Bantu perkasa wanita menerusi ‘KWC Model Search’, KWC Fashion Wholesale membina platform untuk golongan wanita menonjolkan bakat dalam industri fesyen sekaligus memberi peluang buat mereka meneroka dunia seni tanah air.
Menurut Pengurus Pengiklanan dan Promosi KWC Fashion Wholesale, Wendy Lam, seramai 30 peserta telah terpilih daripada 200 penyertaan sejak September 2023 dan peringkat akhir ini menyaksikan hanya enam finalis merebut gelaran juara.
“Objektif pencarian model ini untuk membantu memperkasakan wanita dalam bidang fesyen seiring dengan misi yang dibawakan KWC. Kami melihat sendiri ramai wanita yang menjadi usahawan di sini dan kami mahu mengangkat kisah mereka supaya dapat memberi inspirasi kepada wanita lain.
“Dan kami memberi platform kepada peserta untuk turut terlibat sama dalam perjalanan ini. Malah penglibatan Raffael Models dalam memberikan latihan untuk menonjolkan bakat, kelas solekan dan peragaan sekaligus membantu peserta dalam meningkatkan keyakinan dalam diri.
“Malah kisah kejayaan pemenang KWC Model Search, Nurul Elifa Mohd Zaini Tee yang mempunyai dua anak dan terus mengejar impian dalam bidang modeling dapat memberi inspirasi kepada wanita lain supaya teruskan cita-cita sehingga berjaya,” jelasnya.
Malah ulasnya lagi, penglibatan penaja lain seperti Harry Collection, butik KOOKi, ELENA, AF Advance Collection, Min Perfume, Alha Alfa dan Pasar Besar serta You You Beauty dalam pentas akhir bersama kelas solekan secara percuma turut memberi peluang kepada wanita di KWC membina keyakinan diri dalam perniagaan.
“Pertandingan ini telah menunjukkan peningkatan prestasi yang cemerlang setiap finalis dalam mempamerkan bakat mereka serta mempersiapkan mereka melalui kursus modeling untuk membina kerjaya dalam industry fesyen dan hiburan,” tambahnya lagi.
Terdahulu, KWC Model Search 2024 memperlihatkan Nurul Elifa Mohd Zaini Tee atau Efa merangkul gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah bernilai RM3,000 bersama trofi kemenangan. Tempat kedua dimenangi oleh Amira Adilah Salehudin manakala tempat ketiga disandang oleh Putri Noradlina Hairolhizam.
Program ini bukan sekadar pencarian model, namun ini merupakan inisiatif dalam membentuk Wanita Madani dalam menghadapi industri yang cukup mencabar. Pendaftaran untuk KWC Model Search 2025 akan bermula pada suku terakhir tahun 2024.

