Penjualan pegangan MAHB: Jawapan PM tak lengkap, mengelirukan

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

JAWAPAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penjualan sebahagian pegangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) milik BlackRock Inc disifatkan sebagai tidak lengkap dan mengelirukan.

Itu kata Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang turut menyatakan rasa kecewa dengan respons diberikan Perdana Menteri berhubung isu berkenaan.

Wan Ahmad Fayhsal turut menegaskan persoalan strategik yang dibangkitkannya dan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) tidak dijawab dengan tuntas.

Malah, katanya, hujah keselamatan yang dinyatakan Perdana Menteri semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) pagi tadi juga tidak tepat.

Sehubungan itu, beliau meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk memberi ruang supaya isu berhubung penjualan pegangan MAHB itu dibahaskan dengan lebih lanjut oleh semua ahli Parlimen.

“Beliau (Anwar) berkata berjumpa dengan pemimpin Hamas dan menggambarkan seolah-olah pemimpin Hamas tak ada masalah hubung kait antara BlackRock berniaga dan memiliki aset strategik negara. Saya tak faham kenapa Perdana Menteri perlu namedropping sebegitu.

“(Soal keselamatan) beliau tak jelaskan kepada umum bahawa sebenarnya dalam kenyataan media GIP dua hari lalu, GIP dah beri penerangan bahawa dengan adanya pegangan yang mereka miliki nanti dalam MAHB, mereka juga terlibat sebagai rakan kongsi teknikal dan pengurusan lapangan terbang kita.

“Isu keselamatan yang dibangkitkan adalah berhubung data keluar masuk yang ada di lapangan terbang. Ini akan menjadi milik GIP dan BlackRock. Perkara itu yang kita persoal dan tidak dijawab dengan baik oleh Perdana Menteri,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Baca artikel lain: Pegangan saham MAHB kepada GIP lalui tapisan ketat, kebanyakan mahu hak mengurus penuh – PM

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan kerajaan sepatutnya menarik balik atau sekurang-kurangnya menangguhkan proses penjualan pegangan MAHB itu sehingga dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

Kata beliau, sebagai sebuah syarikat yang dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), MAHB sepatutnya boleh meraih modal sendiri di pasaran modal tanpa memerlukan pelabur asing.

“Apa yang GIP nak bawa sebenarnya dari segi kewangan? Tidak dijelaskan (Perdana Menteri).

“Dari segi moral, dengan mengizinkan pemilikan saham MAHB kepada GIP milik BlackRock, sebenarnya kerajaan telah bersubahat dengan BlackRock untuk mendanai pembunuhan genosid rakyat Palestin di Gaza.

“Ini dikutuk keras oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam soal hak asasi manusia.

“Laporan pada 20 Jun lalu meletakkan nama BlackRock sebaris dengan banyak pelabur lain yang memang ada kawalan terus kepada syarikat senjata yang membunuh rakyat Palestin,” dakwanya.

Pagi tadi, Perdana Menteri menegaskan penstrukturan saham MAHB yang menyaksikan 30 peratus diberikan kepada GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) tidak berbangkit sama sekali kerana syarikat tersebut kekal milik Malaysia.

Beliau berkata, pengurusan tertinggi MAHB termasuk jawatan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) masih diterajui rakyat Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, tiada istilah penjualan MAHB kepada syarikat asing kerana GIP dan ADIA kerana syarikat itu mengambil alih sekitar 27 peratus pegangan saham yang selama ini berada dalam pasaran terbuka.

Beliau berkata, pemilikan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula meningkat kepada 70 peratus berbanding 41 peratus sebelumnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Gempa kuat landa Mindanao, gegaran dirasai di Semporna

GEMPA bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda Mindanao, Filipina pada pukul 7.34 malam tadi. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), gegaran turut...

More Articles Like This