Anda ada membela ikan? Selalunya apa makanan yang diberikan untuk ikan peliharaan? Sudah tentu makanan yang lazimnya dimakan oleh ikan sama ada yang sudah dibeli siap, atau yang dicari seperti cengkerik, nyamuk, tumbuhan hijau dan lumut.
Namun, ikan unik yang hendak diceritakan ini sangat berlainan. Kisahnya sudah lama, namun ia diingati sebagai ikan peliharaan yang mempunyai tabiat pelik.
Sekitar tahun 2011 dahulu, kisah seekor ikan di pusat Akuarium Hidupan Marin London ini pernah mendapat perhatian media. Ada seekor ikan gurami yang mempunyai tabiat pemakanan aneh dan tidak seperti ikan lain.
Campaklah apa saja makanan yang lazimnya menjadi habuan ikan, langsung tidak dipandang oleh ikan ini. Sebaliknya, ia hanya menjamah snek wafer berlapis coklat sebagai diet hariannya.
Ikan makan wafer coklat? Kedengaran mungkin agak lucu, tetapi itulah sifat pelik ikan yang diberi nama Gary ini. Dalam soal pemakanan, Gary begitu memilih dan sangat cerewet kerana ia hanya akan menjamah makanan kegemarannya sahaja.
Jika ikan lain boleh makan hampir apa sahaja makanan yang diberikan, tetapi Gary tidak seperti itu. Selagi tidak dihidangkan dengan wafer bersalut coklat, jangankan hendak makan, menghidunya pun Gary tidak sudi. Disebabkan obsesinya terhadap coklat, Gary turut digelar sebagai ikan ‘chocoholic’.

Menurut salah seorang staf pusat hidupan marin yang bertanggungjawab menyelia ikan tersebut, Rebecca Carter, itu merupakan kali pertama beliau berhadapan dengan gelagat ikan seperti Gary. Sebelum ini, Rebecca tidak pernah mendengar cerita tentang ikan makan coklat, apatah lagi membesar dengan sumber makanan seperti itu. Namun, kehadiran Gary ke pusat akuatik itu telah merubah persepsinya terhadap sistem dietetik haiwan peliharaan seperti ikan.
Pada mulanya, Rebecca sendiri agak pelik dan tertanya-tanya bagaimana diet harian Gary tidak sama seperti ikan kaloi lain. Tetapi setelah diselidiki, beliau mendapati ia menjadi sedemikian rupa disebabkan asuhan pemilik asalnya yang memewahkan Gary dengan wafer coklat sebagai makanan utamanya.
Disebabkan itu, diet tersebut telah menjadi kebiasaan sehingga menyebabkan Gary tidak lagi mahu menjamah makanan lain. Dalam erti kata lain, Gary menganggap wafer coklat adalah sebagai makanan ruji untuknya.
Kata Rebecca, mereka pernah cuba untuk mengajar Gary makan makanan lain, tetapi ia telah menunjukkan sifat yang sangat pasif apabila diberikan makanan dalam bentuk palet. Sekalipun dalam keadaan lapar, Gary tidak langsung menunjukkan minat terhadap makanan tersebut. Hanya setelah dihidangkan dengan makanan kegemarannya, barulah ia menunjukkan sifat yang lebih aktif.

Apa yang menghairankan ialah, walaupun telah melalui fasa diet yang tidak sihat, tetapi Gary langsung tidak pernah menunjukkan tanda-tanda mengalami masalah kesihatan. Kebanyakan ikan lain tidak dapat bertahan untuk terus hidup hanya dengan snek-snek ringan, tetapi keupayaan Gary itu telah menunjukkan ia adalah dari spesies ikan yang kuat dan tahan lasak.
Kerana tabiat pemakanan yang terlalu gemar kepada wafer coklat, berat Gary bertambah sehingga mencecah empat kilogram. Dalam usia satu tahun, berat tersebut dianggap sebagai terlalu gemuk. Malah, Gary cenderung untuk mengalami masalah obesiti sekiranya ia terus memilih wafer coklat sebagai makanan hariannya.
Justeru, bagi mengelakkan Gary terus dibelenggu masalah berat badan berlebihan, staf di pusat akuarium itu telah memprogramkan satu diet khas kepada Gary. Mereka telah memasukkan potongan wafer coklat ke dalam ramuan anggur dan pisang supaya Gary dapat menjamah makanan yang lebih sihat. Ternyata usaha yang dilakukan oleh mereka tampak berhasil apabila Gary sudah mula menunjukkan minat terhadap makanan barunya itu.
Secara saintifiknya, faktor pemakanan yang tidak sihat di kalangan haiwan peliharaan sebenarnya boleh mengundang pelbagai jenis penyakit kepada haiwan tersebut.
Dalam satu kajian yang telah dijalankan di Australia, antara 40 hingga 44 peratus haiwan peliharaan mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti. Ia berlaku disebabkan masalah pemakanan tidak seimbang yang diberikan oleh tuannya, sehingga menyebabkan haiwan lebih cenderung untuk tidur dan kurang aktif.
Sekiranya kegemukan berlaku, haiwan peliharaan lebih terdedah kepada masalah lain seperti kencing manis, sakit sendi, masalah jantung dan penyakit hati. Malah, dalam satu kajian yang berasingan mendapati, haiwan yang kurang makan sebenarnya berpotensi untuk hidup lebih lama berbanding haiwan yang terlebih makan.
________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

