JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan mengeluarkan arahan penangguhan ceramah atau pengajaran pendakwah popular Don Daniyal Don Biyajid atau lebih dikenali sebagai ‘Ustaz Don’ di negeri itu pada 21 Jun lalu.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, tindakan itu diambil berikutan beberapa isu mengenai pengajaran agama Islam daripada ustaz itu yang disyaki membawa kepada pelanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.
Beliau berkata, ia juga selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menekankan kepada semua penceramah pemegang tauliah supaya memberi kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam dalam kalangan umat Islam.
“JAIS perlu menghentikan perkara seumpama ini dengan segera supaya tidak berleluasa di Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, mesyuarat jawatankuasa tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) semalam telah memutuskan supaya Don Daniyal mengemukakan kenyataan bertulis berkaitan beberapa fakta mengenai ceramah agamanya.
“Ini selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 supaya penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap beliau,” katanya.
Menurut Shahzihan, satu kertas siasatan juga dibuka terhadap Don Daniyal mengikut Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 susulan beberapa aduan yang diterima.
“JAIS amat berharap semua pihak di Selangor dapat bekerjasama dan mematuhi arahan untuk tidak mengundang atau membatalkan, sesi ceramah membabitkannya sehingga sebarang keputusan dimuktamadkan MAIS,” katanya.
Pada 5 Jun lalu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dilaporkan “merehatkan” pendakwah Don Daniyal daripada program Salam Baitullah selepas terdapat pertikaian mengenai sejarah hidup Nabi Muhammad.
Dalam program berkenaan, Don Daniyal mendakwa Nabi Muhammad pernah melamar seorang wanita yang dikenali sebagai Ummu Hani sebanyak tiga kali.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

