceritakan hubungannya dengan Mewtul, seorang teman yang dikenali di acara fesyen. Mew Suppasit Jongcheveevat dan Tul Pakorn Thanasrivanitchai, yang dikenali sebagai MewTul, adalah pelakon dan model terkenal dari Thailand yang telah meraih populariti melalui peranan mereka dalam siri BL. Mew terkenal dengan wataknya dalam “TharnType: The Series” dan juga kerjaya muziknya yang berjaya, manakala Tul dikenali menerusi peranannya dalam “Together with Me.”

Katanya mereka mula rapat semenjak duduk selang satu tempat duduk di satu acara fesyen dan sempat berbual selama setengah jam. Hubungan ini terus berkembang dan mereka sering berhubung melalui Instagram.
“Dia sangat ramah. Dia menjemput saya dengan keretanya dan membawa saya ke restoran Jepun kegemarannya.
“Jika dia datang ke sini atau saya pergi ke Korea, kami pasti akan bertemu.
“Kami bahkan saling berkongsi lagu dan bertukar pendapat tentangnya,” ungkapnya.

